Make your own free website on Tripod.com

Dakwaan Mahathir Tentang Tiada Hubungan Antara MCA-Kongsi Gelap
Hanya Satu Penipuan Semata-Mata
Oleh CKChew
Kenyataan yang dikeluarkan dari mulut bakal bekas PM Mahathir mengenai gambar yang menunjukkan presiden MCA bersama ketua Kongsi Gelap seolah-seolah memberi gambaran bahawa Ong Ka Ting tidak tahu-menahu mengenai kegiatan haram Jacky Chan sewaktu gambar itu diambil.

Mahathir menyifatkan laporan akhbar yang mengaitkan Presiden MCA dengan Jacky Chan sebagai tidak ADIL kerana ia hanya berdasarkan satu gambar sahaja. Dalam laporan yang dipetik dari AgendaDaily, beliau berkata:

“Ia tidak adil. Anda ambil sekeping gambar lama dan kemudian, bila anda kata Wanted, bubuh gambar dengan Presiden MCA. Adakah patut macam tu”

“"Apa sebab nak ambil gambar yang lama dan mai tunjuk seolah-olah dia baru jumpa. Lepas tu tanya dia kenal."

"Dia kenallah, sekarang dia kenallah. Dia kenal orang itu, sama ada dia tahu dulu orang itu penjenayah atau tidak, itu soal lain,"

Kenyataan ini adalah sangat dangkal, menghina minda serta intelek rakyat, dan ia berunsur penipuan yang bertujuan menutup fakta sebenar.

Di Pulau Pinang, rakyat secara umumnya mengetahui bahawa ketika Jacky Chan ditahan di Pusat Pemulihan Simpang Renggam pada tahun 1993 atas kesalahan pengedaran dadah, Ong Ka Ting adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, dan rakyat juga tahu bahawa Ong Ka Ting-lah orangnya yang membebaskannya daripada tahanan tersebut selepas hanya 2 tahun. Untuk membalas jasa Ong Ka Ting, Jacky Chan kemudiannya menyertai MCA.

Ia adalah mustahil bahawa Ong Ka Ting tidak kenal Jacky Chan, sama ada sebelum Jacky Chan ditahan ataupun ketika dalam tahanan dan juga ketika beliau menyertai MCA. Jacky Chan adalah seorang anak muda yang begitu menyerlah dalam dunia kongsi gelap pada tahun 80-an dan 90-an, terlibat dalam kes pembunuhan 6 ahli sekeluarga di satu majlis perkahwinan di Sungai Petani. Kes ini menjadi heboh kerana ia merupakan kes pembunuhan yang paling berani dilakukan secara terbuka oleh kumpulan kongsi gelap.

Selain daripada itu, Jacky Chan juga terlibat dalam 10 pembunuhan secara kejam yang lain, kesemuanya melibatkan ahli kongsi gelapnya sendiri. Ahli-ahli ini dibunuh kerana mereka didakwa mengkhianati kumpulan Sio Sam Ong yang diketuai oleh Jacky Chan. Pembunuhan ini dilakukan secara kejam, 5 daripada mayat yang ditemui setelah diperiksa oleh pakar forensik, mengesahkan bahawa mangsa dipukul dan ditanam hidup-hidup. Berita pembunuhan ini dilaporkan dengan meluas dan selepas ia disensasikan oleh pihak media terutamanya media Cina, nama Jacky Chan dan kumpulan Sio Sam Ong menjadi sebutan ramai. Beliau hanya berusia dalam lingkungan 30-an ketika di kemuncak penglibatannya dalam dunia haram, dilihat sebagai pemimpin kongsi gelap yang berpotensi, berani, kaya dan berpengaruh. Tidak ada rakyat Pulau Pinang terutamanya dari masyarakat Cina yang tidak kenal Jacky Chan. Oleh sebab itu, jangan Mahathir cuba menipu dengan harapan dapat menutup tembelang parti sekutunya. Sebaliknya, beliau selaku ketua dalam BN harus mengambil tindakan tegas terhadap MCA kerana Presidennya dan parti tersebut bersekutu dengan anasir-anasir tidak sihat yang boleh mengancam keselamatan negara.

Terdapat banyak bukti yang menunjukkan Ong Ka Ting ataupun MCA bersubahat dengan kongsi gelap. Gambar di bawah jelas menunjukkan Ong Ka Ting yang menerima borang ahli daripada Jacky Chan dalam majlis perasmian Cawangan MCA Gurney Drive dan gambar seterusnya menunjukkan Ong Ka Ting memberi penghormatan kepada Jacky Chan dalam sebuah majlis anjuran MCA cawangan Gurney Drive.
 

Ong Ka Ting yang menerima borang ahli daripada Jacky Chan dalam majlis perasmian Cawangan MCA Gurney Drive
  Ong Ka Ting memberi penghormatan kepada Jacky Chan 
dalam majlis anjuran MCA cawangan Gurney Drive

Gambar-gambar ini menunjukkan penglibatan Jacky Chan dalam MCA dan juga dengan Ong Ka Ting bukan setakat mengambil satu gambar bersama sahaja. Jacky Chan dan kumpulan kongsi-kongsi gelap merupakan tonggak kepada kejayaan MCA dan Gerakan di Pulau Pinang dalam pilihan raya yang lepas.

Bukan setakat Jacky Chan sahaja yang terlibat dalam MCA ataupun BN, tetapi semua ketua kongsi gelap yang besar  yang terdapat di Pulau Pinang adalah ahli parti komponen BN. Mereka seperti Tan Sri Tan Kok Ping, ketua kumpulan Pheh atau kumpulan “Merah” ,  seorang “ahli perniagaan” yang juga Pengarah dalam Berjaya Group, dan Datuk Lim Gait Tong, ketua kumpulan 04 dan pengerusi Farlim juga terlibat dalam politik BN. Tan Kok Ping, pada tahun 80-an pernah ditahan oleh polis dalam satu serbuan ke atas majlis angkat sumpah sulit ahli-ahli baru kumpulan Pheh di Bukit Gambir, Pulau Pinang. Beliau dilepaskan tanpa didakwa di mahkamah sementara 30 daripada ahlinya ditahan dan dihantar ke pusat pemulihan atau dibuang daerah.

Beliau kemudiannya bermesra dengan parti Gerakan sehinggalah berlaku perselisihan faham antara beliau dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Koh Tsu Koon. Tan Kok Ping kemudian menyertai MCA dan pada pilihan raya 1999, kumpulan Pheh atas arahan Tan telah merosakkan setiap poster besar Koh Tsu Koon dengan cat merah. Tan juga terlibat dalam kes cuba membeli calon pilihan raya Presiden di Taiwan, tetapi cubaannya gagal apabila pihak berkuasa Taiwan mengambil tindakan keras ke atas sindiket beliau. Datok Lim Gait Tong pula sangat aktif dalam dan juga untuk parti Gerakan, beliau merupakan proksi untuk parti Gerakan dalam usaha untuk menyekat kemaraan MCA di Pulau Pinang. Nama-nama ini tidak asing lagi bagi masyarakat Cina kerana mereka terlibat dalam segala bentuk aktiviti masyarakat, dari menjadi pemimpin dalam pertubuhan Cina sehinggalah menjadi “penderma murah hati”, dana-dana diberi kepada sekolah-sekolah, tokong-tokong dan parti politik.

Tetapi mereka sebenarnya adalah wakil kepada MCA dan Gerakan yang menjaga  kepentingan parti masing-masing.

Penglibatan kongsi-kongsi gelap dalam parti pemerintah bermajoriti Cina telah menyumbang kepada kemenangan besar BN di Pulau Pinang. Kongsi-kongsi gelap yang menjalankan kegiatan haram seperti pelacuran, pengedaran dadah dan VCD haram, pusat-pusat perjudian, dan peras-ugut merupakan penyumbang dana terbesar bagi parti-parti Cina dalam BN. Jacky Chan, contohnya, menyediakan dana untuk segala perkhidmatan termasuk makmal komputer di Jalan Fettes di bawah nama “Pusat Khidmat Barisan Nasional” (Malay Mail, 19 Julai 2003)

Selain daripada itu, kongsi gelap juga dapat menyediakan tenaga kerja atau petugas untuk menjayakan aktiviti-aktiviti parti. Perkara ini jelas dapat dilihat jika kita membuat perbandingan antara sebelum dan selepas pilihan raya 1990. Sebelum pilihan raya 1990, parti MCA dan Gerakan tidak banyak menumpukan perhatian dalam hal-hal perkhidmatan untuk  masyarakat Cina. Parti-parti ini merupakan parti taukeh-taukeh besar dan mereka hanya menjaga kepentingan mereka sendiri. Kumpulan-kumpulan kongsi gelap pula tidak mempunyai hubung-kait yang rapat dengan parti politik pemerintah seperti sekarang. Tugas mereka pada pilihan raya biasanya hanya mengambil kontrak memasang bendera dan poster daripada parti komponen BN dan pada masa yang sama menolong DAP memasang poster/benderanya dan juga berkempen secara mulut (sebaran maklumat yang berkesan di setiap kedai kopi, dan lain-lain tempat tumpuan orang ramai). Tetapi, perkara ini berubah apabila BN kalah teruk dalam pilihan raya 1990.

Parti MCA dan Gerakan mula rancak berdamping dengan kumpulan kongsi gelap sehinggalah Jacky Chan dibawa masuk ke MCA. Mulai daripada itu, DAP tidak lagi mendapat perkhidmatan percuma daripada kumpulan ini, dan ia jelas kelihatan di Parlimen Bukit Bendera pada 1999 di mana Lim Kit Siang bertanding. Dalam satu laporan media, Lim sendiri mengaku bahawa beliau kalah dalam perang poster kerana ketiadaan petugas sungguhpun poster-posternya sudah siap untuk dipasang (Jika tiada petugas daripada BA, sudah tentu hancur terus kempen DAP) dan kempen DAP mula sunyi.

Dengan menyekat perkhidmatan kongsi gelap kepada DAP, MCA dan Gerakan percaya bahawa parti pembangkang Cina yang terulung akan menghadapi masalah dalam kempen pilihan raya dan akan dikalahkan. MCA dan gerakan pula akan dapat memasuki ke akar umbi masyarakat Cina di setiap kampung baru atau kawasan tumpuan masyarakat Cina.. Ini terbukti berkesan pada pilihan raya 1995 dan 1999, DAP hanya menang 1 kerusi DUN dan 4 kerusi Parlimen (6 Parlimen tahun 1995) berbanding dengan 14 kerusi DUN dan 6 kerusi Parlimen pada pilihan raya 1990 (Bukan sahaja di kawasan MCA atau Gerakan, malah di kawasan yang ditandingi Umno pun ada cawangan MCA dengan kebiasaanya dipimpin oleh pemimpin kongsi gelap jika terdapat masyarakat Cina).

Satu contoh di mana kongsi gelap telah diserap masuk ke akar umbi masyarakat Cina adalah di DUN Berapit (bawah Parlimen Bukit Mertajam, Pulau Pinang), dahulunya kubu kuat DAP tetapi kini MCA di sana tidak dapat digugat oleh mana-mana pihak. ADUN-nya Lau Chek Tuan, ketua pemuda MCA Pulau Pinang adalah ahli kongsi gelap dan setiap pertubuhan Cina atau jawatankuasa Tokong, ketua masyarakat disapu bersih oleh kuncu-kuncu Lau. Kalau ada mayat, mereka bukan datang begitu sahaja, mereka juga menggunakan jentolak untuk mengangkut keranda si mati!!.

Akhir sekali, dakwaan Mahathir yang parti MCA ataupun presidennya tidak mempunyai hubungan dengan kongsi gelap adalah satu penipuan dan sama sekali tidak masuk akal. Umum mengetahui bahawa kongsi gelap dan parti Cina dalam BN adalah sebati. Tidak mungkin seorang tua seperti Mahathir dapat menutup bangkai gajah dan kepala ikan yang semakin busuk.

CK Chew, LUNAS - 26.07.2003 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN