Make your own free website on Tripod.com
 

Pergolakan Dalam BN: Sanggup Bunuh Kawan Untuk Survival
Peluang Ustaz Mohd Sayuti bin Said untuk memenangi DUN Bukit Melawati adalah tipis kerana beliau bukan sahaja terpaksa berdepan dengan cabaran hebat calon BA tetapi pada masa yang sama terpaksa menghadapi ancaman dalaman sengaja dicetuskan oleh golongan tertentu yang didalangi oleh pemimpin utama Umno Bahagian Kuala Selangor.

Menurut sumber dalaman Umno Bahagian, peluang Ustaz Sayuti untuk mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Selangor ditangan BN adalah cerah jika beliau dicalonkan semula.

Ustaz Sayuti difahamkan amat terkejut dan sedih apabila namanya dicalonkan untuk DUN Melawati. Kelemahan yang ada pada dirinya terutama dari segi kepetahan berhujah dan kelayakan akademik meletakkan beliau terlalu `rendah` jika dibandingkan dengan calon BA Encik Norman Toha.

Norman Toha merupakan pemegang Sarjana Muda Sains Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Chadwick, Amerika Syarikat dan pernah bekerja di negara itu selama dua tahun sebelum pulang ke tanah air pada akhir tahun 1992.

Calon BA DUN Bukit Melawati itu juga adalah Yang Di Pertua Pas Kawasan Kuala Selangor dan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor. Beliau petah berhujah dan memiliki PR yang amat baik.

Ustaz Sayuti hanya berkelulusan Darjah Empat Thanawi dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Gred 3. Prestasinya sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor 1999-2003 tidaklah begitu baik. Peluang ini digunakan oleh Daud Tarihep, Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor untuk membuli Sayuti.

Kemuncak pembulian itu menyaksikan Daud Tarihep menyingkirkan Sayuti ke DUN Bukit Melawati tanpa sedikit pun perbincangan dibuat. Daud difahamkan menggunakan TS Mohammad bin Mohd Taib Naib Presiden Umno untuk melobi kerusi Parlimen Kuala Selangor itu.

Sebenarnya Daud sudah ditetapkan untuk bertanding di DUN Bukit Melawati. Setelah mendapati DUN berkenaan tidak selamat buat dirinya dan Umno BN, beliau terpaksa merampas kerusi Sayuti untuk survival.

Seperkara lagi Daud sememangnya sudah lama menyimpan dendam kepada Sayuti disebabkan Sayuti dianggap sebagai penyokong kuat bekas MB Selangor DS Abu Hassan Omar. Permusuhan Daud dengan Abu Hassan adalah permusuhan sampai ke tulang hitam.

Bukan sahaja memusnahkan karier politik Sayuti, malah Daud dikatakan akan menjahanamkan Encik Amiruddin Sutero calon DUN Jeram. Daud menganggap Sayuti dan Amiruddin sebagai saingannya di dalam kepimpinan Umno Bahagian Kuala Selangor.

Terbukti Daud sanggup berbuat apa sahaja untuk survival politiknya,bukan untuk kebaikan parti.

- Dollah Dagang  - 13.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN