Make your own free website on Tripod.com
 

SIRI KEMPEN PILIHAN RAYA KE-11:
Politik PAS [BA] V Politik Umno [BN] – Siri 1

Assamu'alaikum wm.wbt,
Para Pembaca Budiman,

Gendang Pilihan Raya Umum Ke-11 telah dipalu. SPR yang menjadi barua UMNO telah pun mengumumkan tarikh penamaan calon pada 13.3.2004, hari Sabtu dan tarikh pengundian pada hari Ahad, 21.3.2004. Parti-parti yang akan bertanding telah mula menari mengikut rentak muzik yang dimainkan oleh SPR.

Tiga tokoh penting parti Keadilan Azmin Ali, Naib Presiden yang juga ADUN Hulu Kelang, Ezam Mohd. Noor, Ketua Pemuda dan Irene Fernandez, Timbalan Ketua Wanita telah dilucutkan kelayakan mereka untuk bertanding dalam pilihan raya ini oleh SPR yang pastinya menerima tekanan kuat dari UMNO. Jangkaan ini bukanlah tidak berasas kerana selama ini pun UMNO telah memperkudakan SPR menurut kehendak nafsu buasnya.

Pada 23.10.2003, Pengerusi SPR memaklumkan kepada Setiausaha Agung Keadilan ketiga-tiga mereka ini layak bertanding kerana mereka masih dalam proses undang-undang merayu ke mahkamah yang lebih tinggi terhadap hukuman yang mereka terima, tiba-tiba pada 4.3.2003, melalui Setiausaha SPR memaklumkan pula bahawa mereka bertiga ini tidak layak bertanding kerana mereka telah dijatuhi hukuman penjara lebih sehari dan di denda melebihi RM2000.00. Persoalannya di sini ialah kenapa pihak SPR tidak memaklumkan terlebih awal tentang perkara ini. Jarak di antara 23.10.2003 hingga 4.3.2003 [hampir 5 bulan] tersangat lama untuk memaklumkan perkara ini. Ini merupakan taktik kotor UMNO mempergunakan SPR untuk mematahkan perjuangan parti Keadilan yang kesempitan masa untuk membuat perubahan mengganti calon yang berwibawa.

Lagi taktik dan strategi kotor UMNO dalam memperalatkan SPR untuk mengekalkan semula UMNO berkuasa ialah melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan pada 9.4.2003 dan akan diguna pakai pada pilihan raya ini [saya telah bincang dalam artikel saya yang bertajuk”Pengkhianatan UMNO terhadap Orang Melayu”yang disiarkan dalam Laman ini]. Pada kali ini saya akan cuba membawa fikiran saudara pembaca supaya tidak terlalu bergantung terhadap SPR untuk melihat pengendalian pilihan raya di Malaysia ini dijalankan secara adil dan bebas [sila rujuk artikel Ahmad Lutfi bin Othman dalam Harakahdaily.net yang bertajuk”Mimpi kita Mengharapkan Pilihan raya Adil dan Bebas].

Keputusan awal persempadanan terbaru ini diumumkan oleh SPR pada 9.8.2002. SPR mempamerkan 4 ciri yang boleh menggugatkan keadilan dan proses demokrasi dalam pilihan raya seperti mana yang ditanya oleh saudara Lutfi itu. Pertama, SPR telah bertindak secara terburu-buru untuk membantu UMNO memenangi semula pilihan raya tersebut yang dijangka akan diadakan pada tahun 2004. Pada persempadanan semula pada 1974, 1984 dan 1994 mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan, tetapi pada persempadanan baru ini tidak sampai 2 tahun [hanya 7 bulan sahaja] telah siap dan terus diguna pakai. Persempadanan semula ini terbukti memberi faedah besar pada UMNO pada pilihan raya tahun 1974, 1986 dan 1995. Pilihan raya Ke-11 ini, Allah SWT sahaja akan menentukan sama ada UMNO akan mengulangi sejarah tersebut atau tidak terpulang kepadaNya. Kita merancang, Allah lebih besar perancanganNya.

Kedua, pembahagian kerusi yang tidak kena pada negeri-negeri. Pada kebiasaannya, pembahagian ini berdasarkan dua faktor, iaitu taburan penduduk dan jumlah pengundi di setiap negeri. Jumlah pengundi selalunya di sesebuah negeri bersepadan dengan jumlah penduduk. Di beberapa negeri, kerusi yang diperuntukkan jelas berlebihan atau berkurangan. Selangor yang mempunyai 16.4% jumlah pengundi di semenanjung sepatutnya mendapat 27 kerusi atau tambahan 10 kerusi baru, tetapi hanya mendapat 5 kerusi sahaja. Jumlah 22 kerusi ini tidak memadai tau kurang 5 kerusi. Ini kerana apa ? Ini disebabkan pembangkang kuat di negeri ini.

Pahang yang mempunyai hanya 6.7% jumlah pengundi sepatutnya diperuntukkan 11 kerusi atau tidak ada perubahan, tetapi telah diberi 3 kerusi tambahan. Johor yang mempunyai 14.7% pengundi pula sepatutnya diperuntukkan 24 kerusi atau tambahan 4 kerusi bukannya 6 kerusi yang menjadikannya 26 kerusi keseluruhannya untuk negeri Johor. Ini kerana Johor Darul UMNO.

Kelantan mengalami 24% peningkatan jumlah pengundi atau 127,000 pengundi, tetapi negeri itu tidak mendapat sebarang pertambahan kerusi [hanya 2 kerusi DUN], tetapi berlainan pula di Pahang mengalami peningkatan 21.4% atau 98,000 pengundi diperuntukkan 3 kerusi parlimen. Kedah yang mengalami peningkatan sebanyak 17.4.% atau 118,000 pengundi tidak juga diberi pertambahan kerusi, tetapi di Pulau Pinang mengalami peningkatan 17.1% atau 97,000 pengundi telah diberi 2 kerusi parlimen. Inilah adalah tindakan barua membantu UMNO.

Ketiga, menggunakan kaedah Garrymeander istilah yang digunakan yang bermaksud pengubahan sempadan pilihan raya yang digunakan apabila persempadanan baru bagi kerusi-kerusi parlimen dan DUN dibuat supaya menguntungkan parti pemerintah. Terdapat bukti bahawa garrymeander wujud dalam persempadanan semula 2002 ini. Contoh berikut dapat menjelaskan perbezaan strategi garrymeander yang digunakan.

Negri Kedah contoh terbaik bagaimana kaedah ini digunakan oleh SPR untuk membantu UMNO mengekalkan kuasa bagaimana kerusi negeri telah dipindahkan dari kawasan parlimen yang dikuasai oleh UMNO ke kawasan parlimen yang dimenangi PAS dengan majoriti tipis dalam pilihan raya umum 1999. Kawasan yang paling ketara ialah parlimen Yan yang dimenangi oleh Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa yang memperoleh undi tipis sebanyak 182 undi atau 0,7%. Dalam persempadanan baru ini, kerusi negeri Gurun telah dimasukkan ke dalam parlimen Yan. Apa yang jelas, kawasan Gurun ini adalah merupakan kubu kuat MCA. Perlu diingatkan bahawa Gurun berada di bawah pentadbiran Kuala Muda sementara semua kawasan yang lain di Yan berada di bawah pentadbiran daerah Yan. Perpindahan yang serupa juga turut melibatkan 3 kawasan parlimen, iaitu Pokok Sena [Mahfuz Omar – PAS], Kuala Kedah [Mohamad Sabu-PAS] dan Baling [Mohd. Taib Azamudin-PAS].

Strategi lain yang digunakan oleh SPR untuk membantu UMNO ialah memindahkan kawasan pembuangan undi dari satu kerusi ke satu kerusi yang lain bagi memperkuatkan UMNO di kawasan yang ia lemah. Contohnya di Jeli, Kelantan, Mustafa Mohamad kalah dengan majoriti tipis sebanyak 693 undi atau 2.3%. Jumlah pengundi telah dikurangkan [dipindah ke kerusi lain] dari 38,000 [1999] kepada 31,700 [2004] dalam persempadanan semula ini. Pengundi di Kemahang telah dipindahkan keluar dari Jeli dan diganti dengan kerusi baru Bukit Bunga. Sebelum persempadanan semula ini dibuat, kerusi Jeli di bawah pentadbiran daerah Tanah Merah. Begitu juga di Gua Musang, pengundinya juga turut dikurangkan dari 30,000 kepada 26,000 dan kerusi baru juga ditambahkan juga di sini.

Keempat, strategi menyerap digunakan oleh SPR haprak ini untuk memenangkan UMNO. Contoh kerusi Sungai Besar yang berada di bawah parlimen Sabak Bernam, Selangor telah diserap ke dalam kerusi Ayer Tawar dan Sabak [kedua-dua kerusi ini adalah milik UMNO] mengakibatkan ADUN kawasan itu tidak lagi mempunyai kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya ini. Apa yang jelas, Sungai Besar dikuasai oleh PAS, sementara Sungai Ayer Tawar dan Sabak merupakan kerusi UMNO.

Ini adalah kerja-kerja kotor yang dimainkan oleh SPR selama ini. Oleh sebab itu, kita tidak hairan apabila SPR mengumumkan tarikh pembuangan undi pada 21.3.2004, hanya 8 hari sahaja untuk masa berkempen yang paling singkat dalam sejarah pilihan raya di Malaysia sejak merdeka, Masa ini sudah pasti terlebih dahulu ditentukan oleh UMNO dan SPR sebagai keldai terpaksa menurutnya. Negara telah diwar-warkan sebagai Negara maju, tetapi amalan demokrasi telah kembali ke zaman batu.

Oleh itu, saudara-saudara pembaca sekalian jangan harap SPR akan memainkan peranannya sebagai badan mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Pasti SPR tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap UMNO apabila ia melanggar Akta Kesalahan Pilihan raya 1957 yang dipinda baru-baru ini, yang pasti kena nanti ialah PAS dan Keadilan. Bersiap sedialah anda semua sebagai calon-calon PAS dan Keadilan untuk menghadapi SPR dan pihak berkuasa yang lainnya.

Sekiranya UMNO menang besar sekali lagi, kemungkinan pilihan raya umum akan datang tiada lagi masa berkempen atau hanya dibuat pada hari penamaan calon sahaja atau pun hanya dibenarkan hanya 3 hari 3 malam sahaja untuk berkempen. Seribu kemungkinan akan berlaku kerana Negara ini diperintah oleh orang-orang”gila”.

Bukan setakat itu sahaja, UMNO juga turut dibantu oleh kerabat BN yang ke 14 iaitu pasukan polis. Pasukan polis juga turut digunakan secara maksimum untuk menghalang sebarang aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh PAS dan Keadilan mulai 1.7.2001 hinggalah ke tarikh parlimen dibubarkan 4.3.2004. Pada yang sama pelbagai aktiviti UMNO dibenarkan. Polis menggunakan FRU akan mengepong, mengejar,memukul dan membuat sekatan jalan raya menghalang orang ramai dari menghadiri program-program yang dianjurkan oleh PAS atau Keadilan. Dan sekiranya UMNO kalah banyak kerusi di peringkat negeri pada pilihan raya ini, maka tekanan terhadap PAS dan Keadilan akan ditingkatkan. Mana-mana aktiviti yang dianjurkan oleh PAS dan Keadilan akan diharamkan terus, sama ada di markas atau di premis sendiri tidak akan dibenarkan lagi. Undang-undang akan dipinda bagi melaksanakan tugas ini. Ini peluang baik bagi para-para perompak, penyamun dan perogol kerana pasukan polis telah menumpukan tugas untuk membanteras aktiviti PAS dan Keadilan. Rayalah anda semua.

UMNO juga turut dibantu oleh sistem kehakiman yang haprak. Semua aktivis dan ahli-ahli politik yang menentang UMNO walau sekecil mana kesalahan yang mereka buat, mahkamah kanggaru dan hakim-hakim monyet ini akan berusaha sedaya upaya mereka mencari jalan bagaimana hukuman dapat dijatuhkan seberat-beratnya, gunakanlah apa sahaja proses undang-undang yang ada, mereka tetap menerima hukuman kerana ia telah ditetapkan oleh pemimpin UMNO, bukan berdasarkan kebenaran dan keadilan. Tujuannya ialah untuk melemah semangat mereka dan tidak berupaya melawan UMNO lagi. Contoh terbaru, kes Idris Jusuh mahkamah bertindak paling cepat di dunia. Pada 16.1.2004, Idris Jusuh dapat perintah injunksi dari mahkamah menghalang Haji Hadi dan lain-lainnya menceritakan perangai buruknya menyapu duit rakyat untuk kepentingan peribadi dan kepentingan politiknya. Pada 14.2.2004, Mahkamah Tinggi, Terengganu menolak injunksi Idris dan dia merayu di Mahkamah Rayuan di Putra jaya, pada 20.2.2004 mahkamah ini mendengarnya dan pada 2.3.2004 mahkamah ini membuat keputusan tidak membenarkan dan melarang sesiapapun menceritakan perangai buruk Idris ini.

Oleh itu, saya merayu kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, gunakanlah hak kita sebagai pengundi untuk menjatuhkan UMNO/BN pada pilihan raya kali. Rebutlah peluang ini. Buatlah muhasabah. Kalau UMNO/BN tetap memerintah Negara ini, fikiran dan fizikal kita akan terus dijajah seperti mana penjajah Inggeris dulu buat kepada kita.

Marilah kita bersama-sama membetulkan balik sistem pentadbiran Negara yang rosak akibat perbuatan UMNO yang”gila”memerintah. Marilah kita sama-sama membentuk sebuah kerajaan”good governance”untuk anak cucu kita masa hadapan. Jangan biarkan tangan-tangan kotor itu lagi memerintah Negara ini.

Sekian, terima kasih. InsyaAllah kita jumpa lagi dalam siri kedua dengan isu lain pula. Terima kasih. Wassalam.

- Meli - 06.03.2004

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN