Make your own free website on Tripod.com
 

Shamsuddin Lias Menang?

Bacaan politik penulis terhadap untung nasib Shamsuddin Lias DO Kuala Selangor setakat ini ternyata tidak meleset. Sebelum ini penulis telah meramalkan bahawa Dr Khir Toyo tidak ada alasan kukuh untuk menolak Shamsuddin Lias, terbukti ia tidak meleset apabila nama DO itu telah pun dicalonkan untuk menentang Dr Hassan Ali di DUN Sungai Burung.

Begitu juga nasib yang menimpa Sulaiman Razak Timbalan Ketua Penaja Umno Bhg. Tanjong Karang,siang-siang penulis ramalkan akan kempunan. Memang tepat, Khir Toyo telah memilih Datuk Aziz Mohd. Noh untuk bertanding di DUN Permatang. Akhirnya Sulaiman dan para pengikutnya menggigit jari.

Pengikut Sulaiman Razak akan dibeli?

Khir Toyo difahamkan sudah menyediakan wang cukup banyak untuk memujuk dan membeli para penyokong Sulaiman yang mengugut akan memberontak dan tidak menyokong calon Umno BN.

Aziz Mohd Noh bekas Setiausaha Politik mantan MB Selangor DS Abu Hassan tidak kurang juga kaya rayanya. Beliau adalah salah seorang `Jutawan Segera` yang dilahirkan oleh Abu Hassan. Simpanan tunainya difahamkan melebihi RM10 juta.

Jika dia menghabiskan RM1 juta untuk melembutkan hati para penyokong Sulaiman tentunya berbaloi. Soalnya,apakah para pengundi DUN Permatang khususnya ahli-ahli Umno yang rata-rata sudah lama bosan dengan dominasi politik bekas MB DS Abu Hassan boleh dibeli dengan wang ringgit yang tak seberapa itu!

Dari tinjauan rambang yang dibuat,ahli-ahli Umno setempat mahukan calon yang tiada kaitan dengan Abu Hassan. Ertinya jika kemahuan mereka ditolak, tidak mustahil `orang Abu Hassan` akan dikuburkan di DUN Permatang.

Shamsuddin Lias Akan Disembelih.

Nasib yang sama akan menimpa Hj. Shamsuddin Lias. Kalau di DUN Permatang ahli-ahli Umno menolak `orang Abu Hassan` di DUN Sungai Burong pula para pemimpin Umno di situ cukup marah dengan Khir Toyo yang menafikan komitmen dan pengorbanan orang-orang lama.

Dato’ Jamian Naib Ketua Bahagian,Selamat Dolah Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Shariff Aspar AJK Bahagian dan beberapa orang tokoh lagi cukup kecewa apabila Shamsuddin yang baru setahun jagung aktif di dalam Umno tiba-tiba diangkat begitu tinggi.

Keputusan pilihan raya olok-olok anjuran Umno BN DUN Sungai Burong baru-baru ini,jelas menunjukkan Shamsuddin Lias kalah dengan majoriti 400 undi. Khabarnya para pemimpin Umno sengaja `mengalahkan` Shamsuddin untuk memberi isyarat kepada Khir Toyo betapa DO Kuala Selangor itu tidak diperlukan di DUN Sungai Burung.

Kalau Dato Aini selaku Ketua Umno Bhg Tg Karang juga Exco Kerajaan Negeri boleh ditewaskan oleh BA pada pilihan raya umum 1999,apa istimewanya sangat Shamsuddin Lias yang `sifar-politik` dan amat tidak disenangi oleh tokoh-tokoh veteran Umno Tg. Karang itu.

Dato Noh Omar selaku Ketua Penaja Umno Bhg.Tg Karang tentu tidak semudah itu untuk menerima Shamsuddin Lias.

Jika bekas DO itu memenangi kerusi DUN Sungai Burung sudah tentu ahli-ahli Umno akan menganggap beliau sebagi `hero` dan tidak mustahil Shamsuddin akan dijolok ke depan untuk mencabar Noh di dalam hiraki kepimpinan Umno Bahagian nanti.

Sekiranya Noh sanggup mengkhianati Dato Aini pada tahun 1999 dulu,tidak mustahil Noh akan mengulangi pengkhianatan itu dan kali ini sudah pasti Shamsuddin Lias akan menjadi mangsa politik kotor kombinasi Noh-Sulaiman.

Ya! Shamsuddin Lias akan disembelih oleh Umno sendiri. Walau apa pun Dr Hassan Ali dan BA kena lipat-gandakan kerja jika ingin mengekalkan kerusi DUN Sungai Burong serta memenangi DUN Permatang dan Parlimen Tanjong Karang..

Orang Dalam - 13.03.2004 - (suntingan M@RHAEN)
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN