Make your own free website on Tripod.com
 

HUDUD: JAWABAN UNTUK DR ISMAIL IBRAHIM DAN RAKAN-RAKAN
Oleh dr. Putera Jebat (dr_putera_jebat@yahoo.com)


SEBAGAIMANA telah diduga ulama seperti Dr Ismail Ibrahim (Pengerusi Majlis Fatwa), Noh Gadut (Mufti Johor), Abdul Shukur Husin (KUIM), Shamsudin Abd Munir (Ikim), Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan (sekadar beberapa nama utama) dan lain-lain lagi akan senantiasa mengisi ruang udara media pada musim pilihan raya.  Peranan mereka juga sangat nyata, sebagai penjelas pendirian kerajaan (dibaca BN-Umno) dalam isu-isu Islam.  Sebelum tulisan ini menjauh, perlu ditegaskan bahawa Dr Ismail dan rakan-rakannya yang kerap muncul media kini sebenarnya sebaghagian daripada jentera pilihan raya BN menghadapi BA yang diterajui oleh Pas.

Gerak politik BN sejak pilihan raya tahun 1999 memang senantiasa mengekori BA (Pas dan KeADILan).  Apa-apa pandangan isu dan seni politik BN (dibaca Umno) sebagai menjawab lontaran isu BA.  Sebagai parti besar dalam negara tuju hala politik mengekori BA sebenarnya menunjukkan kenaifan matlamat politik BN sendiri.

Lihatlah apabila majoriti bangsa Melayu yang selama ini menjadi tonggak Umno beralih kepada BA, maka Umno terpaksa mendekati pendirian BA, lalu dengan payah dan terpaksa pendekatan Islam diterokai.  Umno tahu apa-apa gagasan BA sama ada di Kelantan, Terengganu  dan Parlimen mendapat sambutan positif bangsa Melayu.  Justeru jika Umno mahu bertahan dengan pendiriannya tidak mengikut rentak BA, maka Umno akan menggunakan tokoh-tokoh Islam demi mematah hujah BA.  Sebab itu apabila Syeikh al Azhar mengistiharkan Malaysia sebagai Negara Islam , media utama tidak henti-henti menayangkan babak pujian itu.  Namun apabila Syeikh itu menyokong dasar sekular kerajaan Perancis mengharamkan tudung kepala, media utama tadi bisu!

Hudud adalah isu besar antara Pas dan Umno.  Semua tahu pendirian Pas mengenai undang-undang syariah itu, malah sekalipun berdepan dengan Perlembagaan Persekutuan kerajaan Kelantan dan Terengganu tetap meluluskannya juga.  Hujah Umno (pemikiran Mahathir) bahawa Hudud di Kelantan dan Terengganu adalah Hudud Pas tidak diterima oleh bangsa Melayu.  Bangsa Melayu tetap percaya Hudud itu bersumber al Quran dan Sunah, cuma Pas yang membawanya.  Kesilapan besar Umno ialah membiarkan peguam Umno Zaid Kamarudin membawa kes Hudud ke mahkamah dengan tujuan menghalang sama sekali syariah itu dilaksanakan di Malaysia, sebuah negara Islam.

Kini, Umno cuba berlembut dengan isu Hudud, dan jawabannya ialah kesesuaian dan kemampuan dalam melaksanakan Hudud. Pokok perkara sebenar ialah BN-Umno tidak mahukan Hudud!  Umno menggunakan orang seperti Dr Ismail Ibrahim bekas Pengarah Ikim dan kini Pengerusi Majlis Fatwa serta orang seperti penulis sebutkan di atas untuk meredakan tuntutan bangsa Melayu terhadap Hudud.

Hujah Umno melalui lidah Dr Ismail (dan  rakan-rakannya) ialah negara belum mampu kerana kekurangan pakar.  Hujah ini satu pembohongan dan penghinaan terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan (BN) sendiri.  Setelah lebih 40 tahun merdeka dan beribu-ribu bangsa Melayu mendapat ijazah Pengajian Islam dan  Syariah dari UIAM, UM, UKM dan dari Mesir, Maghribi, Jordan, Iraq dan sebagainya Dr Ismail masih mengatakan negara kekurangan tenaga pakar.

Hujah kedua Umno ialah kebimbangan berlakunya kezaliman kerana kurangnya pakar itu.  Apabila Hudud diutarakan segera Umno menyebut bimbang kezaliman berlaku.  Pada waktu yang sama mereka melaksanakan hukuman bunuh (gantung sampai mati) terhadap pesalah dadah tanpa bimbang melakukan kezaliman. Sejak Akta Dadah Berbahaya dilaksanakan, dan begitu banyak pesalah digantung tidak pernah timbul soal penganiayaan dan kezaliman.  Malah Abdul Shukur sendiri mengakui sekalipun  banyak pesalah dadah dihukum mati, pengedar dadah tidak gerun malah terus aktif dengan kegiatannya.  Jawaban Abdul Shukur itu sebagai mengulas pentingnya pendidikan untuk membanteras jenayah bukan melalui undang-undang (Hudud).

Satu lagi, dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ada fasal mengenai hukuman mati hanya terhadap pemilik senjata api tanpa lesen,  hukuman mati walaupun tidak membunuh! Tidakkah itu satu bukti kezaliman dalam undang-undang yang dibawa oleh Umno?

Tahanan tanpa bicara dari tahun ke tahun dalam ISA memang membutakan Dr Ismail. Tuduh orang kumpulkan senjata api, molotov koktail dan pelancar roket kemudian tanpa dibuktikan kurung orang sampai dua tahun. Sekarang tuduhan KMM dan JI tanpa bukti, mahu dipenjara sampai bila? Sampai Amerika mengesahkan negara kuasa besar itu selamat dari ancaman orang Islam?

Hujah ketiga Umno ialah kajian perlu mendalam mengenai pelaksanaan Hudud.  Apa-apa  pun  memang perlu kajian mendalam demi pelaksanaannya adil.  Soalan biasa rakyat ialah apakah segala pelaksanaan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya dan Akta Keselamatan Dalam Negeri  sudah melepasi kajian paling teliti untuk mengelak kezaliman.? Apabila isu Hudud perlukan kajian teliti, undang-undang lain sekalipun hukum bunuh ikut sahaja pandangan Amerika!

Jelasnya orang seperti Dr Ismail hanya dijadikan alat BN untuk terus berkuasa dan menafikan keadilan dan hak-hak asasi rakyat.  Sekarang bertambah lagi ‘tokoh agama’ digunakan dalam pilihan raya.  Justeru BN tidak mampu menghadapi tokoh-tokoh BA, maka Imam Pirdaus digunakan untuk berhadapan dengan Wan Azizah.  Dr Mashitah dipaksa menghadapi Ustaz Taib Azamudin.  Sama ada tokoh BN ini menang atau kalah, dasar Umno tidak akan berubah.

Sekali lagi bertambah orang seperti Dr Ismail yang akan diguna untuk mengeliru, menipu, dan memperbodoh bangsa Melayu yang sudah bosan dengan kerja kotor Umno. Manakah bukti peranan ‘tokoh  Islam’ dapat membersihkan kebusukan Umno seperti rasuah, salah guna kuasa dan penganiayaan sesama bangsa Melayu?

Dr. Putera Jebat - 20.03.2004 (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com (tidak berfungsi untuk sementara waktu)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN