Make your own free website on Tripod.com
 

PENGKIANATAN UMNO TERHADAP ORANG MELAYU (Bahagian 4)

Assamu'alaikum wm.wbt

3. MELUCUTKAN KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU

Menjadikan Raja-raja Melayu sebagai budak suruhan UMNO. Perkara ini dibangkitkan oleh Rais Yatim semasa beliau memegang jawatan Timbalan Presiden parti SM46 [Ahmad Lutfi Othman, Mahathir Khianat Melayu, 1994, ms: 67 – 72]. Menurut beliau lagi, UMNO pimpinan mantan PM ke-4 langkah jahat untuk memecahkan dan menghapuskan kuasa raja bermula pada 1983 bila mana Perkara 66 Perlembagaan dipinda supaya raja-raja tidak boleh lagi menggunakan budi-bicara tidak menandatangani sesuatu rang Undang-undang bukan kewangan yang hendak dijadikan Undang-undang Negara. Sebelum itu, raja-raja mempunyai kuasa budi-bicara tidak menandatangani sebarang rang Undang-undang yang difikirkan zalim dan tidak adil terhadap rakyat. Sekarang UMNO boleh menggubal dan meminda apa sahaja rang Undang-undang yang dikehendakinya tanpa sebarang sekatan atau halangan.

Sekali lagi UMNO membuat pindaan terhadap Perkara 181 [2] bagi menghapuskan imuniti Raja-raja Melayu dalam krisis Perlembagaan pada tahun 1993. Sultan Pahang merupakan Raja Melayu yang pertama yang dibicarakan di Mahkamah Khas ditubuhkan khas mengikut Perlembagaan yang dipinda itu oleh seorang wanita warga Negara Singapura berkaitan dengan isu pembalakan di Pahang, tetapi Mahkamah tersebut menolaknya kerana wanita itu didapati tidak mempunyai prima facie kerana beliau bukan warga Negara Malaysia. Di samping itu, Undang-undang draconian seperti Undang-undang ISA, OSA, Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan lain-lainnya yang seangkatan dengan Undang-undang ini dipinda dan diperketatkan untuk kepentingan UMNO.

Simbol ketuanan Melayu telah hancur akibat UMNO membuat pindaan terhadap Perlembagaan Perkara-perkara 38 yang berkaitan dengan kedudukan Majlis Raja-raja, Perkara 153 berkaitan dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu, Perkara 159[5] berkaitan dengan sebarang pindaan terhadap kedaulatan dan institusi Raja-raja mestilah terlebih dahulu mendapat perkenan oleh Raja-raja Melayu telah menjadi tidak bernilai lagi, Perkara 160 mengenai kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan terakhir Perkara 181 berkaitan kedaulatan Raja-raja telah dihapuskan.

Bahasa Melayu telah dipinggirkan. Perkara 152 Perlembagaan menyatakan bahawa bahasa rasmi ialah Bahasa Melayu digunakan untuk semua urusan rasmi peringkat kerajaan Persekutuan, negeri dan badan-badan berkanun. Pada akhir Disember 1993, mantan PM ke-4 menyatakan bahawa kabinet telah memberi kebenaran bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar kursus berunsur teknologi di semua universiti dan kolej tempatan.

4. PENDIDIKAN

Dalam bulan Disember 1995 hingga Januari 1996, Parlimen telah meluluskan 4 akta baru berkenaan dengan pendidikan iaitu Akta Pendidikan 1995, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dibuat pada bulan Disember 1995 dan dikenali sebagai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1995. Keempat-empat akta pendidikan ini memberi kesan terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan di universiti-universiti.

Fasal 17 dalam Akta Pendidikan 1995 dan Fasal 41 dalam Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 memberi ruang yang luas kepada universiti dan kolej swasta menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajian masing-masing. Kebanyakan IPTS ini mempunyai program berkembar dengan universiti-universiti luar negeri seperti di Amerika Syarikat, Britain dan Australia. Berapa ramaikah orang Melayu dan bumiputra yang mampu menuntut di ITPS-ITPS ini.

Mengikut statistik tahun 2000 [MM, 2.6.2002, ms: 6], bilangan pelajar bukan-bumiputra yang melanjutkan pelajaran ke luar Negara dianggarkan berjumlah 112,000 orang berbanding dengan pelajar bumiputra yang ditaja hanya berjumlah 5,800 orang sahaja. Begitu juga bilangan mereka di kolej-kolej swasta bilangan mereka menjangkau 170,000 orang dan lebih 22,000 di universiti swasta.

Di Kolej Tunku Abdul Rahman [dan kini sudah dinaikkan taraf sebagai universiti] bilangan pelajar bukan-bumiputra menghampiri 15,000 orang, manakala di peringkat ijazah di universiti awam pula mereka mencecah 80,000 orang. Jika angka-angka ini dicampur, bilangan pelajar bukan-bumiputra yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi ialah seramai 399,000 orang berbanding jumlah keseluruhan enrolmen pelajar ke institusi pengajian tinggi seramai 753,000 orang.

Amat jelas bilangan pelajar bukan-bumiputra lebih tinggi berbanding pelajar bumiputra, walaupun jumlah penduduk bumiputra pada tahun 2000 ialah 65.1% berbanding Cina 26.0% dan India 7.7%. MCA umpamanya sangat mengambil berat betapa pentingnya pelajaran di kalangan masyarakat Cina. Mantan Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik pernah melafazkan: “Pendidikan adalah masa depan kita dan ia adalah segala-segalanya“. Beliau berucap demikian dalam satu majlis menyerahkan derma untuk sebuah kolej swasta bernama New Era College. MCA terlibat khusus dalam mewujudkan beberapa institusi pengajian seperti New Era College, Southern College, Kolej Jayadiri, KTAR dan Projek Langkawi.

Kolej Tunku Abdul Rahman [kini bertaraf universiti] yang ditubuhkan pada tahun 1969 mengeluarkan beribu-ribu professional dalam pelbagai bidang. KTAR telah mengembangkan lagi beberapa buah kampus cawangannya di Kampar, Pulau Pinang, Segamat dan Perak. Betapa seriusnya MCA terhadap pendidikan boleh dilihat melalui sumbangan yang diterima daripada anggota-anggotanya. Pada tahun 1997, Perhubungan MCA Pahang berjaya mengumpul RM10,888,888.88 hanya dalam satu majlis makan malam. Untuk membiayai pembinaan kampus cawangan yang keempat di Kampar, seorang YB bernama Hew See Tong telah menderma RM5 juta di samping menderma sebuah tapak di Bandar Baru Kampar seluas 20 hektar.

Kalau dikaji senarai mereka yang menerima faedah daripada projek-projek kerajaan, pembahagian saham, lesen, permit dan sebagainya yang lebih 90 peratusnya ialah Melayu dan pastinya 99 peratus adalah pemimpin-pemimpin UMNO. Sewajarnya kita memiliki lebih daripada MCA miliki.
 
Kita menjadi lebih sedih apabila MIC sebuah parti yang lebih kecil mempunyai sayap pendidikan yang dinamakan Maju Institute of Education Development yang telah pun mengeluarkan berjuta-juta ringgit untuk membantu kaum India yang mempunyai masalah kewangan untuk ke universiti dan kini telah menubuhkan beberapa buah universiti dan kolej.

Kewujudan IPTA-IPTA sudah dikira sebagai agenda UMNO dan dianggap telah selesai dalam mengharungi era ICT. Agenda itu dianggap sebagai agenda kerajaan. Amat malang, UMNO tidak tahu membezakan atau memisahkan apakah itu kerajaan dan apakah itu UMNO.

Mulai tahun 2002, kemasukan ke ITPA adalah berdasarkan kepada sistem kuota dan meritokrasi dan mulai tahun 2003 juga ruang 10% telah diberikan kepada bukan-bumiputra untuk memasuki MRSM dan program matrikulasi, Dalam pada itu, akibat perbezaan politik, dua MRSM di Terengganu telah ditutup. Kuota pengambilan pelajar bukan-bumiputera di lima buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mulai bulan Februari 2004 telah dinaikkan daripada 10 kepada 30 peratus. Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz berkata, lima MRSM yang terbabit dalam pengambilan pelajar bukan-bumiputera itu ialah di Pontian, Muar, Kuala Kubu Baru, Kulim dan Kuala Lipis. Menurut beliau, tindakan menambah kuota 30 peratus pelajar bukan bumiputera di lima daripada 17 buah MRSM di negara ini berikutan kebimbangan ibu bapa kaum terbabit jika bilangannya hanya 10 peratus sahaja. "Dan pengambilan pelajar bukan bumiputera di MRSM ini tidak hanya kepada lulusan daripada aliran sekolah kebangsaan tetapi juga murid daripada aliran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina,'' [BH, 6.1 2004].
 
Bukankah ini satu bentuk tindakan khianat terhadap orang Melayu khususnya dalam pendidikan.

Dalam bahagian yang seterusnya, saya akan menyentuh mengenai pengkhianatan UMNO dalam usaha menentang perkembangan Islam dengan meruntuhkan institusi Sekolah Agama Rakyat dan juga pengkhianatan UMNO dalam Merampas Tanah Rakyat.

- Meli - 28.02.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN