Make your own free website on Tripod.com
 

SELESAIKAH SUDAH PERJUANGAN BA? (Bahagian 2)
2.Rasuah

Kalau sudah ada berpuluh kes rasuah berprofil tinggi di tangan pendakwa, tidakkah jelas kepada rakyat apa yang dihebohkan oleh BA selama ini bahawa rasuah dan perasuah berleluasa di zaman Mahathir adalah benar? Tidak hairanlah jika Anwar dan Ezam berkata mereka mempunyai 6 kotak mengenai rasuah dan salahguna guasa di dalam kerajaan. Kita tunggu dan lihat berapa kotak akan dikeluarkan terutama di Pekan, Pahang.

Dalam pada itu, apakah dengan penangkapan ke atas Eric Chia dan Kasitah Gadam rasuah telah dapat dibendung? Apakah dengan mengumumkan ada lagi 18 kes berprofil tinggi Kerajaan sudah menunjukkan kesungguhan dalam membanteras rasuah ke akarumbi sebagaimana penyataan hasrat oleh Pak Lah?

Walaupun tindakan-tindakan ini boleh dipuji, rakyat janganlah mudah terperdaya dengan adingan-adingan penangkapan ini. Pertama, kita harus bertanya kenapakah pihak yang berkenaan mengambil begitu lama untuk menyiasat pelakuan rasuah tersebut.

Kedua, mengapakah tangkapan ini dibuat menjelang Pilihan Raya Umum?

Ketiga, tidak ada perasuah lebih besarkah yang boleh kerajaan hadapkan ke mahkamah dan jadikan contoh yang lebih berkesan dalam usaha membanteras rasuah ke akarumbi? Kalau sudah ada 18 lagi kes berprofil tinggi, tentu ada nama-nama yang lebih gempak! Atau apakah Eric Chia dan Kasitah saja yang paling gempak?!!

Keempat, adakah tentu mereka-mereka yang ditangkap akan didapati bersalah dalam suasana kebebasan kehakiman disangsikan oleh sebahagian besar rakyat? Kalau didapati bersalah sekali pun, adakah mereka akan dihukum seperti Anwar atau hanya seperti seorang bekas Ahli Exco Negeri Sembilan?

Kelima, kenapakah nampaknya Pak Lah telah terhenti setakat 2 kes berprofil tinggi itu saja? Mengapa tidak diteruskan kalau rakyat dan parti sudah bersama beliau? Adakah kerana adanya saranan supaya Pak Lah “go slow” yang datang dari pengamal dan pelindung perasuah? Hakikatnya, walaupun rakyat bersama Pak Lah kerana memang rakyat selama ini menentang rasuah sebagaimana yang dipelopori oleh BA, ramai di dalam partinya tidak kerana khuatir pekong di dada terbongkar.

Akhir sekali, mengapakah orang-orang yang diketahui pengamal rasuah masih mahu dicalonkan bertanding pilihanraya sebagaimana lapuran akhbar? Tidakkah Pak Lah ingin mengambil peluang ini untuk membersihkan kerajaannya daripada perasuah dan pelindung perasuah jika beliau benar-benar ikhlas mengenai hasratnya? Dengan semangat “berkerja bersama saya”, tidakkah Pak Lah peka kepada cerita Uztaz Hadi Awang mengenai penggunaan wang ehsan oleh seorang pemimpin UMNO di Terengganu untuk mengayakan diri dan keluarganya? Mengapa BPR tidak di arah siasat? Mengapa harus pemimpin itu diberikan keistimewaan untuk kes permintaan injunksi mahkamahnya didengar dengan kadar segera oleh Mahkamah Rayuan walhal tidak ada apa yang segera mengenai permintaannya itu berbanding dengan rayuan untuk ikatjamin Anwar Ibrahim? Masih mahukah Pak Lah mencalonkan pemimpin itu dan melantiknya sebagai MB jika BN menang di Terengganu kelak?

Kita cabar Pak Lah supaya jangan menunda usaha membanteras rasuah walaupun Pilihan Raya Umum akan diadakan pada 20 Mac. Pilihan Raya Umum Saudara tentu menang. Eloklah tumpukan segala tenaga Saudara terhadap penghapusan musuh utama rakyat dan negara iaitu rasuah kerana disebabkan rasuahlah negara boleh bankrap, tergadai dan dijajah semula. Usahlah berdegar-degar bercakap mengenai rasuah kalau ada di antara orang di sebelah kanan dan kiri Saudara diketahui perasuah atau pengamal politik wang. Kita bukan hanya harus berasa jijik dan mual terhadap rasuah tetapi juga terhadap perasuah dan pelindung mereka tidak kira lawan atau kawan.

Atas ulasan di atas, perubahan atau reformasi yang rakyat mahukan dari kerajaan dalam hal rasuah boleh dirumuskan belum lagi bermula. Bilakah BPR akan diletakkan di bawah bidang kuasa satu jawatankuasa terpilih Parlimen? Bilakah kuasa untuk mendakwa perasuah dapat diletakkan di bawah bidang kuasa BPR sendiri yang bertanggungjawab kepada jawatankuasa terpilih Parlimen yang dicadangkan? Bilakah agaknya tangkapan dan dakwaan dibuat bukan atas sebab menghapuskan musuh politik tetapi atas sebab menghapuskan rasuah dalam artikata sebenarnya?

3. Kronisma

Budaya kronisma nampaknya sudah berakarumbi. Rakyat harus bertanya kenapakah agaknya apabila diketahui sahaja sesebuah syarikat itu ada kaitannya dengan anak, adik dan/atau “orang” seseorang pemimpin tinggi negara, harga sahamnya di Bursa Saham KL akan melambung tinggi? Lihat saja SCOMI yang dilapurkan ada kaitan dengan anak Pak Lah. Harga sahamnya sekarang berada di sekitar RM13! Apakah agaknya harapan pelabur kepada syarikat seperti ini?

Banyak lagi cerita mengenai topik kronisma ini telah dipaparkan oleh HARAKAH dan BULETIN KEADILAN. Mungkin pada satu hari nanti mereka akan menceritakan juga perihal sebuah syarikat yang telah diberikan kontrak pembekalan oleh PETRONAS bernilai RM2.0 billion. Trend kronisma yang menerus ini kelihatan tidak dapat dibendung selagi parti yang memerintah terus berkuasa. UMNO/BN siapa pun pemimpinnya tidak mampu mengubah kerana mereka sudah kehilangan “political will”, hanyut dibawa gelombang materialisma. Yang UMNO hebohkan ialah mengenai betapa pentingnya menghapuskan subsidi dan tongkat untuk kaum marhaen sementara kroni-kroni dan kaum kapitalis diberikan tiang kongkrit dan pelbagai ransangan fisikal seperti pengecualian cukai, tanah dengan harga murah, taraf perintis dan lain-lain lagi.

(Akan bersambung ke Bahagian ke-3)

Kabus Putih - 05.03.2004 (Petikan drp FGR - suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN