Make your own free website on Tripod.com
 

Isu Lokman: Benarkah Tiada Lagi Keadilan Dalam Parti Keadilan?

Assalammualaikum WBT dan Salam Perjuangan,

Cucu tertarik dengan tulisan Sdr. Ariffin Ismail yang bertajuk "Isu Pemecatan Lokman Nor Adam Tidak Relevan" yang disiarkan dalam beberapa buah laman web Pro-Reformasi baru-baru ini. Khabarnya tulisan beliau itu telah menggoncangkan  MPT Keadilan, hingga menyebabkan berlakunya mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu ini. Susulan daripada tulisan beliau juga, menyebabkan pucuk pimpinan Keadilan hilang kepercayaan terhadap Sdr. Wan Jusoh Wan Kolok selaku Ketua Bahagian Parti Keadilan Nasional Paya Besar.
 
Persoalannya sekarang apakah Isu pemecatan Sdr. Lokman Nor Adam masih relevan atau tidak? Cucu tidak berani untuk menyentuh secara detail akan tragedi Lokman vs Ezam ini. Namun sebagai pemerhati bebas yang sering memberi komen secara terbuka akan kepincangan yang berlaku dalam UMNO serta Barisan Nasional selama ini, Cucu rasa adalah lebih elok kiranya Cucu memberikan sedikit komen bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap Parti Keadilan Nasional.
 
Isu pemecatan Lokman menjadi tajuk utama semua media massa baru-baru ini. Ia terjadi berikutan kenyataan Lokman secara terbuka tentang penyelewengan dana parti yang melibatkan Sdr. Ezam, Sdr. Azmin dan Sdr. Khalid Jaafar. Rentetan dari kenyataan terbuka Lokman di media, menyebabkan Sdr. Ezam selaku Ketua Pemuda Keadilan memecat Sdr. Lokman daripada jawatan beliau ketika itu sebagai Setiausaha Pemuda Keadilan dan seterusnya MPT Keadilan pula bertindak menggantung dan seterusnya memecat Lokman daripada MPT dan ahli Keadilan.
 
Melihat kepada apa yang berlaku terhadap Sdr. Lokman ini, Cucu merasa sangsi dengan keputusan pemecatan beliau itu, tambahan pula mana mungkin Lokman sanggup melakukan pendedahan tersebut sekiranya beliau tidak mempunyai bukti yang kukuh. Tambahan pula Sdr. Lokman selama ini telah berjuang bersama Keadilan, sejak zaman Reformasi lagi ketika pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim. Tambahan pula beliau sanggup ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun, semata-mata untuk mempertahankan prinsip perjuangan beliau selama ini.
 
Cucu agak hairan dengan apa yang berlaku ini dan Cucu merasakan bagai ada sesuatu RAHSIA besar yang masih belum terurai dalam kemelut Lokman-Ezam ini. Ezam secara terang-terangan membuat tuduhan Lokman menjadi dalang untuk menarik beberapa orang kuat Keadilan menyertai UMNO. Sedangkan hingga ke hari ini, Lokman sendiri dilihat tidak menyertai UMNO. Maka terbukti yang Sdr. Ezam tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk memecat Sdr.Lokman sebenarnya.
 
Persoalan tentang wujudnya penyelewengan dana parti Keadilan Nasional yang sepatutnya berada dalam akaun Pemuda Keadilan masih belum terjawab lagi. Walaupun Sdr. Lokman membuat akuan bersumpah dengan menjunjung Al-Quran di Masjid Negara baru-baru ini, namun sehingga ke hari ini Sdr. Ezam, Sdr. Azmin dan Sdr. Khalid Jaafar belum berani untuk menyahut cabaran bersumpah Al-Quran Lokman itu. Sedangkan dalam Islam, jelas kepada kita sekiranya berlaku pertelagahan antara dua pihak maka Al-Quran adalah jalan penyelesaiannya. Banyak kejadian seperti ini berlaku dalam sejarah Islam. Maka apalah salahnya Ezam, Azmin dan Khalid Jaafar menyahut cabaran Lokman bagi membersihkan imej mereka. Bukannya dengan menyatakan sebaliknya.
 
Kreadibiliti Ezam agak sedikit terjejas dalam Isu Lokman ini, memandangkan beliau dikatakan memaksa MPT untuk memecat Sdr. Lokman sebelum beliau dibicarakan. Cucu juga mendengar khabar antara lain Sdr. Lokman tidak mahu hadir dalam perbicaraan kes beliau ketika itu, kerana ketiga-tiga pendakwaraya yang akan mendengar kes beliau adalah ahli MPT sendiri yang merupakan orang kanan Ezam. Mana mungkin kata Lokman "Polis Ingin Menyiasat Polis". Sepatutnya perbicaraan kes Lokman ini dibuat dengan adil dan saksama. Perbicaraan Lokman juga perlu dilakukan di depan saksi atau pendakwaraya yang berkecuali demi mengelakkan dari berlakunya ketidakadilan terhadap beliau.
 
Contoh kes Lokman ini juga sama dengan Kes Rayuan Dato' Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan baru-baru ini. Mana mungkin DSAI akan diberikan keadilan, kerana kata orang Keadilan, hakim-hakim yang mendengar kes rayuan Anwar sudah dibeli oleh Kerajaan. Begitu juga dalam isu pemecatan Anwar, perbicaraan dan sebagainya sebelum  ini.

Orang Keadilan pandai menyebut bahawa, kerajaan tidak mengadili DSAI secara adil dan saksama, sehingga terkeluar "Hakim Coklat Hacks" dan sebagainya.
 
Kini, jelas Cucu melihat apa yang berlaku terhadap Lokman juga lebih kurang sama dengan apa yang terjadi kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim. DSAI dipecat dari Keadilan dan dikatakan dibicarakan secara tidak adil. Lokman pula dipecat dari Keadilan dan juga dibicarakan secara tidak adil. Anwar dinafikan hak untuk mengemukakan bukti-bukti tentang kes beliau, malahan hakim menolak dan tidak melakukan penyiasatan terhadap dakwaan serta bukti yang beliau kemukakan. Kini perkara yang sama terjadi kepada Sdr. Lokman, segala dakwaan beliau terhadap Ezam, Azmin dan Khalid Jaafar, bukan sahaja tidak disiasat secara adil oleh MPT Keadilan. Segala bukti yang beliau kemukakan juga tidak disiasat, dan akhirnya beliau terus dipecat dari Setiausaha Pemuda, MPT malahan dari ahli Keadilan sendiri. Inilah yang dikatakan sesuatu yang tidak adil bagi orang seperti Lokman, yang selama ini telah banyak menyumbang jasa dan sanggup terpenjara demi Keadilan sebenarnya.
 
Cucu tidak mahu mengulas lebih panjang tentang isu Lokman ini sebenarnya. Namun begitu Cucu amatlah berharap agar pucuk pimpinan parti dapat mengkaji segala tindakan yang dilakukan terhadap ahli parti Keadilan Nasional selepas ini. Janganlah kita hanya berjaya menjadi jagoan untuk menegakkan Keadilan tetapi, kita sendiri tidak adil terhadap ahli kita sendiri. Berfikir sebelum bertindak. Apalah guna Keadilan sekiranya ia dicemari oleh segelintir manusia yang mempunyai kepentingan diri masing-masing. Cucu juga berharap agar pihak MPT mengambil iktibar akan perkara ini, agar ianya tidak berlaku lagi kepada para pejuang Keadilan yang lain selepas ini. Kita tidak mahu ahli Keadilan di peringkat akar umbi hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti selepas ini.
 
Apa yang Cucu jangkakan, mungkinkah selepas ini Sdr. Wan Jusoh Wan Kolok, Ketua Keadilan Bahagian Paya Besar serta Ahli Jawatankuasanya akan turut menerima nasib yang sama seperti Lokman. Sama-sama kita nantikan episod ini. Lokman vs Ezam di manakan kesudahannya?

CUCU MAT KILAU
Pahang DM
cmk_pahang@yahoo.com - 3.42 pagi - 14.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN