Make your own free website on Tripod.com
 

DAP TERUJI BESAR DALAM PILIHAN RAYA KE-11
Kononnya DAP keluar daripada Barisan Alternatif (BA) kerana realistik dengan suasana Malaysia. Falsafah DAP ialah Malaysia tidak boleh dijadikan Negara Islam mengikut kehendak Pas (berteras Al-Quran dan Sunah). Negara ini wajib dijadikan negara sekular total. Tentulah strateginya mahu menarik sebanyak mungkin bukan Islam (bukan Melayu?) menyokong perjuangan DAP.
 
Di seberang sana BN yang diketuai oleh Umno pula dengan berani mengisytiharkan Malaysia adalah sebuah Negara Islam (Kata Dr Mahathir negara ini sudah mengikut ajaran 'Islam Sebenar'). Strategi Umno mempertahankan negara ini sebagai negara Islam tidak pula membingungkan parti-parti bukan Islam seperti MCA, Gerakan dan MIC. Parti-parti bukan Islam dalam BN yakin perisytiharan Malaysia sebagai Negara Islam tidak akan mengubah apa-apa dasar semenjak negara merdeka.
 
Anehnya DAP dengan keras menolak pula Negara Islam versi BN-Umno. Sudahlah corak Negara Islam versi Pas ditentang habis-habisan, Negara Islam versi Umno yang tidak masak ini pun ditentang juga. Konon-kononnya DAP mahu menjadi alternatif kepada falsafah negara sekular sepenuhnya!
 
DAP patut ditolak oleh pengundi pada kali ini. Kit Siang dan Karpal bermimpi disokong oleh 30 peratus pengundi bukan Islam, tetapi semenjak parti roket itu berkonfrontasi dengan BA dan BN (dah lama dah...) percubaannya dalam pilihan raya kecil DUN Ketari Pahang tidak menjadi juga. Malah sudah ada desakan dari dalam agar DAP mengkaji kedudukannya meninggalkan BA. Justeru DAP itu Kit Siang dan Karpal, maka biarlah DAP terjun dengan labu-labunya......
 
Tidak syak lagi, jika DAP sedang menuju zaman lebih suram berbanding tahun 1999. Pengundi bukan Islam dapat menerima Negara Islam versi Umno (bersifat liberal seperti Amerika) atau sebahagian lagi masih setia dengan BA melalui Keadilan, siapa yang hendak mengundi DAP? Kepada aktivis DAP yang dapat menghidu jalan buntu partinya, harap berubahlah kepada Keadilan atau membuka kelab-kelab Penyokong Pas di mana-mana juga.
 
Mahu tidak mahu pemikiran politik di Malaysia kian didasari oleh Islam. Hal ini semua kerana majoriti pengundi Melayu telah mengundi Pas tahun 1999. Justeru Umno adalah parti Melayu yang perlukan sokongan Melayu, maka dengan berat hati dan terpaksa Umno juga cuba mendasari Islam dalam pergerakannya. Tujuannya tidak lain ialah mahu menarik semula sokongan Melayu terhadap Umno! Kini nama-nama tokoh yang dikaitkan dengan Islam dibayangkan menjadi calon Umno, setidak-tidaknya tokoh-tokoh berkenaan akan dijaja demi membuktikan Umno memang mahukan Islam.
 
Kekalahan Kit Siang dan Karpal dalam pilihan raya kali ini akan mempercepatkan robohnya falsafah sekular DAP di Malaysia. Adalah lebih baik DAP mengetuk pintu BN menjadi kerabat baru sebagaimana dilakukan oleh PBS di Sabah! Lagi pun sebahagian besar perjuangan DAP sudah ditunaikan oleh Umno-BN seperti penggunaan Bahasa Inggeris di Universiti, kebebasan menubuhkan universiti swasta, penerimaan bukan Melayu dalam institusi Melayu (Mara) dan sistem merit kemasukan ke universiti!
 
Baki perjuangan DAP hanya anti-ISA, OSA, AUKU, Akta Polis dan kebebasan media. DAP wajib ingat walaupun di luar BA, BA masih menghormati kedudukan DAP sebagai pembangkang. Justeru BA melalui Keadilan tetap memberikan hak bertanding sebagai rakan BA. Jika DAP rasa besar kepala kepada BA, pada waktu lain pasti pertandingan tiga penjuru antara BN, BA dan DAP akan berlaku. Waktu itu kalau DAP tidak hilang wang pertaruhan, itu pun cukup untuk buat kenduri besar!

- Mandalaputra - 12.03.2004
Siaran awal artikel ini terdapat di http://www.marhaen.com

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN