Make your own free website on Tripod.com
 

Bosan dengan politik, beralih ke sukan sepak bola…
Suasana politik memang panas dan kian panas
. Kerana sangking panas itu, banyak kepala jadi pusing. Jangan fikirlah perihal politik itu, kita bicarakan yang santai-santai…. sukan paling popular: sepak bola.

Persatuan Sepak Bola Malaysia (FAM) telah merombak peraturan perlawanan akhir Kejohanan Piala Malaysia tahun 2004. Meskipun perlawanan itu hanya akan dilangsungkan pada bulan Disember tahun 2004 ini, namun tujuan FAM mewartakan peraturan terbaru itu untuk mendapat maklum balas para pengemar sukan berkenaan.

Dalam sidang medianya, Presiden FAM telah mengumumkan bahawa penyandang juara Piala Malaysia 2003 MPPJ diberi beberapa hak istimewa yang mesti dihormati sebagai satu kewajaran dalam keadilan pertandingan. Antara keistimewaan itu ialah:

1. MPPJ selaku penyandang juara wajib bertanding dalam perlawanan akhir tahun 2004. Pasukan-pasukan lain hendaklah bertanding sesama mereka untuk menentukan pasukan mana paling layak melawan MPPJ pada perlawanan akhir.

2. Kapten pasukan MPPJ diberi kuasa memilih wasit (pengadil). MPPJ hanya perlu mengajukan nama wasit kegemarannya kepada FAM, dan Presiden FAM akan mengeluarkan surat perlantikan wasit sebagai tanda wasit yang bebas daripada mana-mana pihak yang bertanding.

3. Kapten pasukan MPPJ diberi hak mutlak oleh FAM untuk menentukan bilakah sepatutnya perlawanan akhir Piala Malaysia itu dilangsungkan. Apa yang penting perlawanan itu mesti diadakan sebelum atau pada 31 Disember 2004.

4. Kapten MPPJ juga diberikan hak mengarahkan wasit menentukan jumlah minit pada setiap babak perlawanan.

5. Pasukan MPPJ juga diberi hak merundingkan keluasan golnya sendiri dan keluasan gol pihak lawannya dengan wasit. Mengikut peraturan FAM, wasit berkenaan wajib menjalankan kehendak MPPJ dalam soal keluasan padang permainan, garisan-garisan kotak penalti dan bentuk penjuru untuk sepakan sudut.

6. Wasit dan penjaga-penjaga garisan dibenarkan membuat tafsiran sendiri mengenai kedudukan para pemain dalam perlawanan akhir seperti maksud ofside, faul dan cara-cara melontar bola ke dalam akibat bola keluar garis.

7. FAM memberi jaminan bahawa sepanjang latihan untuk perlawanan akhir, polis FRU akan dikerah untuk mengawal selia pasukan yang akan melawan MPPJ demi keselamatan Stadium Bukit Jalil.

8. FAM juga memberikan hak sepenuhnya kepada MPPJ membawa sebanyak mungkin para penyokongnya tanpa mengira umur, sebaliknya FAM boleh menasihati pihak-pihak tertentu agar tidak mempengaruhi remaja bawah 21 tahun untuk menyokong pasukan yang menjadi lawan MPPJ atas alasan masih menuntut di universiti atau belum akil baligh!

FAM menjangka Persekutuan Sepak Bola Antara Bangsa (FIFA) akan menghormati peraturan baru FAM atas alasan Permainan Sepak Bola Ala-Malaysia.

- Mandalaputra - 11.03.2004

Catatan Webmaster: Faham maksud yg tersirat? Tapi bagi para pro-reformis, pasti dapat menangkap maksud Mandalaputra yang berjaya menghasilkan satu hidangan yang berbeza, humor tetapi sinis, ke arah pemikiran kreatif dan kritis. Puak UMNO BN mana mampu berfikiran begitu…. dibimbangkan, setelah membaca artikel ini, puak UMNO BN akan berebut-rebut memenuhi stadium MPPJ! Low mentaliti, kata Nazeri

Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN