Make your own free website on Tripod.com
 

Jadi BA Tewas Kepada Kelicikan SPR Yang Khianat
Oleh Dr Nologareng
Memang handal dan hebat sekali komponen ke 15 Gagasan BN ini. Ianya menjadi begitu hebat dan berkuasa dan khadam pemerintah yang sungguh patuh di bawah seorang yang bernama Tan Sri Abdul Rashid. SPR telah melaksanakan sepenuhnya agenda serta melakar dengan baik kemenangan dan pengukuhan kuasa rejim yang memerintah.

Antara senjata yang paling ampuh dan berkuasa oleh SPR ialah apabila ia melakukan persempadanan semula ala Gerrymander yang amat popular itu. Penciptaan beberapa kawasan baru dengan sebahagian besar telah pun dimenangi sebelum bertanding lagi dan juga kawasan yang berpotensi pula untuk dimenangi pengundi hantu. Itulah yang menerangkan bagaimana BN yang tidak popular di kalangan rakyat kecil telah menjadi unggul sehingga mampu menjatuhkan kerajaan Terengganu dan banyak kerusi di Kelantan sambil menyapu bersih kerusi Parlimen yang dimenangi PAS dan Keadilan.

Seperkara yang lain pula ia telah mengatur kemasukan hantu dalam senarai pengundi dengan baik sekali dengan kerjasama pemimpin Umno setempat dan juga orang-orang tertentu dalam Jabatan Pendaftaran Negara. Dalam masa yang sama, nama-nama penyokong BA yang dikenal-pasti yang tidak menyemak senarai nama mereka telah dihantar ke tempat lain atau terpadam begitu sahaja. Manakala yang sudah mati diberi hak pula sebagai pengundi!

Memang kali ini tersangat teruknya Suruhanjaya itu. Bermula dengan segala perundangan dan hukum yang sering berubah setiap jam dan sepenuhnya cenderung kepada BN sehinggalah kepada perjalanan pilihan raya yang sungguh bercelaru dengan masalah silap cetak kertas undi kepada perlanjutan tempoh undian di Selangor. Di sana-sini terdengar keluhan pengundi bagaimana SPR tidak langsung dipercayai. Malah selepas kiraan undi dikatakan pegawai SPR telah melarikan diri dengan pecutan kereta sehingga menimbulkan curiga. Kenapa agaknya?

Sebagai seorang yang realis dan membaca banyak artikel sebelum ini dari penulis-penulis yang prolifik, saya berpendapat adalah satu kejayaan besar untuk Barisan Alternatif jika kerusi yang ada di tangan dapat dipertahankan. Adalah merupakan kejutan yang hebat dan menakutkan pemimpin BN sekiranya memperoleh pula kerusi baru. Yang anehnya sudah ada beberapa tulisan ringkas yang dibuat orang dalam memperkatakan pola keputusan dengan tepat sekali!

Jadi, sekali lagi BN diberi mandat yang cukup besar untuk memerintah bagi tempoh 5 tahun lagi. Sekali gus pemimpin BN yang memperoleh kuasa secara tidak jantan itu boleh mendabik dada dan angkuh mendakwa yang majority rakyat memilih kepada mereka. Secara tidak langsung juga mengatakan apa sahaja kerja jahat dan rasuah serta penyelewengan kuasa yang dilakukan selama ini direstui dan dipersetujui rakyat kecil!!

Di sini lah bahana yang lebih besar menanti rakyat termasuklah mereka yang bersungguh mendokong dan mengibarkan bendera BN dalam Pilihan Raya Umum 2004 ini. Beberapa perkara dan isu dijangka akan dilakukan mereka seperti meneruskan penswastaan hospital Awam. Malah beberapa cukai akan dikenakan, manakala tarif perkhidmatan tertentu akan dinaikkan nilainya. Tol lebuh raya yang bakal dinaikkan akan terus menjerut rakyat dengan harga barangan akan turut melonjak seiring dengan kenaikan tol. Berkemungkinan harga minyak juga akan meningkat lagi.

Kebebasan rakyat juga akan lebih teruk disekat dan tersagat. Manakala rakyat akan terputus hubungan dengan apa yang berlaku di Parlimen. Media massa akan hanya menyiarkan cerita satira seperti MP berbalas pantun atau cerita Dewan lebih aman dengan ketiadaan pemimpin Pembangkang dari PAS dan Keadilan. Sekali lagi period black out akan terjadi di Parlimen. Keadaan ini sungguh menggerunkan sekali, apatah lagi mengambil kira PM yang jauh lebih rakus dan zalim di sebalik senyum manis nya itu. Faktor ekonomi negara yang bila-bila masa akan dihenyak kemuflisan juga amat membimbangkan apabila mengambil kira corak pentadbiran yang tiada bezanya dengan Tun Kepala Taik dahulunya.

Telahan Nabi Muhammad s.a.w akan berlaku zaman di mana pemimpin menjadi singa, menteri sebagai serigala, hakim sebagai anjing dan rakyat sebagai bebiri yang ketakutan semakin menampakkan kebenaran dan dizahirkan kepada kita.

Keselamatan negara kita sebenarnya sedang diancam oleh masalah penglibatan anak PM Abdullah Badawi dalam skandal penyeludupan peralatan nuklear pasaran gelap melalui syarikat Scope. Sehingga hari ini AS tidak pun menarik balik tuduhan itu, walau janji manis telah dibuat oleh Joshua Bolton di Singapura beberapa minggu lalu. Adalah merupakan satu kezaliman yang amat menjolok mata apabila puluhan orang Melayu yang ditahan sebagai anggota KMM telah disambung tahanan sedangkan ianya hanyalah rekaan pemerintah sahaja. Hak mereka telah dinafikan sewenangnya sehingga sudah dua tahun meninggalkan solat Jumaat. Siapakah yang mahu menanggung dosa itu?

Anak PM baru yang bernama Kamaluddin semakin bertambah jumlah harta peribadinya. Kontrak lebih RM3 Billion telah dianugerahkan kepadanya oleh Petronas sedangkan beliau bukan lah seorang pemain di bidang Petroleum sebelumnya. Sedikit masa dahulu PakLah mengatakan yang anaknya banyak melakukan bisnes di luar negara. Itu sebenarnya satu kelentungan sahaja. Sama seperti mana Tun Kepala Taik membohongi rakyat sedikit masa dahulu.

Segala kejahatan dan kerakusan rejim memerintah dari era Tun KT sehinggalah Imam Abdullah tidak sedikit pun menyebabkan kemarahan dan kerisauan kepada rakyat. Itu adalah kesimpulan yang boleh dibuat secara mudahnya apabila mengambil kira kemenangan yang cukup besar itu. Adalah suatu yang pelik apabila rakyat kecil dan akar umbi menyatakan yang sebaliknya. Malah ia ditunjukkan oleh kerja keras anggota pakatan BA bagi melahirkan Malaysia Baru. Namun gagasan baru ini telah gagal pula melalui kehebatan pengaruh komponen ke-15 Barisan Nasional di bawah Presidennya Tan Sri Abdul Rashid.

Dr. Nologareng - 22.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:

.

Sertai Maillist M@RHAEN