Make your own free website on Tripod.com
 

PakLah Menyambut Hindun Pulang Pun Menjadi Kempen
Oleh Dr Nologareng
Diberitakan dalam akhbar UM, betapa PM kelihatan gembira menyambut isterinya Hendon yang baru pulang dari rawatan di Amerika. Isteri PM itu mengidap penyakit barah buah dada seperti mana kembarnya yang sudah pun kembali ke rahmatullah akibat penyakit itu juga. Sekeping gambar mereka berjalan beriringan dengan PakLah memeluk Endon sambil isterinya tersenyum menguntum disertakan sekali.

Kisah keintiman PakLah dan Endon seperti yang ditunjuk akhbar itu memang berbeza benar dengan peristiwa satu ketika di mana PakLah terpaksa keluar rumah di awal pagi dengan hanya pulang ketika dinihari kerana tidak tahan dengan karenah isteri akibat kesilapan haluan politiknya ketika itu. Saya difahamkan ketika rewang politik PakLah, isterinya adalah juga Datin Endon yang sama yang ketika itu sihat bugar tanpa penyakit barah payu dara. Ketiadaan Endon semasa ibu PakLah meninggal dunia dikatakan tidak memberi sebarang makna kerana Endon sebetulnya tidak betah dengan suasana kehidupan di kampung PakLah. Endon lebih gemar untuk mengongsi di hotel sahaja ketika PakLah kembali ke tempat lahirnya.

Sungguh kerap akhir-akhir ini bagi Endon mendapatkan rawatan di luar negeri. Pembedahan sudah pun dilakukan, ini mungkin rawatan susulan serta dicampurkan dengan rawatan ubat alternatif yang tentu tidak sedikit biayanya. Nasib baik lah Endon menjadi isteri PakLah si Perdana Menteri. Bagaimana nasibnya kalau ia isteri kepada penjual mee goreng di Pasar Malam atau seorang petani di kawasan Kepala Batas?

Sebelum ini PakLah sudah pun digambarkan sebagai seorang yang mampu menjadi Imam, mengepalai jemaah sembahyang semasa ia mula menjadi Perdana Menteri. Kemudian untuk memikat pengundi Cina dikhabarkan juga ia berketurunan Cina! Tentang kehebatan pemerintahannya selepas 100 hari telah dicanang akhbar dengan Najib sebagai tukang karutnya. Hari ini, untuk mengunci hati pengundi wanita PakLah telah digambar sebagai seorang PM yang sungguh menyayangi isterinya! Memang benar PakLah selalu menyambut isteri kalau pulang dari luar negeri, atau ketika Endon datang dengan kapal terbang sendirian.

Pernah terjadi di Pulau Pinang, PakLah telah membatalkan perjumpaan politik dan kakitangan kerajaan negeri sambil kalut berlepas pergi. Mereka yang terbabit terpinga-pinga, kemudiannya baru lah diketahui yang PakLah terpaksa pergi untuk menyambut kedatangan isterinya!- DS Endon itu lah juga……

Kalau kita lihat secara santai, kelihatan PakLah seorang yang mengambil tahu dan prihatin akan masalah kesihatan Endon. Mungkin itu yang cuba disogok media kepada kita! Maka cuba dicatur otak marhaen juga betapa ia seorang pemimpin yang prihatin. Akan tetapi ia lebih bersifat peribadi sahaja. Rakyat tidak mempedulikannya. Ia sepatutnya melakukan lebih jauh dan baik dari itu, Bukannya dilihat mengikut jejak Raja Kelentong yang telah pergi itu.

100 Hari PakLah di kemuncak kuasa tidak memperbaiki keadaan dan memulihkan ketidakpercayaan rakyat marhaen. Tidak! Yang memuji sakan ialah Najib. Memang lah itu laksana gelagat anjing liar hyena yang menanti sisa makanan sang singa. Tentu sahaja ia akan membesar-besarkan cerita agar si PM tidak curiga serta percaya pula kepadanya. Akan tetapi jika berpeluang, leher sang singa juga akan dibedalnya!

PakLah yang cuba menonjolkan imej tidak mempengaruhi institusi kerajaan gagal pula dalam beberapa keadaan untuk membetulkan suasana. PakLah sendiri pernah mengaku betapa ia tiada perbalahan dengan Anwar Ibrahim sambil mengaku pula yang kes itu lebih kepada soal politik antara penghuni Sungai Buloh dan juga Mamanda Celaka itu. Jika benar bagai dakwanya kenapa tidak ia lakukan sesuatu supaya keadaan itu diperbetulkan sambil dapat pula memperbaiki imej parti yang diterajuinya dan mengaut untung peribadi yang bukan sedikit? Apakah ada kuasa ghaib yang mengawal ia secara remot? Apakah benar bahawa nasib Anwar adalah salah satu prasyarat yang perlu dipatuhi semasa mendapat kuasa dari Tun KT?

Kes Anwar Ibrahim akan selamanya menjadi relevan. Ia sudah menjadi satu ikon yang perkasa kerana liku-liku sejarah perjuangan juga. Kalau mengikut ide haprak si Anggur Kering itu, Anwar akan dilupakan dalam 100 hari sahaja. Atas keangkuhannya, bukan setakat dirinya digelar Kepala Taik, malah seluruh jasanya yang terdahulu mahupun rejimnya terpalit sama. Nama itu mampu membuatkan para  pemimpin Umno tak tidur lena walaupun rapat mereka memejamkan mata.

Inilah perkara pertama yang harus diberes dan dibersihkan PakLah sebelum boleh mengaku betapa orang Melayu telah kembali berduyun memihak mereka. Janganlah percaya kepada propaganda yang dibuat dan disogok jentera sendiri. Kelak sendiri yang akan menerima malu.

Rejim PakLah bukan sahaja terhenyak oleh kes Anwar yang diwarisi dari TKT, malah ia juga telah dianduh dengan kes ejen pembekalan peralatan loji nuklear pasaran gelap oleh syarikat Scope milik anaknya Kamaludin. Manakala kes rasuah yang dibanterasnya telah tersandung sehingga pengamalnya seperti Rafidah mampu menunjuk sombong!! Ianya berhenti setakat di situ dan matlamat untuk terus memperbodohkan rakyat berparti Umno telah berjaya. Tak kiralah sama ada mereka itu seorang JKK bongok atau pun seorang Lawyer seperti Azalina mahupun Rais Pembakar Jambatan. Mereka sama sahaja.

Keyakinan Umno menawan Kelantan dan Terengganu ialah kenyataan syok-syok sendiri. Kekalutan mereka bertumpu di Kedah jelas membayangkan akan ada perubahan ketara sehingga melihatkan Pak Syed Razak serba tak kena. Memang Umno telah dimusuhi dan dibenci di kawasan majoriti Melayu. Itu sebab lah mereka telah mengubah sempadan sehingga mengecilkan kawasan Melayu dengan mengubah kawasan pengundi keturunan Cina dalamnya. Inilah dia contoh politik marang kerapu yang akan menghamput Umno sendiri. Parti Yahudi Likud dan juga Buruh Negara Haram Israel sanggup dijatuhkan asal sahaja perjuangan bangsanya diutamakan. Parti Umno lain pula coraknya. Bukan setakat kelambu dibakar malah dengan rumahnya sekali disiram minyak.

PakLah jelas gagal dan tidak berupaya membawa Umno ke persada kuasa seperti sebelumnya. Tidak kiralah siapa pun ketika ini, tidak mampu lagi memacu Umno ke mercu kuasa dengan penuh bergaya. Najib tak layak, malah kalau Tun Kepala Taik mahu aktif semula juga akan berakhir dengan kegagalan yang serupa.

Secara perbandingan seperti kata pemerhati, suasana tahun 1969 berulang kembali. Kali ini PPP diganti dengan Keadilan dengan PAS menjadi pendokong utama barisan Pembangkang. Kalau tercetus suasana kekalahan UmnoBn dan kegagalan mereka membentuk kerajaan negeri, apakah mereka akan mengadakan lakon semula Purbawara 13 Mei? Itu yang menjadi tumpuan ramai orang. Rakyat semakin mengingati betapa PakLah dahulunya adalah seorang Setiausaha kepada MAGERAN hasil kekecohan kaum yang digerakkan seorang doktor bernama Mahathir dan konconya ketika itu. Kemudian berlakulah kudita orang Melayu dalam politik negara. Itu cerita 3 dekad yang lalu. Soalnya, apakah ia mungkin berulang lagi? Mungkin PakLah  ada jawapannya.

Selain dari itu, pemerhati menjangkakan pergolakan hebat dalam Umno akan berlaku sebaik nama calon diumumkan. Kemungkinan perbalahan sebegitu akan membantu Barisan Alternatif mencipta kejutan sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum ini.

Sebelum terlupa elok juga kita merakamkan takziah kepada keluarga dua anggota TUDM yang telah terkorban dalam nahas Helikopter Nuri yang berusia 36 tahun itu. Bukan lagi suatu rahsia bagaimana penyelenggaraan pesawat TUDM menjadi kecoh sejak dasar penswastaan diperkenalkan oleh rejim pemerintah. Keluhan seorang Juruterbang TUDM sedikit masa lalu masih lagi relevan betapa ada sesuatu yang tidak kena. Apakah kejadian ini bakal mengukuhkan lagi sokongan tentera kepada Barisan Alternatif? Seperkara lagi, apakah helikopter itu adalah pesawat yang disediakan khusus untuk PakLah dalam Pilihan Raya Umum ini seperti mana yang pernah dibuat kepada Anwar Ibrahim?

Apa pun, gambar kemesraan PakLah tidak dapat mengubah iltizam rakyat kecil untuk merebahkan rejim khianat yang memerintah hari ini. Ya, rejim yang diketuai oleh Imam Abdullah Ahmad Badawi.

Dr. Nologareng - 06.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN