Make your own free website on Tripod.com
 

Jangan Biarkan Dr. Ramli Kari Keseorangan di Senggarang
Sebagai pembuka kata marilah kita penganut agama Islam yang syumul dan penegak keadilan mengucapkan setinggi kesyukuran ke hadirat Ilahi kerana dengan izin nya telah memberi kemenangan kepada calon PAS Dr. Mohd Ramli Bin Kari di Senggarang. Tahniah buat Dr. sekeluarga dan pendokong-pendokong PAS dan Keadilan di Senggarang. Moga-moga apa yang telah dianugerahkan oleh ALLAH kepada Dr. akan menyuntik semangat buat pendokong PAS dan Keadilan di negeri Johor yang selama ini dianggap sebuah negeri yang "karat UMNOnya".

Tidak diduga bahawa anak sulung PAS telah dilahirkan di bumi Senggarang. Sebelum ini ramai yang menjangkakan bahawa anak sulung tersebut bakal dilahirkan oleh bumi Endau, tetapi ketentuan ALLAH tiada siapa dapat menahannya.

Dengan anugerah daripada ALLAH itu, saya berdoa dan berharap agar pengundi di DUN Buloh Kasap dapat mengetepikan Osman Jais yang kebanyakan penduduk Segamat membencinya. Moga-moga calon PAS seorang Alhafiz yang diketengahkan dapat mencairkan "MINYAK DAGU" yang dimiliki olehnya. Berhubung dengan hal itu, beliau pernah ditegur oleh salah seorang jemaah di Masjid Jamek Segamat.

Bagi pengundi-pengundi di Pemanis, Kemelah, Tenang, Bukit Serampang dan lain-lain, tanamkanlah azam untuk mencari perubahan dan hindarkanlah diri kita dari bersekongkol dengan mereka yang tidak menempatkan agama ISLAM di tempat yang sepatutnya. Begitu juga dengan penegak keadilan. Ingatlah, segala kezaliman yang telah UMNO/BN lakukan ke atas rakyat Johor. Yang begitu ketara adalah penutupan Sekolah Agama Rakyat (SAR). Hingga kini Tan Sri Murad yang telah dipertanggungjawabkan untuk mengkajinya masih belum mengeluarkan hasil kajiannya.

Bagi pengundi-pengundi di Tangkak, jangan lupa yang imam masjid Tangkak telah menjadi mangsa kezaliman Ghani Othman hingga beliau ditukarkan ke Mersing dalam tempoh 24 jam. Kesalahan beliau cuma membaca doa di satu majlis yang ada kaitan dengan penutupan dan pengharaman SAR.

Di DUN Endau pula, saya percaya satu kejutan dengan izin ALLAH bakal berlaku kerana sebelum ini calon PAS hanya kalah dengan majoriti 2,894 undi saja. Kini PAS mengemukakan Cikgu Sahar sebagai calon. Sebelum ini beliau adalah orang kuat UMNO yang akhirnya terpaksa ditinggalkan kerana dasar yang dibawa oleh UMNO tidak sehaluan dengan cita rasa nya.

Bagi DUN Tenggaroh pada Pilihan Raya Umum 1999, calon yang dikemukakan adalah daripada Keadilan dan kalah dengan majoriti 7,551. Kali ini calon yang dikemukakan untuk mencabar S. Krishnasamy ia lah Sheikh Yahya dari PAS. Saya berharap para pengundi di DUN Tenggaroh agar jangan memperjudikan AKIDAH dalam memilih wakil. Saya kenal dengan ketiga-tiga calon yang mewakili PAS kerana saya pernah bertugas di Mersing.

Bagi Parlimen Mersing, saya difahamkan dalam senarai awal Dr. Latif Bin Awang telah tidak dicalonkan tetapi dengan campur tangan Muhiyuddin Yassin nama beliau timbul semula. Lawan beliau adalah Cikgu Idris Tukacil yang tewas pada tahun 1999 dengan majoriti 10,861 undi. Beliau telah banyak membuat hal di Mersing. Antaranya adalah menaikkan seorang budak mentah sebagai Ketua Pemuda UMNO Mersing. Lantikan tersebut telah mendapat tentangan daripada ahli UMNO Mersing sendiri. Diharapkan agar Cikgu Idris Tukacil dapat mengetengahkan isu ini kerana ianya ada kaitan dengan kronisme dan nepotisme. Setidak-tidaknya kalau beliau dapat disingkirkan (dengan izin ALLAH) maka tidak akan ada lagi surat anugerah projek yang bakal ditanda dengan pensel untuk ditentukan kepada kontraktor mana dan siapa.

Berbaloi juga Ghani Othman mengadakan kembara Mahkota. Apa tidaknya, kerana pada senarai awal beliau sepatutnya bertanding di kerusi Parlimen. Tetapi dengan campur tangan Istana setelah Tuanku memanggil PM lembik masuk menghadap, beliau bertanding semula di kerusi DUN. Itulah sebabnya senarai calon-calon daripada BN lambat diumumkan.

Bagi para pengundi yang prihatin, buatlah pemilihan yang tepat agar manifesto yang telah dirangka untuk kebaikan rakyat marhaen JOHOR dapat dilaksanakan oleh BA Johor sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan. Saya percaya ramai yang telah mengetahui apa yang terkandung dalam manifesto tersebut.

Juga kalau diberi mandat, tidak akan ada pembaziran dengan projek yang tidak memberi faedah dan yang terbengkalai. Contoh mudah adalah pembinaan jambatan untuk menggantikan causeway yang berbentuk roller coaster. Kini apa sudah jadi? Terbengkalai. "MUHIBBAH" yang telah diberi kepercayaan untuk membina jambatan tersebut telah memberhentikan pembinaannya. Walau bagaimanapun MUHIBBAH tidak rugi banyak kerana masih dapat membuat tuntutan mencabut semula segala cerucuk (piling) dan membaik pulih segala kerosakan jalan di persekitarannya. Bukankah itu  satu pembaziran kerana perancangan yang silap. Kontraktor itulah juga yang telah menyiapkan kem tentera di Sekakap Mersing.

Selamat mengundi pada 21 hari bulan ini. Marilah kita sama-sama mencari perubahan.

Anak Jati Segamat - 14.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN