Make your own free website on Tripod.com
 

SIRI KEMPEN PILIHAN RAYA KE-11:
Politik PAS [BA] V Politik Umno [BN] – Siri 2

Assamu'alaikum wm.wbt,
Para Pembaca Budiman,

Dalam siri kedua ini saya mengajak saudara-saudara pembaca menilai kembali ucapan pemimpin-pemimpin UMNO kini yang dahulunya adalah pemimpin parti pembangkang. Mereka yang saya maksudkan ialah Tengku Razaleigh Hamzah [Ku Li], bekas Presiden SM46 [berkawan rapat dengan PAS atas nama Perpaduan UMMAH anjuran beliau sendiri] dan ucapan bekas MP Tanjung, Pulau Pinang yang juga bekas Ketua Pembangkang di parlimen, Lim Kit Siang yang membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 di Dewan Rakyat pada 18 Disember 1995.

Ucapan dan perbahasan ini penting untuk kita membuat penilaian kerja buat UMNO selama ini yang menjahanamkan dan merosakkan bangsa Melayu dan Bahasa Melayu di Negara ini. Penilaian yang dibuat melalui kaca mata Ku Li sendiri ketika beliau memimpin parti SM46 dahulu lebih ikhlas memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bahasa Melayu di arena arus perdana mengharungi dunia global, tetapi apabila beliau dan orang-orang kanannya seperti Rais Yatim kembali dan bersekongkol dengan UMNO, mereka telah menjadi sebahagian agen perosak bangsa dan Bahasa Melayu.

Pertama, saya petik balik sebahagian daripada ucapan Ku Li di Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Konvensyen Peneroka Kebangsaan di balai Rakyat Bukit Cekati, Gua Musang, Kelantan pada hari Sabtu 20 Ogos 1994 bersamaan 12 Rabiulawal 1415. Dalam ucapannya yang bertajuk, “ BANGKITLAH ORANG MELAYU “ , beliau menyebut :

“ ……………..selaku tuan rumah dan bagi pihak rakyat di sini, saya ingin mengucapkan selamat datang ke Gua Musang. Walaupun nama tempat ini Gua Musang, saya percaya dah tak banyak lagi musang yang berada di sini. Terutama sekali musang berbulu ayam. Kebanyakan musang-musang tadi lari meninggalkan tempat ini sebaik sahaja parti mereka kalah teruk dalam pilihan raya umum 1990.

Kini, gua ini ialah kubu. Iaitu kubu perjuangan orang Melayu yang mesti kita pertahankan dengan apa cara sekali pun. Bercakap tentang gua dan perjuangan, saya rasa ramai di antara kita pernah mendengar kisah al-Quran yang terkandung dalam surah Al-Kahfi yang bermaksud gua. Kisah ini menceritakan nasib sekumpulan pemuda yang menentang pemimpin yang zalim di zaman dahulu. Mereka menjadi buruan dan terpaksa berselindung di sebuah gua. Kisah ini bukan sahaja menceritakan yang kumpulan pemuda itu selamat, tetapi pemerintah yang zalim itu jatuh juga.

Dalam sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w sendiri, ada dua peristiwa penting yang berkaitan dengan gua. Pertama Nabi kita mula menerima wahyunya dan diangkat menjadi Rasul adalah di Gua Hira’. Kedua, Nabi terselamat daripada buruan musuh yang ingin membunuhnya ketika baginda bersembunyi dalam sebuah gua ketika hendak berhijrah dari Makkah ke Madinah. Kedua-dua peristiwa ini penting sekali kerana sekali lagi gua memainkan peranan yang penting membantu kebenaran menentang kejahatan.

Sepatutnya baginda boleh mendapat apa sahaja yang dihajati daripada Allah, kerana baginda kekasih Allah. Namun, Allah yang Maha Kaya itu tidak memberi segala kemewahan dan kemudahan itu kepada baginda. Di Makkah baginda dihina oleh kaum keluarga dan anak bangsanya sendiri, walaupun baginda dari golongan bangsawan . Baginda dipulau dan diancam kebuluran. Baginda dilontar batu dan diugut untuk dibunuh. Baginda terpaksa berjalan kaki berpuluh-puluh batu untuk berhijrah. Baginda terpaksa bertempur dalam peperangan Badar. Kepimpinan baginda dicabar apabila golongan munafik keluar beramai-ramai meninggalkannya di saat menghadapi peperangan Uhud. Semua pengajaran ini penting untuk kita. Allah tidak memberi jalan singkat kepada kemenangan, sebaliknya ia mesti dilalui dengan kesusahan dan ketabahan.

Kita mesti pertahankan Islam di Negara kita dan kita mesti pertahankan Islam dalam parti kita. Kita mesti pastikan parti kita sebagai parti orang Melayu-Islam 100 peratus. Jangan jadi seperti UMNO(Baru) yang mengaku Melayu, tetapi mengkhianati perjuangan asal Melayu yang tidak boleh dipisahkan dengan Islam. Ini termasuk membuka pintu keahliannya secara besar-besaran kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan Islam, semata-mata gilakan kuasa. Kita jangan jadi seperti pemimpin parti mereka yang sanggup mempersendakan hukum Tuhan, mempertahankan kemungkaran dan memperalatkan agama untuk kepentingan peribadinya.

Tanah Rizab Melayu tidak boleh dibuang tanpa persetujuan Raja. Hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Bahasa Melayu tidak boleh dihapuskan tanpa persetujuan Raja. Semua ini hak orang Melayu dalam perjanjian kemerdekaan yang dilindungi oleh Raja-raja. Ia tidak boleh dibuang melainkan dengan terlebih dahulu melemah dan menghapuskan kuasa Raja-raja kita. Ini yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO baru bagi menghilangkan hak orang Melayu. Kemuncak penghakisan itu ialah pindaan perlembagaan bulan Mei 1994 yang menghapuskan kuasa Raja sama sekali. Sekarang, Raja-raja Melayu hanya menjadi hiasan dan mereka diwajibkan patuh kepada apa jua nasihat orang-orang politik…………………………..”

Kedua, saya petikan sedutan perbahasan Lim Kit Siang di Dewan Rakyat mengenai Rang Undang-undang Pendidikan 1995 yang mana perjuangan DAP akhirnya diterima oleh BN, beliau berkata, “……………………… Sebagai seorang MP yang telah dua kali berdiri di dalam dewan yang mulia ini meminta supaya diluluskan Rang Undang-undang Private Members Bill untuk memansuhkan seksyen 21(2) Akta Pendidikan 1961 dan dalam berbagai-bagai peluang yang lain berdiri mempertahankan pendidikan bahasa ibunda dan menentang sebarang percubaan untuk mengubah ciri-ciri sekolah rendah Cina dan Tamil sama ada melalui undang-undang atau pun langkah-langkah pentadbiran, saya mengalu-alukan pemansuhan seksyen 21(2) Akta Pendidikan 1961 di dalam Rang Undang-undang Pendidikan 1995 yang baru ini.

Dalam tahun-tahun 60an dan awal 70an, DAP dianggap sebagai ekstremis, cauvinis, anti-nasional serta pembangkang yang divisif, negatif, destruktif kerana mencadangkan supaya seksyen 21(2) Akta Pendidikan 1961 dimansuhkan, tetapi kini kerajaan sendiri pula yang mencadangkan seksyen 21(2) dimansuhkan “.

ULASAN:

Saudara pembaca boleh bayangkan apa yang dicakapkan oleh Ku Li hamper 10 tahun lalu. Siapa “ Musang Berbulu Ayam “. Sebenarnya beliaulah dan Rais Yatim serta gengnya yang musang berbulu ayam, bukan UMNO kerana kita tahu bahawa dulu, kini dan selama-lamanya UMNO akan bersifat musang berbulu ayam. Berlagak baik, tetapi di dalam hati Allah yang tahu. Bercakap membela agama, bangsa dan Negara, tetapi perjuangan untuk perut sendiri, rakyat marhaen diketepikan. Mana ada lagi pemimpin UMNO yang ikhlas dalam perjuangan dalam Malaysia ini. Semuanya berjuang untuk mendapatkan projek untuk menjadi jutawan mee segera.

Beliau dan orang-orangnyalah bagaikan gunting dalam lipatan. Menikam Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat, MB Kelantan dari belakang. Mengucar-ngacirkan pentadbiran PAS di Kelantan pada tahun 1996. Menghancurkan Angkatan Perpaduan UMMAH yang beliau sendiri tubuhkan. Kembali ke dalam UMNO dan berpakat untuk menggulingkan kerajaan PAS pada pilihan raya 1999, tetapi Allah SWT tahu, siapa Ku Li dan orang-orangnya. Begitu juga Geng 12 yang cabut lari dari parti Keadilan yang di ketuai oleh Ruslan Kassim kembali ke pangkuan UMNO. Semua manusia ini adalah “ Musang Berbulu Ayam “.

Bijak berbicara tentang agama untuk memikat hati rakyat. Begitulah hipokritnya UMNO. Parti mana yang ikhlas memperjuangkan ISLAM. PAS atau UMNO? Apa yang UMNO buat lebih dari 46 tahun memerintah untuk mendaulatkan Islam dalam ke semua aspek kehidupan masyarakat Muslim di Malaysia. Jawapannya kosong, yang ada hanya memperbanyakkan ‘ syiar ‘ bukan ‘ syariat ‘. Menyekat orang Muslim yang lain untuk melaksanakan ajaran Islam yang sebenar [bukan Islam celup seperti yang dilakukan oleh UMNO] yang terkandung dalam al-Quran dan Al-Hadith.

PAS adalah parti yang memperjuangkan Islam yang sebenar. Orang yang memperjuangkan kebenaran pasti menempuh pelbagai cabaran dan mehnah perjuangan. Ini adalah merupakan satu sunnahtullah yang akan ditempuh sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. mengalaminya seperti mana yang digambarkan oleh beliau dalam ucapan tersebut. Adakah UMNO menempuh segala onak dan duri dalam menegakkan Islam di bumi Malaysia ini?

UMNO menerima layanan yang amat teristimewa dari penjajah Inggeris dan menerima kemerdekaan dengan dulang emas. Tidak seorang pun pemimpinnya yang kenan tangkap dan disumbat ke dalam penjara oleh penjajah Inggeris. Berlainan dengan golongan yang mahu menegakkan Islam dalam sistem pemerintahan di Negara ini. Mereka kena sumbat dalam penjara, keluar masuk penjara adalah mainan saja, kena tahanan di bawah ISA, di buang daerah dan diharamkan pergerakan mereka. Tekanan sebegini diwarisi oleh PAS masa kini. PAS ditekan di segenap penjuru. Dihina, diperlekeh dan disekat dengan pelbagai cara untuk menghalang PAS terus berdakwah mengajak masyarakat kembali kepada Allah dan RasulNya. Dalam masa yang sama, UMNO membiarkan kemungkaran berlaku di hadapan matanya sendiri. Pesta-pesta hiburan digalakkan, judi-judi berlesen dibenarkan, arak dan perzinaan bertambah membiak dalam masyarakat kita hari ini.

Siapakah yang bertindak untuk mematikan tunas Islam dalam kehidupan masyarakat Muslim di Malaysia? Tindakan UMNO menarik balik segala peruntukan per kapita dan menarik keluar guru-guru yang mengajar di Sekolah Agama Rakyat [SAR] dengan tawaran yang istimewa menyebabkan banyak SAR terpaksa ditutup dan pelajar-pelajarnya berselerak mencari pelajaran di tempat lain yang tidak menitikberatkan pelajaran agama. Ini adalah merupakan manifestasi UMNO untuk membunuh roh Islam dalam kegiatan kemasyarakatan dan melunturkan semangat keIslaman dalam jiwa orang-orang Melayu dalam jangka masa panjang.
 

UMNO telah melucutkan kedaulatan Raja-raja Melayu. Ini disebut dalam ucapan beliau itu. Perkara ini juga turut dibangkitkan oleh Rais Yatim semasa beliau memegang jawatan Timbalan Presiden parti SM46 [MELI, Pengkhianatan UMNO Terhadap Orang Melayu, Marhaen : 24.2.2004 – 1.3.2004, Tranungkite.net : 24.2.2004 dan Web Pas Pusat : 26.2.2004] . UMNO di bawah pimpinan mantan PM ke 4 langkah jahat untuk memecahkan dan menghapuskan kuasa raja bermula pada 1983 bilamana perkara 66 Perlembagaan dipinda supaya raja-raja tidak boleh lagi menggunakan budi bicara tidak menandatangani sesuatu rang undang-undang bukan kewangan yang hendak dijadikan undang-undang Negara. Sebelum itu, raja-raja mempunyai kuasa budi bicara tidak menandatangani sebarang rang undang-undang yang difikirkan zalim dan tidak adil terhadap rakyat. Sekarang UMNO boleh menggubal dan meminda apa sahaja rang undang-undang yang dikehendakinya tanpa sebarang sekatan atau halangan.

Simbol ketuanan Melayu telah hancur akibat UMNO membuat pindaan terhadap Perlembagaan perkara-perkara 38 yang berkaitan dengan kedudukan Majlis Raja-raja, perkara 153 berkaitan dengan hak-hak keistimewaan orang Melayu, perkara 159[5] berkaitan dengan sebarang pindaan terhadap kedaulatan dan institusi Raja-raja mestilah terlebih dahulu mendapat perkenan oleh Raja-raja Melayu telah menjadi tidak bernilai lagi, perkara 160 mengenai kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan terakhir perkara 181 berkaitan kedaulatan Raja-raja telah dihapuskan.

Bahasa Melayu telah dipinggirkan. Perkara 152 Perlembagaan menyatakan bahawa bahasa rasmi ialah Bahasa Melayu digunakan untuk semua urusan rasmi peringkat kerajaan persekutuan, negeri dan badan-badan berkanun. Pada akhir Disember 1993, mantan PM ke 4 menyatakan bahawa kabinet telah memberi kebenaran bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar kursus berunsur teknologi di semua universiti dan kolej tempatan.

Dalam ucapan tersebut, beliau ada menyebut dalam mengejar arus pembangunan, UMNO telah bertindak mengambil tanah-tanah rizab Melayu tanpa diganti balik seperti mana yang diperuntukkan perkara 153 Perlembagaan. Melalui Pindaan Kanun Tanah Negara pada tahun 1992, memberi peluang kepada kerajaan-kerajaan negeri mengambil tanah-tanah rizab Melayu dengan alasan untuk pembangunan. Dua perkara besar menyebabkan hak milik tanah rakyat tidak terjamin. Pertama, kerajaan berkuasa mengambil tanah rakyat tanpa halangan dan rakyat tidak berhak mendakwa kerajaan di mana-mana mahkamah. Kedua, tanah rakyat boleh dijual kepada warga asing. Harus diingat sebelum akta ini dipinda, kerajaan tidak sewenang-wenangnya boleh mengambil tanah-tanah ini, tanah-tanah ini hanya boleh diambil untuk kemudahan awam, sekolah dan hospital.

Kerajaan Negeri Kedah merampas tanah sawah 2,000 ekar di Kerpan dan diserahkan kepada Syarikat Benladin Group untuk projek udang harimau. Projek itu gagal dan petani-petani di Kerpan sekarang hilang hak mereka ke atas tanah-tanah sawah tersebut. Di Johor pula UMNO merampas 26,000 ekar tanah dari Tanjung Langsat hingga ke Tanjung Piai, Pontian untuk membina Bandar Baru Piai. Kampung rakyat itu diserahkan kepada Syarikat Kok Brothers dan UEM. Di Melaka, UMNO mengambil tanah rakyat di Kampung Pantai Kundur dan tanah Merah untuk pembinaan Buffer Zone oleh Petronas. Di Terengganu, UMNO menjual tanah orang ramai di Pulau Redang kepada Syarikat Berjaya Group seluas kira-kira 300 ekar dengan harga RM500.00 seekar. Ia dijual pula dengan harga RM70,000.00 seekar.

Sanusi Junid ketika menjadi MB Kedah telah memberi jawapan bertulis terhadap pertanyaan ADUN Sala, Ustaz Azizan Abdul Razak di persidangan DUN bulan Ogos 1996 menyatakan 20,677.89 hektar tanah rizab Melayu telah dijual dan pada tarikh itu kerajaan Kedah belum lagi mengganti tanah yang dijual itu. Di Langkawi pada tahun 1990, 80 penduduk yang tinggal di Pantai Gelang telah diambil tanahnya untuk dirikan Pelangi Beach Resort. Di Selangor seluas 8,299.9 hektar telah hilang statusnya. Di Negri Sembilan seluas 930 hektar telah diambil di Mambau untuk pembangunan.

Akibatnya jumlah keluasan tanah rizab Melayu menurun dengan drastik dalam tempoh hanya tiga dekad dari sejumlah tiga juta hektar pada tahun 1957 mengecil menjadi 1.7 juta hektar pada tahun 1995, iaitu merosot hamper 44% daripada asal bersamaan 1.2% kemerosotan setiap tahun. Manakala jumlah yang digantikan semula mengikut kajian yang dibuat pada tahun 1995 hanya sekitar 34% sahaja. Jika pengambilan ini berterusan tanpa penggantian dibuat dengan alasan pembangunan, maka akan tinggal 14% sahaja pada tahun 2020.

Pengambilan tertinggi tanah rizab Melayu yang tidak diganti berlaku di Kuala Lumpur iaitu daripada 1.067.5 hektar keluasan sebelumnya kepada 787.1 hektar pada tahun 1995. Diikuti Kedah, 820.6 hektar pada tahun 1995 berbanding sebelumnya 964.9 hektar. Selangor memiliki 173,599.16 hektar berbanding sebelumnya sebanyak 181,658.62 hektar. Pulau Pinang pada tahun 1975 memiliki 67.410 ekar atau 34% daripada seluruh tanah yang didaftarkan menurun menjadi 31.815 ekar pada tahun 1985. Kesan pengambilan di Kuala Lumpur lebih dahsyat, iaitu daripada ¼ hartanah di KL ini adalah hak milik Melayu pada tahun 1957 menjadi hanya 5.1 % sahaja pada sekarang sedangkan bangsa lain memiliki 94.9 % hartanah.

Pemimpin-pemimpin UMNO ini khianat terhadap bangsanya sendiri. Pengambilan tanah-tanah ini dibayar pampasan tidak mengikut harga pasaran semasa kerana status tanah ini masih dalam status pertanian belum lagi ditukar status. Sebaik sahaja pengambilan tanah-tanah ini selesai dibuat, maka status tanah-tanah ditukar ke status komersial dan dijual kepada tokoh-tokoh korporat bukan Melayu dengan nilai berjuta ringgit. Mereka menjadi kaya raya sekelip mata, buat untung atas angin. Begitulah cerdiknya pemimpin-pemimpin UMNO.

Dasar Ekonomi Baru [DEB] yang banyak menguntungkan bangsa Melayu telah ditukar kepada Dasar Pembangunan Nasional yang menekankan kepada persaingan untuk mendapat projek, lesen, permit dan sebagainya. Hanya orang-orang Melayu UMNO sahaja yang mendapat faedah kerana mereka berdampingan rapat dengan pemimpin-pemimpin utama Negara. Banyak syarikat-syarikat dan agensi kerajaan yang untung sebelum diswastakan telah mengalami kerugian dan terpaksa kerajaan ambil alih semula seperti MAS, Syarikat Perkapalan Berhad, IWK, STAR, TNB, Renong, DRB-HICOM, RHB, UEM dan sebagainya. Ini disebabkan orang-orang yang diberi peluang ini tidak mempunyai kepakaran hanya pandai bodek pemimpin.

Orang-orang bukan Melayu menjadi bertambah kaya raya kerana mereka pandai dan mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin. Mereka mendapat pelbagai projek. Mereka seperti Ananda Krishnan, Arumugam, Jeffry Cheah, Ting Pek Khiing, Yeoh YTL, Vincen Tan, Lim Goh Tong, Erik Chia, Quek Lian Chan, Loy Hean Heong dan lain-lain lagi. Mana pergi nama-nama Melayu tersohor satu ketika dulu seperti Rashid Hussain, Tajudin Ramli, Halim Saad, Wan Azmi Wan Hamzah, Omar Shah dan lain-lain yang ternama hilang tanpa berkubur dalam arena korporat.

Dalam temu ramah yang sama Dr. Ahmad Fawzi Basri sekali lagi menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu masih lagi jauh ke belakang berbanding dengan orang bukan Melayu. Ini adalah satu kegagalan UMNO dalam memerintah Negara selama 46 tahun. Mohd. Noor Azam dalam BM, 11.3.2001 menyatakan milik bumiputera dalam projek penswastaan kerajaan hanya RM8.57 billion [atau 25.6%] dan bukan bumiputera RM25 billion [atau 75%]. Manakala kontrak yang dapat oleh bumiputera pula berjumlah RM24.48 billion sebanyak 1,401 buah syarikat dari 4,987 buah syarikat, selebihnya adalah syarikat milik bukan bumiputera.

Pada tahun 1963, orang-orang Melayu mengadakan satu kongres membincangkan masalah ekonomi yang mereka hadapi iaitu masalah untuk mendapatkan modal bagi memulakan perniagaan. Hasil dari kongres tersebut lahirlah Bank Bumiputra Malaysia Berhad untuk membantu orang-orang Melayu dalam perniagaan. Profesional Melayu telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan bank ini, tetapi disebabkan perasaan tamak dan haloba telah berlaku skandal BMF yang merugikan orang-orang Melayu dan negara sebanyak RM2.5 billion pada tahun 80an. Dua kali bank ini diselamatkan oleh kerajaan disebabkan salah urus dan pecah amanah, pada tahun 1984 disuntik modal sebanyak RM2.3 billion dan sekali pada tahun 1989 sebanyak RM982 juta. Pada tahun 1997-1998, bank ini sekali ladi menghadapi masalah kerana memberi pinjaman mudah tanpa mengikut prosedur bank sehingga bank ini rugi berjumlah RM6.2 billion. BBMB memberi pinjaman besar kepada Tajudin Ramli [MAS dan Celcom], Halim Saad [Renong dan UEM], Azman Hashim [Arab Malaysia Berhad, Vincen Tan [Berjaya Group], Francis Yeoh [Lion Group] dan KUB. Akhirnya, untuk menyelamatkannya, ia diarah bergabung dengan Bank of Commerce dan kini dikenali sebagai Bumiputra Commerce Bank Berhad.
 

Perbahasan Lim Kit Siang mengenai Rang Undang-undang Pendidikan 1995 menggambarkan kita bahawa kerajaan pimpinan UMNO tunduk dengan kehendak kaum bukan Melayu khususnya kaum Cina dalam bidang pendidikan untuk memansuhkan seksyen 21(2) Akta Pendidikan 1961 yang menjadi mimpi ngeri yang mana di bawah seksyen ini memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan boleh tutup sesebuah sekolah Cina atau Tamil yang tidak ada murid.

Dalam bulan Disember 1995 hingga Januari 1996, Parlimen telah meluluskan 4 akta baru berkenaan dengan pendidikan iaitu Akta Pendidikan 1995, Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti yang dibuat pada bulan Disember 1995 dan dikenali sebagai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1995. Keempat-empat akta pendidikan ini memberi kesan terhadap penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan di universiti-universiti.

Fasal 17 dalam Akta Pendidikan 1995 dan Fasal 41 dalam Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 memberi ruang yang luas kepada universiti dan kolej swasta menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajian masing-masing. Kebanyakan IPTS ini mempunyai program berkembar dengan universiti-universiti luar negeri seperti di Amerika Syarikat , Britain dan Australia . Berapa ramaikah orang Melayu dan bumiputera yang mampu menuntut di IPTS-IPTS ini?

Mengikut statistik tahun 2000 [MM , 2.6.2002, ms: 6], bilangan pelajar bukan bumiputera yang melanjutkan pelajaran ke luar Negara dianggarkan berjumlah 112,000 orang berbanding dengan pelajar bumiputera yang ditaja hanya berjumlah 5,800 orang sahaja. Begitu juga bilangan mereka di kolej-kolej swasta bilangan mereka menjangkau 170,000 orang dan lebih 22,000 di universiti swasta.

Di Kolej Tunku Abdul Rahman [dan kini sudah dinaikkan taraf sebagai universiti] bilangan pelajar bukan bumiputera menghampiri 15,000 orang, manakala di peringkat ijazah di universiti awam pula mereka mencecah 80,000 orang. Jika angka-angka ini dicampurkan, bilangan pelajar bukan bumiputera yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi ialah seramai 399,000 orang berbanding jumlah keseluruhan enrolmen pelajar ke institusi pengajian tinggi seramai 753,000 orang.

Amat jelas bilangan pelajar bukan bumiputera lebih tinggi berbanding pelajar bumiputera, walaupun jumlah penduduk bumiputera pada tahun 2000 ialah 65.1% berbanding cina 26.0% dan India 7.7%. MCA umpamanya sangat mengambil berat betapa pentingnya pelajaran di kalangan masyarakat Cina. Mantan Presiden MCA, Dr. Ling Liong Sik pernah melafazkan : “ Pendidikan adalah masa depan kita dan ia adalah segala-segalanya “. Beliau berucap demikian dalam satu majlis menyerahkan derma untuk sebuah kolej swasta bernama New Era College. MCA terlibat khusus dalam mewujudkan beberapa institusi pengajian seperti New Era College, Southern College, Kolej Jayadiri, KTAR dan Projek Langkawi.

Kolej Tunku Abdul Rahman [kini bertaraf universiti] yang ditubuhkan pada tahun 1969 mengeluarkan beribu profesional dalam pelbagai bidang. KTAR telah mengembangkan lagi beberapa buah kampus cawangannya di Kampar, Pulau Pinang, Segamat dan Perak. Betapa seriusnya MCA terhadap pendidikan boleh dilihat melalui sumbangan yang diterima dari anggota-anggotanya. Pada tahun 1997, Perhubungan MCA Pahang berjaya mengumpul RM10,888,888.88 hanya dalam satu majlis makan malam. Untuk membiayai pembinaan kampus cawangan yang keempat di Kampar, seorang YB bernama Hew See Tong telah menderma RM5 juta di samping menderma sebuah tapak di Bandar Baru Kampar seluas 20 hektar.

Kalau dikaji senarai mereka yang menerima faedah daripada projek-projek kerajaan, pembahagian saham, lesen, permit dan sebagainya yang lebih 90 peratusnya ialah Melayu dan pastinya 99 peratus adalah pemimpin-pemimpin UMNO. Sewajarnya kita memiliki lebih dari MCA miliki.

Kewujudan IPTA-IPTA sudah dikira sebagai agenda UMNO dan dianggap telah selesai dalam mengharungi era dunia ITC. Agenda itu dianggap sebagai agenda kerajaan. Amat malang , UMNO tidak tahu membezakan atau memisahkan apakah itu kerajaan dan apakah itu UMNO.

Mulai tahun 2002, kemasukan ke ITPA adalah berdasarkan kepada sistem kuota dan meritokrasi dan mulai tahun 2003 juga ruang 10% telah diberikan kepada bukan bumiputera untuk memasuki MRSM dan program matrikulasi, Dalam pada itu, akibat perbezaan politik dua MRSM di Terengganu telah ditutup. Kuota pengambilan pelajar bukan bumiputera di lima buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mulai bulan depan[Februari 2004] akan dinaikkan daripada 10 kepada 30 peratus. Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz berkata, lima MRSM yang terbabit dalam pengambilan pelajar bukan bumiputera itu ialah di Pontian, Muar, Kuala Kubu Baru, Kulim dan Kuala Lipis. Menurut beliau, tindakan menambah kuota 30 peratus pelajar bukan bumiputera di lima daripada 17 buah MRSM di negara ini berikutan kebimbangan ibu bapa kaum terbabit jika bilangannya hanya 10 peratus sahaja. ``Dan pengambilan pelajar bukan bumiputera di MRSM ini tidak hanya kepada lulusan daripada aliran sekolah kebangsaan tetapi juga murid dari aliran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina,'' [BH, 6.1 2004].

Kesimpulannya, saya merayu kepada seluruh rakyat di dalam Negara ini terutama orang-orang Melayu jangan sekali-kali mempercayai pemimpin-pemimpin UMNO yang pandai berlakon menunjuk baik kononnya untuk membela nasib orang Melayu.

Nasib orang Melayu, pi mai pi mai, dok tang tu juga. Jadi pada pilihan raya kali ini, buatlah pemilihan yang tepat. Tumbangkan UMNO ganti dengan PAS, semoga semua kita mendapat kerahmatan dari Allah SWT.

Sekian, terima kasih. InsyaAllah kita akan bertemu dalam siri ke 3 dengan isu Islam Pas V Islam UMNO. Wassalam.

- Meli - 12.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN