Make your own free website on Tripod.com
 

SELESAIKAH SUDAH PERJUANGAN BA? (Bahagian 3/Akhir)
4. Projek Mega dan Pembaziran

Ramai orang berasa gembira apabila Pak Lah menunda projek rel keretapi berkembar dan penyenaraian FELDA. Namun bagi kita yang telah melihat bagaimana kronisma mengambari ekonomi negara harus berwaspada.

Istilah yang digunakan ialah “menunda” dan bukan “membatal” dengan proviso “apabila ada wang nanti kita akan fikirkan semula”. Kerana itu kita berpandangan projek-projek tersebut ditunda kerana Pilihan Raya Umum sudah hampir. Projek penyenaraian FELDA misalnya diketahui satu isu yang hebat diperkatakan oleh pembangkang dan peneroka-peneroka FELDA dengan ramai yang menentang. Kerana itu kalau saya Pak Lah pun, saya akan menundanya untuk menentukan undi peneroka tidak pergi bulat-bulat kepada BA.

Projek rel keretapi berkembar ditunda bagi menggambarkan kerajaan sekarang tidak suka membazir. Kalau benar itu yang diniatkan, banyak lagi projek yang harus dibatalkan saja seperti Jambatan Bengkok Selat Tebrau dan Projek Hydroelektrik Bakun. Ekonomi sekarang dikatakan sudah berkembang dengan pesat. Kerajaan akan dikatakan sudah mempunyai banyak wang. Selepas Pilihan Raya Umum nanti, bolehlah projek-projek tersebut dilaksanakan tanpa perlu memikirkan kesan negatif terhadap prestasi BN di dalam Pilihan Raya Umum.

5. Ekonomi Negara

Tidak dapat dinafikan ekonomi negara sedang berkembang dengan pesat sebagaimana yang dilapurkan oleh Bank Negara baru-baru ini. Apa yang boleh dipertikaikan ialah sama ada pertumbuhan ekonomi sekarang ini boleh dianggap pertumbuhan yang berkualiti, iaitu sesuatu yang menjana pekerjaan dan membawa kesejahteraan hidup kepada rakyat jelata. Malangnya, Bank Negara kurang memperkatakan mengenai pengangguran yang diketahui masih menghantui gulongan pekerja terutama lepasan universiti. Tetapi Khir Toyo dilapurkan oleh akhbar ada mengatakan di negeri Selangor sahaja terdapat 40,000 penganggur berijazah.

Keadaan ini samalah seperti yang sedang diperkatakan oleh Parti Demokrat mengenai pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat. Ekonomi negara tersebut berkembang tetapi perkembangan itu gagal menjana pekerjaan untuk rakyat. Ini disebabkan oleh satu keadaan di mana pertumbuhan ekonomi yang tercapai banyak dihasilkan melalui pengeluaran dan penjualan oleh firma-firma yang menggunakan kapasiti pengeluaran yang berlebihan selama ini tanpa perlu menambah modal atau sumber manusia. Pendek kata kepada rakyat yang dahagakan pekerjaan untuk mereka atau anak-anak mereka, ekonomi negara belum boleh dikatakan pulih sepenohnya.

Seperkara lagi, masalah perumahan dan kos kehidupan yang tinggi masih dihadapi oleh rakyat. Kerajaan tidak berjaya membangunkan rumah murah dengan secukupnya sementara padang golf bertambah banyak. Kalau kita ke pasar, tentu kita dapat rasakan bagaimana harga ikan yang dikawal boleh juga naik berlipatganda dalam suasana ekonomi dikatakan sudah pulih.

Kalau ekonomi sudah pulih sepenohnya pun, tugas BA adalah menentukan ianya tidak lagi boleh disalahgunakan oleh BN untuk memperkayakan suku sakat. Begitu juga, reformasi harus dibuat ke atas beberapa dasar ekonomi negara yang selama ini berkesudahan dengan “orang kaya bertambah kaya, orang miskin papa kedana”.

6. Kebebasan Bersuara

Rakyat masih disekat bersuara dengan penggunaan ISA, OSA, Akta Polis dan sekarang dengan beberapa perubahan kepada Akta Pilihanraya. Ceramah dan rapat umum seolah-olah tidak disekat tetapi memerlukan permit polis atas alasan menjaga keselamatan negara. Ada kalanya ceramah yang sudah diberikan permit pun disuraikan atas sebab melimpah keluar dari kawasan yang dibenarkan. Mesjid tidak boleh digunakan untuk berpolitik atas definasi dan interpretasi pemerintah tetapi di Datuk Keramat, Selangor kawasan sebuah mesjid boleh digunakan untuk mendirikan bangunan UMNO. Peribadi seseorang calon tidak boleh disentuh dalam kempen walaupun Pak Lah mengatakan peribadi adalah salah satu kriteria yang akan digunakannya untuk mengukur kesesuaian seseorang untuk dipilih sebagai calon.Begitulah bijaknya Sang Penguasa.

Media arus perdana terus dikongkong oleh parti pemerintah. RTM tidak memberi masa kepada pembangkang untuk menghuraikan perjuangan mereka atau menjawab segala tohmah dan fitnah yang dilemparkan. RTM digunakan untuk propaganda parti pemerintah.
 

Baru-baru ini Pengerusi SPR pula mengatakan pengundi tidak boleh ditawarkan syurga oleh mana-mana parti politik semasa berkempen. Kalau sudah berminat untuk berpolitik, eloklah Tuan Haji Rashid masuk politik saja. Kita hanya mahu mengingatkan, sesiapa saja yang menyokong dan membantu sesebuah organasasi yang memperjuangkan Islam dan amal makruf nahi mungkar, hatta sebuah parti politik sekali pun, akan diberikan pahala oleh Tuhan. Ini janji Allah bukan janji organasasi itu.

7. Sensitiviti Terhadap Agama Islam

Sensitifkah sebuah kerajaan negeri yang dikuasai oleh BN terhadap kesucian agama Islam apabila membenarkan sumber air di sebahagian negeri itu dicemari oleh najis babi selama 27 tahun tanpa tindakan sebagaimana yang dilapurkan oleh TV3 walhal penternak babi berkenaan mengaku tidak mempunyai sebarang permit? Bolehkah kita terima alasan Menteri Besar berkenaan bahawa ladang peternakan itu diperlukan untuk bekalan daging babi kepada pengguna berkenaan dan negerinya tidak mempunyai tanah untuk memindahkan ladang tersebut? Tidakkah boleh syarat-syarat dikenakan bagi mempastikan najis babi itu tidak mengalir ke Sungai berkenaan? Hairan juga kenapa penternak tersebut tidak tahu yang apa yang sedang berlaku adalah satu kesalahan. Siapakah agaknya khalifah yang harus menanggung dosa yang berbangkit daripada penggunaan air yang dicemar oleh najis babi tersebut untuk makan minum dan mengangkat wuduk?

8. Pembangunan Yang Tidak Seimbang & Gejala Sosial

Kempen pembangunan fisikal oleh BN tidak akan memberi kesan kepada pengundi. Pertama, rakyat menganggap pembangunan fisikal ialah tugas pemerintah dan tidak perlu dihebohkan dan mendabik dada. Kedua, rakyat tidak hairan kenapa Kerajaan Negeri BN boleh melakukan pembangunan fisikal iaitu kerana adanya bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan dan pelabur-pelabur ditunjukkan ke negeri-negeri yang dikuasai oleh BN.

Yang menghairankan rakyat ialah kenapakah dengan sumber yang begitu banyak BN masih tidak mampu mengadakan pembangunan seimbang. Terengganu yang dikuasai oleh BN selama 20 tahun (sebelum PAS mendapat mandat rakyat) dengan wang royalti minyak sebanyak RM800 juta setahun masih kebelakang dalam taraf ekonominya. Kedah yang kebelakangan ini heboh dengan pembangunannya masih mempunyai kawasan-kawasan yang dianggap termiskin di negara ini.

Yang juga menghairankan rakyat ialah bagaimana Kelantan dan Terengganu yang kurang dibantu oleh Kerajaan Persekutuan masih mampu mentadbir negeri dengan sempurna dan mengadakan pembangunan. Ini dibuktikan oleh survey yang disiarkan di dalam The Star yang mengatakan majoriti yang puas hati dengan pentadbiran Uztaz Hadi Awang.

Pembangunan yang dimahukan oleh rakyat ialah pembangunan yang seimbang dari segi lokasi dan juga keseimbangan zahiriah dan rohaniah serta bersih daripada rasuah dan amalan kronisma. Ini yang gagal dilakukan oleh BN hinggakan gejala sosial berleluasa kebelakangan ini. BN jangan merapu mengutarakan sebab-sebab lain kenapa gejala sosial bertambah buruk. BN juga janganlah berdolak-dalih lagi mengenai keperluan hukum hudud untuk mengatasi gejala sosial. Tidak payah berselindung di bawah cadangan hukuman rotan di khalayak ramai, cadangan mengkasi kemaluan perogol (tanpa saksi 4 orang) dan cadangan hukuman bunuh untuk perogol kanak-kanak. Buatlah hukum hudud UMNO jika tidak mahu kepada hukum hudud PAS asalkan berpandu kepada Quran dan Hadith. Jangan hanya pandai memainkan kata-kata. Lihat cermin tanya selera. Kadang-kadang kita nampak yang benar di cermin tetapi selera kita yang mengatakan tak payahlah.

RUMUSANNYA

Jadi apakah yang Pak Lah telah capai setakat ini? Beliau telah bercakap tetapi bikin belum lagi seperti cakap.

Yang beliau telah benar-benar capai ialah beliau telah menggunakan 100 hari pertamanya sebagai PM untuk mengenalpasti isu-isu yang mungkin memudaratkan BN di dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 dan lantas mengadakan samaran supaya isu-isu itu tidak lagi jelas kelihatan kepada pengundi. Ke arah penyamaran inilah juga beliau melantik Suruhanjaya Penyiasat Mengenai Polis walhal yang diperlukan sangat-sangat ialah satu yang mengenai salahguna kuasa dan rasuah di dalam kerajaan BN selama ini.

Nyata tumpuan dan perhatian Pak Lah sejak menjadi PM ialah penyediaan dalam bahasa Tan Sri Musa Hitam “pembuka selera kepada pemerintahannya” dalam usaha mencernakan “tanggapan pertama yang baik” terhadapnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-11. Ia bukan rasuah, bukan keadilan, bukan kebebasan dan bukan agama Islam sebagaimana yang digembar-gemburkan. Mungkin ini yang telah dipelajari oleh Pak Lah daripada Sifu Angkatnya, Mahathir. Sayang setelah memilih Najib sebagai timbalannya, belangnya sebagai penyambung wadah “perjuangan Mahathir yang belum selesai” sudah terbongkar.

Kita juga dapat memerhatikan PM kita yang baru ini masih suka kepada cara yang disukai oleh PM yang lama. Dia suka kepada sambutan besar-besaran. Dia tidak menghalang orang daripada mencium tangannya sewaktu bersalam. Dia tidak menghiraukan iklan besar-besaran yang mengalu-ngalukannya. Media memuji-mujinya tanpa sekatan walaupun beliau belum pun lagi setahun jagung sebagai PM.

APA YANG PENGUNDI MESTI BUAT?

Senang saja. Nobatkan BA sebagai pemerintah supaya Gelombang Reformasi dapat berkembang. Jangan tertipu dengan “pembuka selera yang enak” kalau akhirnya nanti kita akan terseksa dengan “makanan yang tidak sedap malah beracun” selama 4 hingga 5 tahun akan datang. Usah lepaskan peluang ini untuk mengubah.

Allah-hu-Akbar dan Reformasi!

Kabus Putih - 05.03.2004 (Petikan drp FGR - suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN