Make your own free website on Tripod.com

Apabila PDRM Bertukar Menjadi PRdM
Oleh Dr Nologareng
Memang sesuatu yang malang dan memalukan apabila kita menulis dan mengkritik polis. Ianya terasa begitu kerana majoriti daripadanya adalah bangsa kita sendiri yakni Melayu yang beragama Islam. Akan tetapi demi kebenaran dan untuk menyedarkan anak bangsa, perlu juga kita mengorbankan sentimen demi kebaikan bersama – sama ada pada orang awam mahupun anggota polis sendiri.

Tidak sepertimana yang cuba disogok oleh Pengarah Yusoff Haslam dan sutradara lainnya yang menunjukkan bagaimana anggota polis begitu berdedikasi dan sedikit rendah daripada malaikat lagaknya dalam menjalankan tugas. Hakikat di alam nyata dalam negara kita, jauh berbeza. Rata-rata rakyat marhaen merasa berdebar dan sangsi dengan kehadiran mereka sepertimana kita didatangi penyangak mahupun penyamun. Berlapik cakap, bukanlah semua anggota begitu. Namun apabila majoritinya bersikap haprak maka rosaklah susu sebelanga kerana setitik nila!

Kita kurang pasti bilakah tarikh sebenarnya yang menjadikan anggota polis gila-gila, samseng, perasuah dan bersekongkol pula dengan penjenayah. Setahu kita di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, mereka diajar doktrin kepolisan yang patuh dan menjunjung perundangan negara. Mereka diajar supaya berketrampilan dan berkeyakinan apabila berhadapan dengan masyarakat yang berbilang jenis kaum, taraf ekonomi, hiraki sosial dan akademiknya. Malangnya apa yang sering kita lihat di jalanraya dan juga dalam perhimpunan rakyat dan ceramah politik, mereka telah bertukar rupa dan fungsinya. Daripada menjadi seorang pegawai yang berkeyakinan, mereka berubah menjadi samseng dan haprak jalanan!

Itu yang kecil pangkat atau hanya konstabel sahaja. Bagi yang berpangkat dan menguasai satu-satu daerah lain pula cerita kotornya.

Jenayah dan rasuah memang tidak berpisah! Itu adalah ungkapan yang telah dibuat oleh Presiden Argentina Nestor Kirchner semasa berucap dalam TV menangani masalah rasuah dan disiplin di kalangan Pegawai Polis. Beliau telah menekan Kerajaan tempatan bagi menyingkir mana-mana Ketua Polis provinsi yang kotor dan jijik sepertimana yang berlaku dalam negara kita. Dengan wujudnya entiti rasuah, makanya barulah jenayah mendapat ruang untuk membiak dan subur. Jika kucing banyak dan berkesan secara alaminya, mustahil tikus-tikus dapat bermaharajagila. Begitu jugalah dalam memperkatakan akan fungsi polis dalam negara kita. Jenayah hanya boleh berkembang sekiranya musuhnya, yakni penguatkuasa undang-undang telah tidak berfungsi atau berkompromi dan menjadi akomplis mereka.

Itulah fenomena yang telah berlaku dan menular dalam negara kita. Memang sedih dan malang bagi negara kita. Kerana sekaligus kita bagai hidup di bawah bom jerangkap samar, bila-bila masa sahaja perbalahan kaum bisa terjadi apabila masalah samseng dan kongsi gelap tidak ditangani sewajarnya. Sudah tidak berkesan lagi bagi mereka untuk terus berbohong betapa keselamatan negara senantiasa terjamin apabila persoalan penting itu tidak ditangani dengan berkesan. Umno dengan PKPM, Gagak Hitam, Jeket Hitam dan Pekida, MCA pula dengan samseng Triad dan kongsi gelap, manakala MIC pula dengan anasir Tamil Eelam dan samseng tempatan. Malah setiap parti politik dalam BN ada tentera politiknya sendiri. Kenapakah pehak Polis yang bertanggungjawab membiarkan ia membiak?

Itulah kunci persoalan yang mampu menjawab semua masalah etika dan salahlaku dalam perkhidmatan polis dari peringkat atasan di Bukit Aman  sehinggalah ke akar umbinya!

Ikan membusuk bermula daripada kepalanya...

Itu secara ringkas dapat menerangkan apa yang telah berlaku dalam institusi itu sehingga ada Ketua mereka yang digelari sebagai Bapa Anjing manakala yang terkini pula dengan gelaran Raja Pasemboor. Seorang bekas KPN yang bernama Haniff Omar yang kini sebagai Pengerusi Genting pernah mengatakan tiada ayat larangan berjudi dalam Al-Quran. Manakala ramai lagi bekas ketua unit-unit tertentu dalam PRdM yang menjawat tugas tertentu dalam industri perjudian selepas bersara. Bagaimana agaknya kehidupan mereka semasa dalam perkhidmatan?

Khabarnya Raja Pasemboor memiliki kereta Jaguar model terbaru. Itu tidak menghairankan kita. Seperti yang kita beritahu dahulu, ada seorang OCPD di sebuah negeri Utara Malaysia mengutip duit haram yang disediakan oleh towkey Cina sebanyak RM40 ribu setiap bulan tanpa tangguh! Gamaknya berapa yang digasak oleh Ketua Polis Negara seperti Norian Mai dan pembantu-pembantu yang berada di sekeliling pinggangnya? Hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahuinya!

Kemudian kita teropong dan hayati kehidupan anggota polis di kawasan sekitar kita. Cuba perhatikan keranggian gaya hidupnya yang sungguh mengkagumkan itu, walhalnya mereka hanya berpangkat koperal, sarjan mahupun Inspektor sahaja! Ada yang mempunyai dua buah kereta sedangkan isterinya tidak bekerja. Kita tidak kisah bagi yang melakukan kerja halal di luar jadual tugasnya. Bagaimana pula yang hanya bergantung kepada gajinya semata-mata? Benarkah mereka mampu membiayai semua kemewahan itu? Janganlah pula memberi alasan yang keluarga mereka kaya raya. Kalau benar kaya, buat apa nak kerja polis lebih baik mengurus harta mak bapa yang kaya tadi. Logik, kan?

Perhatikan peralatan elektrik dalam rumah tangga mereka. Kerapkali mengalahkan keselesaan rumah yang dimiliki sepasang suami isteri guru atau doktor kerajaan. Itu sebablah ramai anggota polis sekiranya tinggal di luar kuarters memilih untuk tinggal di kawasan kaum Cina yang memangnya tidak suka mengambil tahu dan kepoh seperti bangsa Melayu. Secara tidak langsung juga mudah untuk mereka bergerak dan dikunjungi oleh golongan tertentu seperti towkey judi dan perniagaan haram yang dimiliki oleh orang politik MCA dan Gerakan. Wa kasi lu kenyang, lu kasi wa senang maa….! Itulah asas kepada penyelewengan tugas oleh anggota polis yang sungguh haprak.

Wang, kebendaan dan kerapkali perempuan menjadi umpan yang cukup ampuh dan berkesan. Memanglah mereka boleh memberi alasan gaji kecil sebagai penyebabnya. Bagaimana agaknya nak diterangkan tentang pengamalan rasuah di kalangan Pegawai Tertinggi yang ribuan gajinya? Apakah mereka kira rakyat kecil yang sering mereka ‘pau’ di jalan-jalan dan lorong itu punya gaji yang besar? Apakah mereka tidak berasa di hati akan kesedihan mangsa yang terpaksa menyerahkan duit belanja susu dan beras di rumah bagi melepaskan diri daripada surat saman yang diugut?

Dua hari lepas seorang anggota polis Abd Razak Pilen sudah pun dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan 17 sebatan atas kesalahan merogol dua orang tahanan dalam lokap. Agak malang untuknya kerana tersangkut juga dalam dakwaan itu. Kerap kalinya mereka terlepas. Mungkin kali ini kerana melibatkan rakyat asing yang mungkin merosakkan nama Malaysia, maka beliau dihukum seberat itu. Bagaimana pula dengan kejadian yang lain dengan Pegawai tinggi terlepas begitu sahaja? Kenapa agaknya beliau tidak menggunakan helah seperti Rahim Anunya Tidak Kechik supaya terlepas dan boleh bercakap besar pula di khalayak?

Seorang penulis yang menggunakan nama Ashraf telah memberitahu kita akan pengamalan rasuah yang dahsyat oleh seorang Ketua Polis di Kuala Langat. Ia sekaligus membangkitkan kisah Ketua samseng di situ yang bernama Tan Hock Lau yang telah dibunuh di Jalan Imbi tempoh hari. Beberapa persoalan timbul daripada nama ketua Triad kawasan itu. Benarkah ia dibunuh akibat perebutan kuasa dan kawasan operasi seperti didakwa Polis? Ataukah ia dibalun oleh anggota UTK secara luar jadual seperti yang dialami oleh Joe Fernandez, wakil Rakyat Lunas tempoh hari? Memanglah kongsi gelap dan polis saling bekerjasama demi keuntungan, akan tetapi apabila ia terlalu juah dan menyusahkan pihak-pihak tertentu, tentu sahaja diberi pediah dan sebagai pengajaran pada yang lainnya!!

Itu jugalah nasib malang yang menimpa Syed Ah Koon, seorang towkey balak yang kamcing dengan MB Kedah Syed Razak. Apabila konsesi pembalakan dibatalkan sedangkan duit RM123 juta sudah bertukar tangan dan pembangkang mengasak dalam Dewan, jalan keluarnya adalah ditutup semua jejak bagaimana rasuah itu disampaikan. Kini beliau hanya menjadi kenangan setelah badannya dihujani puluhan butir peluru! Namun Syarikat WTK tidak akan kerugian apa-apa kerana kerajaan negeri pasti memberi gantirugi. Sekali lagi, atas kecurangan pemimpin negeri, rakyat yang terpaksa menanggungnya.

Mana-mana negeri yang kegiatan haram berleluasa dan membiak di situ jugalah peluang bagi anggota polis membuat harta haram! Ipoh, KL, Johor Baharu, Seremban, Melaka dan Pulau Pinang. Yang kecil barrelnya kecil juga lah perolehannya, namun angka itu jauh mengatasai gaji bulanan! Manakala yang berpangkat tinggi lain pula kaedahnya. Ia mungkin berbentuk sampul surat, atau wang yang bertukar tangan di padang golf! Yang lebih canggih dan anggun terus masuk ke dalam akaun. Oh! Tentu sahaja bukan atas namanya. Ada juga yang ditaja percutian sehingga ke luar negara. Pendek kata mengikut jenis dan jasa yang mereka terima daripada pegawai terbabit.

Malah ada sehingga towkey-towkey Cina sponsor bahan untuk majlis perkahwinan. Tuan rumah menerima sahaja ketulan ayam yang sudah siap diproses. Siapa agaknya yang menentukan halal haramnya? Siapa yang melihat ayam itu disembelih? Kalau mengikut budaya Cina tentu sahaja ia dapatkan bekalan ayam itu daripada kaum satu sei nya! Alamat ayam ditebuk leher lah…….. akan tetapi manusia jenis ini peduli apa! Janji bersih dan berkilat. Kalau tidak, manakan sanggup mereka menjamah chicken wing panggang yang dimasak Ah Keong! Halal ka haram? Kila hantam saja ma..

Hubungan Pegawai polis dan penjenayah sebegitu direstui pula oleh pemimpin kerajaan dengan syarat pandai makan pandailah simpan! Di sinilah terbentuknya perkongsian bijak dan saling mengaut untung pada timbangan dunia. Pemimpin UmnoBn, Pegawai Tinggi Polis dan Ketua Triad atau kongsi gelap saling bertolongan dan bantu membantu untuk mengecapi segala kemewahan yang berada sekeliling mereka. Masing-masing ada etika dan had batasan yang perlu dihormati. Ketua Triad akan mengutip dana secara paksa dari peniaga yang ‘dilindungi’ mereka lalu mengagih-agih sebahagiannya kepada agensi penguatkuasaan kerajaan seperti kerajaan tempatan, JPJ, kastam dan polis. Manakala penguasa yang termakan budi ini akan memastikan segala kegiatan tidak diusik penguatkuasa yang kadang-kadang tidak tahu apa-apa. Pihak NTV7 melalui segmen Edisi Siasat telah menayangkan rakaman video bagaimana sebuah lori yang penuh sarat dengan pasir melalui sekatan jalan raya yang dikendalikan oleh polis, tanpa sebarang pemeriksaan. Kejadian itu dirakamkan pada waktu malam sedangkan umum mengetahui bahawa permit menghadkan kenderaan berat seumpama itu bergerak antara jam 8 pagi hingga 5 petang sahaja. Namun pihak polis bertindak seolah-olah tidak pun menyedari kenderaan berat tersebut melintasi sekatan jalan raya yang mereka kendalikan!

Batas sempadan dan kerahsiaan dijaga rapi supaya tidak terbocor kepada umum yang memungkinkan tindakbalas sebelah pihak yang tidak diingini.
Inilah yang berlaku sekeliling kita. Perhatikan bagaimana kadang-kadang peniaga Cina terang-terangan melanggar peraturan dan adab tanpa rasa bersalah. Malah mereka siap melawan dengan garang terhadap kakitangan bawahan penguatkuasa. Mereka bebas parking lori atau bas dalam kawasan taman perumahan, membawa kenderaan itu tanpa lesen atau cukai jalan. Apabila orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tingkahlaku mereka dengan bersemuka, selamba sahaja jawapan yang diberi mereka, “lu tak usah bikin repot, itu polis sama JPJ sudah dalam wa punya poket maa…!!” Kekasaran bahasa begini yang secara tidak langsung telah membocorkan kerahsiaan itulah yang mengundang padah!

Apabila para samseng sudah terlalu juah dan naik kepala atau sudah bersikap kaduk naik junjung, maka berlakulah insiden sebelah pihak yang membatalkan perjanjian Syaitan yang termeterai sebelumnya. Apa yang menimpa Tan Hock Lau, Syed Ah Koon, Joe Fernandez adalah manifestasi daripada perjanjian yang wujud secara rahsia itu. Keadaan ini juga dapat menerangkan apa yang menimpa Jackie Chan seorang jagoan dunia kongsi gelap yang selama ini bersekongkol dengan Presiden MCA Ong Ka Ting! Apabila kaduk sudah naik junjung maka sokong pun membawanya rebah. Masalah MCA yang didakwa Ong Ka Ting sebagai sudah selesai sebenarnya jauh panggang dari api. Jackie Chan baru seorang sahaja. Nama ratusan lagi ahli yang terlibat kongsi gelap seperti senarai yang diserah Ong Tee Kiat perlu ditangani dengan tepat dan saksama. Maknanya, jaminan Presiden MCA itu hanya wayang opera untuk pilihan raya sahaja! Kemenangan besar MCA daripada DAP dalam pilihan raya umum lalu di Pulau Pinang adalah disebabkan oleh unsur ugutan kongsi gelap Triad ini.

Apa yang dikatakan Presiden Argentina berkenaan rasuah dan jenayah adalah ungkapan yang jitu dan tepat. Sepertimana dengan penyeludupan dadah, rokok kretek dan berbagai jualan yang boleh dicukaikan adalah dengan kerjasama polis! Ada satu cerita di negeri Shahidan Kassim apabila penyeludupan benih kerang berlaku di depan mata polis, kastam dan Unit Pencegah Penyeludupan! Lebih aneh dan menggelikan hati ialah, tekong darat yang memantau penyeludupan benih anak kerang itu bersama-sama anggota penguatkuasa di jeti nelayan berhampiran sambil melambai kepada bot yang menyeludup benih kerang itu ke Thailand. Untuk pengetahuan kita bersama, keseluruhan operasi haram yang merugikan ekonomi negara secara jangkapanjang itu adalah dilakukan oleh ahli dan pemimpin Umno dari Selangor sehinggalah ke Perlis. Anggota penguatkuasa didiamkan dengan bayaran RM1000 satu lori kontena untuk dikongsi bersama!!

Memang terlalu banyak cerita salahlaku dan kejahatan yang dibuat anggota polis dan penguatkuasa lainnya. Satu artikel tidak mungkin akan memuatkan kesemua gejala buruk itu. Namun kita akan cuba menghidangkannya secara berdikit dan berterusan apabila ada isu yang berkaitan.

Semoga apa yang dihidangkan ini segera membuka kesedaran dan keinsafan untuk berhenti dan bertaubat dari terus bergelomang dan bersekongkol dengan jenayah. Mereputnya institusi kepolisan adalah dek kerana kemahuan dan keizinan pemerintah yang ditunjangi Umno yang tentu sahaja punya kepentingan atas kehaprakan sebegitu. Matlamat mereka adalah untuk terus mencengkam kuasa dengan anggota PRdM yang boleh dikudakan sebagai militianya!

Yang baik tentu sahaja dari Allah. Kesilapan adalah dari nafsu kita sendiri.

Dr. Nologareng - 11.08.2003 (suntingan M@RHAEN)
Artikel berkaitan:
Ashraf: Alahai, Lagi Kisah Anak Buah Raja Pasembor!
Jingoza: Alahai Anak Buah Raja Pasembor!
TAG 1342 Pravda.ru: Malaysia Memerlukan PM Seperti Ini!!
TAG 1353 MGGP: Kisah MCA dan Triad

Perbendaharaan kata M@RHAEN:
PRdM: Polis Raja di Malaysia
Bermaharajagila: Menggantikan bermaharajalela - Tidak wajar kita menyama-taraf atau mengumpamakan tindakan liar dan tidak berperikemanusiaan itu kepada Wira Bangsa Melayu, Dato' Maharaja Lela, yang telah membunuh penjajah bernama JWW Birch. Kami berasa bangga kerana kini ramai di kalangan penulis pro-reformasi telah mengguna-pakai perumpamaan 'bermaharajagila' ini.


Tapak Cerminan M@RHAEN http://marhaen0.tripod.com/ - http://marhaen1.tripod.com/ - http://marhaen2.tripod.com/http://marhaen3.tripod.com/ - http://marhaen4.tripod.com
~ Sila cetak dan sebarkan terutama di kampung-kampung di mana mereka hanya disogokkan berita-berita fitnah yang disebarkan oleh media milik umno/bn ~ .
Click Here!