Make your own free website on Tripod.com
 

Umno kecut!
 - Oleh Anual Bakhri Haron - Dipetik drp Harakah Daily Net
 

KEBENARAN berita mengenai kemasukan tiga anak bekas aktivis PAS Al-marhum Uztaz Buniyamin Yaakob ke dalam Umno seperti yang termuat di dalam Berita Minggu pada 22 Februari 2004 sangat singkat umurnya.

Kepalsuannya terbongkar di ceramah pada malam berikutnya yang telah diadakan di Alor Bakat, Gunong, Bachok pada 23 Februari 2004.

Bukan setakat itu sahaja, malah majlis ceramah tersebut juga gempar apabila seramai 118 ahli dan penyokong Umno di majlis terbabit menyerah borang menyertai PAS.

Kesian Umno. Fitnah yang cuba dijadikan gelombang terbongkar busuk bangkainya dalam tempoh 24 jam. Apa yang berlaku ialah Mohd Khairul Anam cuma diminta memegang borang kosong untuk diambil gambar.

Beliau tidak pernah menjadi ahli Umno, atau mengisi borang keahlian pada bila-bila masa dan ketika di sepanjang hidupnya. Habis? Ya, nampaknya Umno berbohong lagi.

Menyentuh tentang Nik Abdul Aziz yang dikatakan pernah memuji Dato’ Seri Abdullah semasa ditanya oleh wartawan (Berita Harian 26 Februari 2004) itu, kita panggil sekadar menghormati adat.

Telah menjadi adat resam masyarakat timur untuk menghormati tetamu. Bagaimanapun, kita jangan lupa bahawa Nik Abdul Aziz juga turut mengatakan bahawa dasar Umno yang sekular dan nasionalis di mana Abdullahlah Presidennya tidak pernah boleh dimaafkan oleh Jemaah Islam, ahli-ahli dan para simpartisannya.

Jika diikutkan kata Nik Abdul Aziz ia berbunyi, “his (Dato’ Seri Abdullah) visit will have no adverse effect on PAS’ chances of retaining Kelantan in the next election.” (NST 26 Februari 2004). Nah! Inilah yang sebenar.

Soal Umno tidak gentar dan PAS kononnya ‘kecut perut’ seperti yang didakwa Mustapa terjawab apabila Majlis Ceramah Raksasa yang diatur di Kampung Nibong pada 21 Februari 2004 telah dibatalkan.

Oleh siapa? Di sini, siapa yang kecut dan pengecut. Namun, PAS tetap sabar dan masih taat kepada peraturan. Kita pindah lagi ke Stadium Sultan Muhammad Ke IV.

Kali ini di Kota Bharu pula pada 27 Februari 2004. Mustapa atau mana-mana pemimpin Umno pun boleh hadir jika ada masa. Cuba saksi dan ukur sukatlah tajam tidaknya taring Umno yang sangat asyik dengan angin-angin perubahan yang dibuat-buatnya.

Semasa melancarkan kempen Islam Hadharinya, Abdullah dengan jelas terpaksa bersusah payah untuk membuktikan yang Umno bukan sekular. Alasan beliau mudah iaitu kerana “Kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap soal-soal agama.” (Utusan Malaysia 24 Februari 2004).

Soalnya, itukah kayu ukur sekular atau tidaknya sesebuah kerajaan? Jawapannya ada disebut oleh Timbalan Perdana Menteri yang mengesahkan perihal sekularnya Umno dengan kata-kata, “religion and politics do not mix”. (NST 25 Januari 2004).

Dasar memisahkan agama dengan pemerintahan inilah yang dipanggil sekular! Islam hadhari itu Islam pembangunan. Islam yang diasas kepada tamadun. Kita mahu tanya, tamadun mana yang dirujuknya?

Tamadun Rom? Parsi? Amerika? Britain? Model tamadun mana yang dirujuk oleh Malaysia? Kenapa Islam yang sarat dengan keadilan berpaksikan Quran dan Hadis jarang kelihatan dan di rasai impak serta signifikannya di Malaysia?

Membangun dan berhadharikah Islam bila kita menolak Hudud, malah meletakkan Al-Quran di bawah daripada Perlembagaan?

Jika mahu membicarakan Islam, kita tidak boleh lari dari maudhu’ definisi Islam yang bersifat addin dan menyeluruh. Ia “cohesive” dan wajib dilihat dan dilaksanakan secara kaafah.

Dalam Islam, halalkah ISA. Dalam Islam, bolehkah mendedah aurat? Dalam Islam, bolehkah kerajaan berjudi? Dalam Islam, bolehkah pemimpinnya rasuah?

Dalam Islam, bolehkah kerajaannya menaja program-program hiburan berbentuk maksiat? Dalam Islam, bolehkah tidak melaksanakan malah menyaman pihak yang mahu melaksanakan Undang-undang Islam?

Dalam Islam, maniskah pemimpinnya mengherdik kempen wanita menutup aurat? Dalam Islam, wajarkah menahan seseorang dari mendapat rawatan mengikut pilihan?

Dalam Islam, bolehkah menyekat rakyat dari mendengar hujah pembangkang? Dalam Islam, tidak berdosakah mengelirukan berita dan menyorot kebenaran? Jika diikut pesan nelayan; “sebodoh-bodoh sepat tak makan pancing emas.”

“Islam hadhari” Umno perlu menjawab soalan-soalan ini terlebih dahulu sebelum bertanyakan nasibnya di Kelantan dan Terengganu (khususnya) dalam pilihan raya yang akan datang. - /mj

Petikan daripada HarakahDaily
- http://harakahdaily.net/article.php?sid=6517 - 27.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN