Make your own free website on Tripod.com
 

PENGKIANATAN UMNO TERHADAP ORANG MELAYU (Bahagian 6/Akhir)

Assamu'alaikum wm.wbt

5. MENGHALANG PERKEMBANGAN SYIAR ISLAM

Tindakan Zahid Ibrahim, Timbalan Perhubungan UMNO Kelantan membawa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah [Hudud dan Qisas] telah diluluskan oleh DUN Terengganu pada 8 Julai 2002 dan telah diperkenan oleh Sultan Mizan pada 2 September 2002 serta pun telah diwartakan untuk dilaksanakan pada 27 Oktober 2003 bersamaan 1 Ramadan 1424 ke Mahkamah Persekutuan merupakan satu tindakan pengkhianat terhadap orang yang ingin mengamalkan ajaran Islam sebenar. Hanya orang-orang yang tidak beriman dan berfahaman secular sahaja yang sanggup mengambil jalan sebegini untuk menghalang Islam memerintah bukan Islam diperintah. Mereka menjadikan dunia dan akhirat tidak ada hubungan. Bagi mereka politik hendaklah dipisahkan daripada agama. Politik lain. Agama lain. Perkara ini pernah di suarakan oleh Zainudin Maidin, Timbalan Menteri Penerangan ketika mengulas Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memberi penekanan agama dalam mentadbir negeri, beliau pernah mengatakan agama sebagai candu dalam usahanya menuduh Kerajaan Kelantan mengabaikan pembangunan berbentuk fizikal untuk rakyatnya yang banyak merantau ke negeri lain untuk mencari rezeki.
 
Mereka boleh terima apabila Islam dihina dan diperlecehkan oleh mantan pemimpin utama Negara dan oleh penulis-penulis seperti Astora Jabat, Farish Noor, Sister In Islam dan sebagainya. Sedangkan dalam Islam, menjadi satu kewajipan bagi setiap orang Muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Nabi Mohamad SAW menentang sebarang kemungkaran yang berlaku mengikut kemampuan masing-masing. Melalui tindakan sekiranya ia mempunyai kuasa, dengan lidah berdakwah dan selemah-lemah iman ialah penentangan dalam hati yang tidak redha sebarang kemungkaran yang berlaku.
 
Setiap Muslim juga tidak mengira pangkat dan keturunan wajib mengamalkan amal makruf dan nahi mungkar mengikut kemampuan masing-masing. Mereka hanya pandai berhujah mengatakan ini adalah hudud PAS yang bertentangan dengan Islam sebenar. Mana dia hudud UMNO yang dikatakan mengikut Islam sebenar. Telah 46 kita Merdeka tidak sebarang habuk pun mereka buat untuk menegakkan hokum Allah ini, melainkan mereka menekan kepada aspek syiar semata-semata bukan syariat.
Kenapa perlu ada sekatan terhadap sebahagian orang Islam yang lain yang mahu beramalkan dengan hukum Allah. Kenapa memberi alasan kepada Perlembagaan negara yang menghalang pelaksanaan hukum Allah ini, sedangkan pindaan Perlembagaan dilakukan acap kali untuk kepentingan UMNO.
 
Mana-mana Undang-undang yang menghalang pelaksanaan hukum Allah boleh dibuat pindaan. Semenjak Merdeka sebanyak 42 kali Perlembagaan negara dipinda, ISA paling banyak mengalami pindaan sebanyak 20 kali. Ini semua adalah auta UMNO semata-mata. Sering kali juga UMNO memberi alasan ini adalah Hudud PAS yang tidak mengikut Islam yang sebenar. Mana dia Hudud UMNO yang mengikut Islam yang sebenar?
 
Kalau begitu, apa sebab UMNO tentang, UMNO TENTANG KERANA:
 
1. UMNO melihat "amanah" yang diberikan oleh rakyat adalah sebagai alat untuk mencari kekayaan, kedudukan dan kuasa. Bukan untuk melihat amanah itu sebagai bebanan yang perlu dipikul dan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Jika dilaksanakan hukum Islam ini, maka ia akan menjadi batu penghalang untuk mencapai cita-cita peribadi masing-masing yang berlumba-lumba masuk UMNO ketika tahun 80an dan 90-an dulu kerana untuk mendapatkan tender, kontrak dan saham-saham mewah. Kalau dulu zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, 99 untuk rakyat 1 untuk pemimpin, tetapi sekarang telah terbalik, 99 untuk pemimpin dan 1 untuk rakyat.

2. Budaya kehidupan pemimpin-pemimpin UMNO bermegah dengan kereta mewah, rumah besar-besar, duit banyak dan menunjuk-nunjuk kekayaan kepada rakyat. Mengetepikan kepentingan rakyat yang dipimpin. Pemimpin UMNO menjadi raja, rakyat menjadi hamba. Dalam Islam perbuatan begini sangat dikutuk oleh Allah, menunjuk-nunjuk kemewahan kepada rakyat marhaen yang tidak ada apa-apa. Nabi sendiri dalam kehidupannya terlalu bersederhana daripada segi pakaian, makanan dan tempat tinggal, kalau Nabi hendakkan kekayaan dunia ini, maka Nabi akan dapat lebih hebat lagi daripada pemimpin-pemimpin UMNO haprak ini. Oleh itu, Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana ia boleh menyama-ratakan kedudukan manusia.
 
3. Lagi budaya negatif pemimpin UMNO ialah mencari kekayaan dengan apa cara sekali pun baik halal atau haram tidak diambil pusing. Menjadikan harta rakyat sebagai harta sendiri, kumpulan wang amanah seperti KWSP, LUTH, Petronas [sejak ditubuhkan pada awal tahun 70-an tidak pernah bayar sesen pun zakat untuk membantu orang-orang miskin, tetapi sebaliknya membantu orang-orang kaya dan tokoh-tokoh korporat terkenal yang dekat dengan pemimpin no.1] dilaburkan di tempat-tempat yang tidak sesuai dan pelaburan yang dibuat merugikan. Penggunaan duit tabungan amanah digunakan secara tidak berhemah, malah duit orang miskin PPRT ditelan oleh orang kaya sehingga kini orang besar itu bebas. Yang kaya terus kaya yang miskin terus miskin. Mana mungkin Hudud dibenarkan wujud di negara ini selagi budaya seperti ini diamalkan tanpa asuhan akidah.
 
4. Budaya rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, menyeleweng berlaku di pelbagai di institusi, sektor, individu dan terutama pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa. Membolot harta kekayaan negara, memonopoli keperluan rakyat untuk keuntungan dan faedah diri dan kepentingan kroni. Pembudayaan ini telah menjadi darah daging selama 46 tahun UMNO memerintah, mana mungkin Undang-undang Hudud dibenarkan. Membenarkan Hudud dilaksanakan, bermakna mereka akan menerima nasib yang amat malang dan akan menderita sepanjang hayat. Umpama penagih rokok, mana mungkin mereka merelakan rokok diharamkan.
 
5. Arak, judi, penzinaan, hiburan yang membangkitkan syahwat lagi melalaikan, menipu, pembohong [termasuk juga pembohongan dalam urusan pilihan raya], kes tangkap khalwat, melarikan duit ke luar negara, melarikan anak seorang Raja menikah di Selatan Thailand pada tahun 1994, menahan orang tanpa sebab dan pelbagai lagi gejala maksiat yang dilakukan, masakan boleh dilaksanakan Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah [Hudud dan Qisas]. Pelaksanaannya akan menyebabkan industri hiburan ini akan runtuh dan orang akan kembali beriman kepada Allah dan RasulNya.

6. Kepentingan politik sempit UMNO untuk menarik sokongan pengundi-pengundi bukan Islam seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya tahun 1999 yang lalu. Pada pilihan raya tersebut UMNO kalah, BN menang. Oleh itu, UMNO akan terus mengunakan isu ini menakut-nakutkan pengundi bukan bukan-Islam untuk terus menyokong UMNO/BN pada pilihan raya ke-11 nanti.

9. UMNO MELAKSANAKAN DASAR MALAYSIAN MALAYSIA DAN MALAYAN UNION

Ketika Lee Kuan Yew menyuarakan dasar Malaysian Malaysia dan Malayan Union, UMNO menentangnya, tetapi kini UMNO telah menunaikannya secara tanpa disedari oleh rakyat. Raja-raja Melayu telah hilang kedaulatannya seperti yang dikehendaki oleh Malayan Union. Equal citizenship [taraf sama rata bagi semua rakyat tanpa keturunan] telah ditunaikan oleh UMNO. Orang bukan-Melayu sekarang boleh menjawat pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam seperti orang Melayu menikmati. Mereka boleh mengundi dan boleh diundi. Boleh jadi PM [dan pernah Presiden MCA Dr. Ling Liong Sik memangku sekejap jawatan Pengerusi BN dan jawatan PM ketika krisis UMNO pada tahun 1987]. Bukan Melayu telah pernah menjadi Gabenor Melaka dan pernah menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-raja [buka balik buku sejarah] yang mereka tidak boleh menjadi Sultan sahaja. Hak-hak Istimewa Orang Melayu pun sedikit demi sedikit telah dihapuskan oleh UMNO seperti dalam pendidikan [dulu ada kuota, sekarang ikut meritokrasi, MRSM dan Sekolah Berasrama Penuh kini telah diisi dengan pelajar bukan-Melayu, biasiswa telah dihapuskan dan sebagainya. Hak orang Melayu memegang ekuiti dalam syarikat-syarikat awam yang diperbadankan dan diswastakan juga telah dipergunakan dengan sewenang-wenangnya untuk memperkayakan diri dan keluarga. Malah Mahathir sendiri telah mengecam hak-hak ini sebagai orang Red Indian di Amerika [orang Melayu dalam UMNO boleh mendiamkan diri apabila bangsanya dihina begitu rupa oleh seorang berketurunan Mamak] dan Mahathir membuat ugutan akan menarik balik tongkat ini supaya orang Melayu boleh maju tanpa sokongan kononnya, tetapi kenapa pada masa yang sama beliau membail outkan syarikat-syarikat yang dimiliki oleh tokoh-tokoh korporat ternama termasuk anaknya sendiri yang hampir muflis dengan mengunakan wang Negara wang rakyat.

PENUTUP
 
Begitulah serba sedikit yang saya boleh tuliskan untuk kita sama-sama berfikir mengenai pengkhianatan UMNO terhadap orang-orang Melayu. UMNO akan menggunakan apa saja cara melalui cara halal atau haram untuk mengekalkan kuasanya. Kehilangan kuasa bagi UMNO bagaikan orang buta kehilangan tongkat. Kuasa bagi UMNO sebagai tongkat sakti untuk meminta apa saja yang dihajati di dunia ini. Kekayaan, kedudukan dan kekuasaan.
 
Oleh itu jangan haraplah UMNO akan bersetuju dengan cadangan SPR untuk memperkenalkan Kod Etika Pilihan raya kerana kod memberi peluang bermain di padang yang sama rata dan merugikan UMNO. Mantan PM ke-4 pada 19 September 2003, awal-awal lagi telah menolak cadangan SPR untuk membenarkan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya nanti untuk mengadakan rapat umum dengan alasan penyokong parti PAS belum matang lagi. Ahli dan penyokong UMNO sahaja yang matang, orang lain semua bodoh. Kita juga jangan menaruh harapan terlalu tinggi terhadap SPR untuk membuat pemantauan supaya pilihan raya yang akan diadakan nanti secara fair play. Itu hanya impian semata-mata selagi UMNO berkuasa.

UMNO masih lagi memimpin, tetapi sejauh mana harapan rakyat Melayu terus bergantung kepada UMNO sebagai wadah perjuangan ketuanan Melayu belum dapat dipastikan. UMNO kini semakin jauh daripada rakyat. Pemimpin elit tidak lagi dipotretkan sebagai kepimpinan yang memperjuangkan rakyat malah dilihat sebagai tuan rakyat. Kalau dulu 99 untuk rakyat 1 untuk pemimpin, kini sudah terbalik 99 untuk pemimpin 1 untuk rakyat.
 
Bagi negeri-negeri yang pengaruh PAS tidak kuat seperti di negeri Johor, NS, Melaka dan negeri-negeri lain kawalan dilonggarkan, ini memberi peluang kepada UMNO untuk membuat penipuan dalam pengundian dan pengiraan undi kelak kerana di negeri-negeri ini PAS mempunyai ahli dan penyokong yang tidak ramai dan mereka pula tidak ada kemahiran dalam pengendalian urusan pilihan raya.

Satu lagi yang amat membimbangkan saya ialah takut-takut SPR akan melantik semua orang yang terlibat dalam urusan pengundian kelak seperti pemerhati di bilik pengundian dan di bilik perkiraan undi hanya melibatkan orang-orang UMNO sahaja seperti yang berlaku pengambilan Pembantu Tadbir Sambilan. Sekarang ini kaedah yang digunakan ialah SPR ialah wakil-wakil parti yang bertanding dibenarkan sebagai pemerhati agar segala urusan pengundian berjalan lancar. Mudah-mudahan dijauhi oleh malaikat 44.
 
Insaflah UMNO. Berlawanlah secara anak jantan. Jangan jadi betina. Janganlah berlawan seorang dan jauh-jauh. Hujah lawan hujah barulah anak jantan namanya. Jangan gunakan media massa membuat orang tidak boleh menjawab balik. Jangan sekat ceramah. Mari sama-sama menegakkan hujah masing-masing. Biarkan rakyat tentu, siapa benar dan siapa salah.
 
Kita perlu mengingatkan UMNO, bila bertindak perlulah berlaku adil tanpa memilih bulu. Yang salah tetap bersalah. Rakyat Malaysia kini bukan lagi rakyat 50an, 60an atau 80an, tetapi rakyat kini terdedah dengan pelbagai maklumat dan rakyat semakin hari semakin celik. Rakyat yang berpendidikan semakin bertambah sebab itu walau bagaimana hebat pun media-media membuat propaganda siang malam dan pelbagai langkah diambil untuk melemahkan pembangkang, namun usaha-usaha tersebut gagal dan belum meyakinkan UMNO untuk mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini.

Sekali lagi kita merayu kepada UMNO yang memerintah supaya berlaku adillah kepada semua pihak. Kita takut teori politik akan berlaku seperti berikut,: “ Apabila ahli-ahli sesebuah pertubuhan itu dikawal terlalu ketat dan ada tindakan-tindakan yang dianggap tidak adil berlaku, maka mereka merasa kebebasan mereka untuk bersuara pun sudah dirampas, akan lahir di kalangan mereka orang yang akan memberontak. Ini satu fenomena yang biasa terjadi dalam sejarah ketamadunan manusia dan kita berharap perkara ini tidak berlaku di Malaysia yang kita sama-sama cintai ini.

Sekali lagi saya menyebut amaran yang diberi oleh Musa Hitam dalam MM, 11.3.2001 yang berbunyi, “……..kalau ada saluran untuk meluahkan pendapat, tetapi Undang-undang digunakan untuk menyekat saluran tersebut, maka orang mungkin mencari saluran lain “.

Sekian, untuk kali ini. InsyaAllah kita akan bertemu lagi di lain bicara. Terima kasih.

- Meli - 01.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN