Make your own free website on Tripod.com
 

PENGKIANATAN UMNO TERHADAP ORANG MELAYU (Prakata)

Assamu'alaikum wm.wbt

Prakata:

Pada hari Sabtu 21.2.2004, Harakahdaily.net telah menyiarkan tiga peristiwa penting yang mengecewakan sebahagian besar rakyat terhadap amalan demokrasi di Malaysia. Pertama, dilaporkan program Ijtimak Tahun 2004 di negeri Kelantan yang dijadualkan diadakan di Kampung Nibung, Jeli pada 21.2.2004 dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang telah dibatalkan kerana pihak polis tidak membenarkan program tersebut berlangsung. Keputusan ini amat mengecewakan sebahagian besar ahli dan penyokong PAS termasuk YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah membuat persiapan rapi untuk menjayakannya dan terpaksa ditunda kepada 27.2.2004 di Stadium Sultan Mohammad ke IV.

Kedua, pihak polis juga telah bertindak secara melampau menghalang dan mengganggu perjalanan Majlis Taklimat Pilihan raya di PASTI Berakah, Maran, Pahang pada 17.2.2004. Pihak polis telah mengadakan sekatan jalan raya pada jarak 500 meter bagi menghalang orang ramai menghadiri majlis tersebut. Ketua Penerangan PAS Temerloh, Abdul Ghafar Jalil telah membuat laporan polis pada 20.2.2004 di Balai Polis Daerah Maran pada pukul 5.45 petang.

Ketiga, satu pasukan polis telah menceroboh masuk tanpa waran ke dalam bilik hotel no.821 Hotel Crystal, Klang tempat penginapan Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah, Zamil Ibrahim pada pukul 2.30 pagi pada 20.2.2004.

Lihat ketiga-tiga peristiwa tersebut. Siapakah dalangnya di sebalik tindakan kurang ajar pasukan polis itu. Tidak lain dan tidak bukan adalah arahan daripada pemimpin UMNO yang penakut dan dayus untuk berhujah secara anak jantan. Mereka berselindung di sebalik kuasa polis untuk melindungi semua kerja buruk yang telah mereka lakukan selama ini mengkhianati orang-orang Melayu.

Sebelum 1.7.2001, di mana pengharaman ceramah dikuatkuasakan, pihak pasukan polis tidak pernah melakukan perkara seumpama itu. Mereka memberi kerjasama yang amat baik apabila pihak PAS atau pihak Keadilan mengadakan ceramah-ceramah di seluruh Negara. Mereka mengawal lalu lintas dan menolong membantu menguruskan sesuatu ceramah yang diadakan itu mengikut peraturan keselamatan seperti yang ditetapkan. Tidak ada pun satu kes kekecohan yang berlaku disebabkan ceramah.

Kekecohan mula berlaku apabila pasukan polis mulai mengganggu dan menceroboh masuk ke markas-markas PAS serta menghalang setiap program yang dianjurkan oleh PAS. Sekarang ini trend menceroboh ke dalam markas dan merampas peralatan ceramah tidak berlaku lagi. Ini kerana pihak polis telah sedar bahawa tindakan mereka selama ini telah melanggar Undang-undang seperti yang ditetapkan. Oleh sebab itu, selama ini berbakul-bakul laporan polis yang dibuat tidak pernah disiasat atau diambil tindakan dan dibakul-sampahkan sahaja kerana mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka itu melanggar Undang-undang. Sekarang mereka telah mengubah tindakan, mereka tidak lagi menceroboh dan tidak merampas peralatan yang digunakan ketika berceramah, kerana mengadakan perhimpunan dan aktiviti di premis sendiri dibenarkan oleh Undang-undang tanpa perlu mendapatkan permit polis. Mereka mula menggunakan taktik dengan mengadakan sekatan jalan raya daripada semua arah dan menghalang orang ramai daripada menghadiri majlis atau program-program yang dianjurkan oleh PAS atau Keadilan.

Trend ini sangat bahaya bagi masa depan Negara. Sekatan demi sekatan yang dikenakan ke atas pembangkang untuk mengamalkan demokrasi seperti mana yang dijanjikan oleh Pak Lah dalam ucapan terima kasih dan penghargaan terhadap bekas PM ke-4 di Parlimen pada 4.11.2003 dulu akan terancam dan pada masa yang sama pihak pasukan polis memberi kerjasama sepenuhnya terhadap sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh pihak UMNO. Ini merupakan satu ketidak-adilan telah berlaku dan pihak pasukan polis tidak menjalankan peranannya secara professional.

Hal ini seumpama ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat yang mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza dengan UMNO. Sekiranya perbezaan pendapat ini tidak dibenar dicurahkan, kita amat bimbang, mereka akan mengambil jalan lain yang tidak mengikut Undang-undang iaitu melalui jalan raya bukan lagi melalui pilihan raya. UMNO perlu ingat, bukan semua rakyat seramai 23 juta sekarang ini yang bersetuju dengan tindak tanduk UMNO selama ini. Ada golongan yang menentang UMNO daripada segi pendekatan mengurus Negara. Perbezaan pendapat wajib ini dibenarkan. Inilah lambang Negara demokrasi yang menjadi alat check and balance mengawal UMNO daripada tergelincir dari rel.

Negara akan menjadi kacau bilau dan tidak stabil yang boleh mengundang pelbagai ancaman terhadap politik, ekonomi, campur tangan daripada luar dan sebagainya. Kita harus mendengar nasihat bekas Pengerusi SUHAKAM dan bekas TPM, Tan Sri Musa Hitam yang mahu kerajaan [dibaca UMNO] memberi peluang kepada rakyat untuk memberi pandangan secara teratur dan mengikut Undang-undang, jangan sekat naluri rakyat untuk menyuarakan pendapat, nanti rakyat akan tetap jua mencari jalan lain untuk menyuarakan naluri itu. Jangan disekat air yang sedang deras turun dari bukit, nanti pecah ampangannya. Ini nasihat Nik Aziz, MB Kelantan.

UMNO jangan kembali ke zaman jahiliah [sekarang zaman digital ICT, bukan zaman batu]. Zaman di mana Abu Jahal menguasai semua aspek kehidupan baik politik, ekonomi, kebudayaan dan sosial orang-orang Qurish di Kota Mekah. Pergerakan dakwah Nabi s.a.w untuk mengajak orang-orang Qurish di Kota Mekah untuk kembali kepada Allah dan RasulNya, ditentang habis-habisan oleh Abu Jahal dan orang-orangnya. Nabi s.a.w dihina, diperlecehkan, dikepung, disiksa, diancam dengan pelbagai tekanan mental dan fizikal. Abu Jahal dan orang-orangnya telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Nabi s.a.w dan pengikut-pengikutnya sehinggakan barangan keperluan telah habis kontang dan mereka kelaparan. Ada yang jatuh sakit dan meninggal dunia akibat perbuatan jahat Abu Jahal itu. Walaupun begitu, dakwah Nabi s.a.w tetap berjalan seperti biasa dan berjaya melepasi tembok kepungan Abu Jahal. Dan akhirnya, apabila pelbagai usaha dilakukan oleh Abu Jahal untuk mematahkan perjuangan Nabi s.a.w tidak berjaya, maka ketua-ketua kaum Qurish telah mengambil keputusan untuk membunuh Nabi s.a.w. Dengan pertolongan Allah SWT, Nabi s.a.w, sahabat-sahabat baginda dan pengikut-pengikutnya selamat berhijrah ke Madinah untuk memulakan satu system kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT.

Selama 46 tahun UMNO memerintah, banyak perkara yang dilakukannya mengkhianati orang-orang Melayu. Dalam bahagian yang berikutnya selepas ini, saya akan menyebut satu persatu, beberapa perkara penting tindakan UMNO yang boleh kita kategori sebagai tindakan khianat terhadap orang-orang Melayu.

- Meli - 24.02.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN