Make your own free website on Tripod.com
 

Terkini: Spekulasi Pembubaran Parti Keadilan Nasional Bahagian Paya Besar !!

Assalammualaikum WBT dan Salam Perjuangan,

Laporan Cucu mengenai ura-ura pembubaran Parti Keadilan Nasional Bahagian Paya Besar telah mendapat respons yang pelbagai dari para pembaca. Ramai yang tertanya-tanya apakah ada kebenaran tentang laporan yang Cucu berikan.

Cucu cuba merisik apa yang berlaku di Paya Besar lewat malam tadi melalui SB Cucu di Kuantan. Untuk makluman pembaca spekulasi pembubaran Parti Keadilan Nasional Bahagian Paya Besar ini khabarnya kini sudah tiba ke pengetahuan MPT Keadilan.

Risikan SB Cucu mendapati pada pagi hari penamaan calon (13 Mac) yang diadakan di pejabat Majlis Perbandaran Kuantan, hanya beberapa orang sahaja penyokong kuat Keadilan Paya Besar yang turut memberi sokongan kepada Sdr. Saari Sungip. SB Cucu tidak melihat kelibat Sdr. Wan Jusoh Wan Kolok (Ketua Bahagian), Sdr. Mazlan (Timbalan Ketua Bahagian), Sdr. Ariffin Ismail (Setiausaha) dan Sdr. Mohd Shukri Jamaluddin (Ketua Pemuda) serta lain-lain AJK Bahagian Paya Besar yang hadir.

Hanya sedikit sahaja kelihatan bendera Keadilan yang berkibar, itu pun kabarnya dibawa oleh penyokong PAS. Apakah ini menunjukkan apa yang Cucu perkatakan dalam tulisan Cucu terdahulu adalah BENAR !! Ke mana hilangnya orang kuat Keadilan Paya Besar, yang selama ini berjuang sejak dari awal lagi selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menegakkan serta menghidupkan parti Keadilan Bahagian Paya Besar? Mengapa mereka memboikot dan tidak hadir semasa hari penamaan calon?

Jawapan yang dapat Cucu berikan ialah, kemungkinan besar Parti Keadilan Nasional Paya Besar akan dibubarkan adalah jelas dan pasti menjadi kenyataan. Khabarnya bukan sahaja pembubaran akan dilakukan, malahan kesemua AJK dan penyokong Keadilan Paya Besar juga akan turut meletakkan jawatan serta bertindak keluar dari Parti Keadilan Nasional. Kiranya ini benar-benar terjadi, apakah yang akan terjadi kepada Sdr. Saari Sungip. Beliau akan menjadi mangsa dalam polimik kepartian antara Sdr. Wan Jusoh dengan pucuk pimpinan MPT Keadilan. Sesuatu perlu dilakukan oleh Presiden Keadilan, Dr. Wan Azizah Ismail, kiranya tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku serta menggoncangkan Parti Keadilan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-11 pada 21 Mac 2004 ini.

Cucu amatlah berharap agar pucuk pimpinan Keadilan dapat menilai apa yang dilakukan terhadap Keadilan Paya Besar sebenarnya. Umum mengetahui Sdr. Saari Sungip adalah calon yang terbaik untuk bertanding di Paya Besar, Namun pucuk pimpinan seharusnya merujuk perkara tersebut kepada AJK Keadilan Paya Besar tentang pencalonan Sdr. Saari Sungip itu. Apa yang berlaku di Paya Besar, seolah-olah pucuk pimpinan menggunakan kuasa Veto untuk menghantar sesiapa sahaja bertanding di kawasan tersebut sedangkan hidupnya Keadilan Paya Besar adalah dirintis oleh AJK Keadilan sedia ada. Maka tidak hairanlah sekiranya Ketua Bahagian dan semua AJK amat marah akan apa yang berlaku.

Moral daripada kejadian ini, pucuk pimpinan harus mengadakan rundingan terlebih dahulu dengan AJK bahagian sekiranya ada sebarang maklumat terkini tentang dasar atau apa jua yang boleh menjejaskan keharmonian parti selepas ini. Apa yang berlaku di Paya Besar haruslah dijadikan pengajaran supaya MPT lebih berhati-hati dan profesional dalam menentukan sesuatu keputusan selepas ini.

CUCU MAT KILAU
Pahang DM
cmk_pahang@yahoo.com - 2.39 pagi - 14.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN