Make your own free website on Tripod.com
 

SELESAIKAH SUDAH PERJUANGAN BA? (Bahagian 1)

Jawapannya mudah. Belum. Jadi Pilihan Raya Umum Ke-11 yang akan diadakan pada 20 Mac 2004 memberi kita peluang untuk melangsungkan perjuangan murni kita. Perjuangan kita adalah untuk rakyat dan negara serta agama Islam untuk rakyat Islam. Kerana itu, rakyat pasti akan memberi sokongan kepada BA. Rakyat pula diseru supaya jangan melepaskan peluang ini untuk membuat perubahan, perubahan ke arah kesejahteraan kita bersama.

ISU-ISU

Secara ringkas diperturunkan di bawah ini isu-isu politik yang diperjuangkan oleh BA. Berikutnya ulasan ringkas akan dibuat mengenai tiap-tiap satu dari isu tersebut untuk membuktikan ianya masih relevan pada waktu ini.

Isu-isunya adalah seperti berikut: -

1. Kezaliman & Ketidakadilan

Peletakan jawatan Mahathir tidak bermakna berakhirnya kezaliman dan ketidakadilan yang diamalkan oleh kerajaan BN selama ini. Percayalah kezaliman dan ketidakadilan masih berleluasa.

Kita tidak payah memandang jauh. Dalam urusan tangkapan ke atas Eric Chia dan Kasitah Gadam pun mereka tidak mampu berlaku adil. Adakah mereka ditangkap ala komando dan digari selepas itu? Adakah mereka ditahan reman di penjara walaupun semalam? Tidakkah Eric Chia dibenarkan ke hospital sejurus setelah ditangkap? Tidakkah doktor peribadinya dibenarkan mengiringnya ke mahkamah? Tidakkah orang-orang yang dituduh pemecah amanah ini dibenarkan ikat jamin? Bila pula masanya urusan penggadaian rumah Eric Chia untuk tujuan ikat jamin dibuat. Urut kembali apa yang telah berlaku kepada pejuang-pejuang keadilan; nescaya ketidaksaksamaan dalam layanan jelas kelihatan.

Lihat juga bagaimana alat kerajaan bertindak untuk membersihkan nama sebuah syarikat, SCOPE yang ada kaitannya dengan anak Pak Lah dari tuduhan (oleh Amerika Syarikat) mengeluarkan komponen untuk centrifuge bagi mengayakan uranium dalam proses pembikinan senjata nuklear yang dijual kepada Libya di dalam pasaran gelap. Berhari-hari media melaporkan hal ini dan bermuka-muka akhbar-akhbar perdana dimuatkan dengan pembelaan ke atas SCOPE walhal Amerika Syarikat hanya menamakan sahaja syarikat SCOPE sebagai pembekal dan tidak menuduh Malaysia atau SCOPE membekalkan barangan tersebut dengan sengaja. Ingat kepada maxim perundangan, “Ignorance is no defence to the commission of a crime”.

Bandingkan ini dengan tuduhan ke atas Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasanya bagi mendapatkan penarikan balik tuduhan dari Ummi Hafilda dan Azizan di mana akhirnya Anwar meringkuk di dalam penjara selama 6 tahun walhal Anwar Ibrahim sebagai TPM tidak mempunyai kuasa ke atas polis kerana beliau bukan Menteri Dalam Negeri atau Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri pada waktu itu ialah Mahathir.

Ingat juga kepada tuduhan ke atas Anwar Ibrahim bahawa beliau membiayai Al Qaeda dalam mana satu siasatan teliti diberitakan akan dilakukan. Sudahkah siasatan ini dibuat dan apa kesudahannya? Mengapakah hasil siasatan tersebut tidak dihebahkan sebagaimana SCOPE padahal tuduhan tersebut juga boleh dianggap celaan ke atas Malaysia kerana Anwar adalah TPM dan Timbalan Presiden UMNO yang dipilih pada waktu itu?

Bagaimana pula halnya dengan Anwar Ibrahim. Walau pun perjuangan BA bukan satu perjuangan peribadi, kita hairan bagaimana kehakiman negara sanggup menidakkan ikat jamin untuk Anwar dan kerajaan pula terus berdegil tidak membenarkan Anwar memilih doktornya sendiri untuk berubat. Anwar tidak boleh berubat di seberang laut, walaupun atas tanggungan sendiri, dikatakan kerana tidak percaya kepada pakar perubatan tempatan. Isteri Pak Lah berubat di seberang laut atas tanggungan siapa? Adakah kerana beliau dan Pak Lah tidak percaya kepada pakar perubatan yang ramai terdapat di negara ini berbanding pakar perubatan yang diperlukan Anwar? Kerana itu bolehkah rakyat percaya bahawa Pak Lah adalah seseorang yang insaf dan mahu memperkasakan keadilan? Atau adakah kerana Anwar seorang banduan? Tidak, kerana rata-rata orang yang mengetahui hal ini telah memperakukan bahawa Anwar berhak berubat di mana saja walaupun seorang banduan.

Dan sudahkah anak kepada Tuan Guru Nik Aziz dibebaskan daripada ISA?

(Akan bersambung ke Bahagian ke-2)

Kabus Putih - 03.03.2004 (Petikan drp FGR - suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN