Make your own free website on Tripod.com
 

Hukum Hudud - Masihkan Ingin Menentang Hukum Allah?
Oleh: Ashley
Free Anwar Campaign Website
Pelik kan manusia ni?  Bila Allah turunkan peraturan-peraturan dan hukuman-hukuman yang keras untuk membolehkan semua manusia hidup dengan aman dan damai, ramai yang menentang dan mempersendakan.  Di antara orang-orang yang mempersendakan itu adalah terdiri dari orang-orang Islam sendiri.  Kononnya nanti ramailah orang Islam yang kudung tangan sebab dipotong di atas kesalahan mencuri, akan berkuranglah orang-orang Islam sebab dibunuh kerana melakukan jenayah zina dan rogol.

Nampak sangat betapa nipis dan tipisnya iman orang-orang itu; betapa tidak yakinnya mereka terhadap ajaran Islam dan yang paling ketara betapa mereka langsung tidak menganggap Allah itu adalah Tuhan Yang Maha Berkuasa!  Sungguh berani mereka!  Seolah-olah mereka boleh bertekak dan berbahas dengan Allah di akhirat nanti; seolah-olah mereka boleh memilih untuk tidak hadir di mahkamah Allah, tidak mahu dibicarakan oleh Allah dan tidak mahu mengikut arahan Allah di akhirat itu!  Hebat sungguh manusia-manusia itu.  Mereka adalah orang-orang yang paling gagah agaknya?  Tapi gagah di mana?  Di bumi siapa?  Di dunia siapa ini?  Tak sedarkah?

Kononnya hukuman itu zalim, kuno, ketinggalan zaman dan macam-macam lagi - terang-terang menentang perintah Allah (Islam lagikah mereka itu?)  Menurut mereka, kita kena buat undang-undang yang lembut dan berperikemanusiaan konon, guna psikologi dan macam-macam karut marut lagi; kononnya itulah cara moden dan bertamadun.  Hukuman rotanpun tak boleh.

Tapi sekarang, bila dah tak tertahan dengan kejadian-kejadian rogol dan bunuh ke atas kanak-kanak mahupun wanita dewasa, ramai pula yang mahukan hukuman rotan di khalayak ramai; malahan hukum bunuh juga mereka minta.

JADI JELASLAH SEKARANG, BUKANKAH ALLAH ITU TUHAN YANG MAHA BIJAKSANA, YANG MAHA MENGETAHUI DAN SEGALA YANG MAHA?  TAK MAHU TERIMA LAGI?  KEBIJAKSANAAN MANUSIA TAK SAMPAI SETITIK ATAU SEBESAR KUMANPUN JIKA NAK DIBANDINGKAN DENGAN KEBIJAKSANAAN ALLAH!  LAMBAT LAUN KITA KEMBALI KEPADA APA YANG TELAH ALLAH TEGASKAN.  TAK MALUKAH MANUSIA?

Ikutlah ajaran Allah yang sebenar, selamat kita.  Tak payahlah cari cara alternatif kerana tak sampai ke mana kepandaian kita tu.  Walau nampak kejam namun ia berkesan membendung jenayah.  Lihat saja di Kota Mekah, barang-barang ditinggalkan berlambakan sedangkan peniaga-peniaga semua pergi berjemaah di masjid.  Tak ada siapapun yang berani mencuri.

Memang ada berlaku wanita diculik dan dilarikan dan terus hilang hinggalah sekarang.  Entah hidup entahkan mati.  Tapi semuanya berpunca dari tingkahlaku sendiri yang tidak mengikut ajaran Allah - wanita Indonesia memakai baju dari kain kasa yang jelas nampak kulit dan anggota badan di dalam baju.  Wanita berjalan sendirian.  Wanita naik teksi awal dari suami atau suami turun teksi awal dari isteri.  Tapi kalau dapat ditangkap penjenayah itu pasti akan dibunuh.  Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesedihan ahli keluarga mangsa.

Penjenayah berada di mana-mana malah di dalam kalangan ahli keluarga sendiri.  Mereka yang teruk itu sudah mempunyai fikiran yang rosak.  Tak boleh dipulihkan lagi.  Walau nampak pulih tapi di satu masa nanti, bila peluang menonjolkan diri, mereka akan lakukan lagi.

Allah tahu tentang itu.  Lalu Allah perintahkan mereka dibunuh.  Bukan kerana Allah zalim tetapi kerana untuk mengurangkan dosa si penjenayah itu.  Dosa mereka dibersihkan setelah menjalani hukuman itu.  Jangan terperanjat jika kita melihat mereka melangkah kaki ke syurga di akhirat nanti sedangkan kita yang kononnya bukan penjenayah masih lagi terumbang ambing, entahkan ke syurga atau entahkan dihumban ke neraka disebabkan kesalahan-kesalahan yang disangka kecil tetapi telah dilakukan berpuluh tahun lamanya.

Di samping itu, hukuman berat ke atas si penjenayah dapat mengurangkan duka nestapa keluarga mangsa.  Tidaklah mereka merasa nasib mereka teramat malang sehingga mereka sanggup mengatakan yang Allah tidak adil (selalunya wayang bukan Islam memaparkan watak-watak yang menyoal nasib malang mereka atau mengatakan yang Tuhan pun tak boleh menolong yang bermakna bahawa tuhan itu lemah - suatu statement yang menjadikan seorang Muslim itu terus munafik atau terkeluar dari Islam).  Untuk mengelakkan perkara seperti itu dari terjadi lalu Allah dengan adilnya mematikan si penjenayah.  Dengan ini kedua-dua pihak terselamat.  Jangan disangka si penjenayah mengalami nasib malang kerana setelah dibersihkan dari dosa jenayahnya itu, dia menjadi bebas dan jika diizinkan Allah ke syurgalah tempatnya di akhirat nanti.  Orang Islam wajib menerima ketetapan Allah ini.

So, kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenarnya.  Hendak berpolitik ke, hendak apapun boleh, tapi agama jangan dipermainkan, jangan digadaikan hanya sebab mahu berkuasa sekejap di dunia ini!  Ingat bila dah mati esok!  Apa nak dijawab pada Allah?

Eloklah ahli-ahli politik yang dah berumur itu ambil pencen dari politik dan mengabdikan diri kepada Allah.  Dulu dah abdikan diri kepada manusia dan parti (seperti kata antara orang-orang politik; "... menjadi gurkha kepada parti!!!" Tinggi bunyinya sumbangan itu tetapi apa nilainya di sisi Allah?)  Sekarang dah tibalah masanya untuk mengabdikan diri kepada Allah.  Jangan sampai Allah pencenkan kita dahulu.  Biarlah orang-orang muda pula mentadbir dan memerintah negara ini.

Bacalah balik buku-buku agama.  Pergi dengarlah ceramah-ceramah dan kelas-kelas agama.  Tentu dah banyak yang kita dah lupa.  Dah banyak yang ditinggalkan.  Jangan anggap tok-tok guru tu golongan haprah sebab kita ada degree, ada ijazah, dipanggil Datuk, Tan Seri dan sebagainya.  Menyesal nanti.  Di depan Allah tiada siapa yang ada gelaran, ada pangkat atau darjat.  Amalan agamanya sahajalah yang menjadi penyelamat dirinya di akhirat itu.

Masa kecil semua orang Islam yang bernasib baik dah dengar ajaran Islam ini tapi sekarang ni ramai yang dah lupa.  Maklumlah berkawan dengan orang-orang yang main golf sahaja, yang tinggal di istana atau banglo, yang makan angin di London, Paris, New York, San Fransisco, Japan atau Hongkong sahaja.  Tapi bila mati esok, siapakah kawan-kawan kita nanti?

Ashley - 23.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 

.

Sertai Maillist M@RHAEN