Make your own free website on Tripod.com
 

SIRI KEMPEN PILIHAN RAYA KE-11:
Politik PAS [BA] V Politik Umno [BN] Siri 4
Menyorot Kembali Pemerintahan Dr. Mahathir Mohamad Selama 22 Tahun


Assamu'alaikum wm.wbt,
Para Pembaca Budiman,

Kita hanya ada dua hari lagi untuk membuang undi dalam pilihan raya ke-11 pada hari Ahad, 21.3.2004. Dalam tempoh ini perlu bagi semua pengundi yang berdaftar yang layak mengundi seramai 10.3 juta memikirkan kembali kerja buat UMNO selama di bawah pemerintahan Mahathir.
 
Mahathir telah meninggalkan kuasa yang dipegangnya selama 22 tahun. Pada petang 31.10.2003, jam 3.30 petang di Istana Negara, Abdullah Ahmad Badawi [Pak Lah] telah mengangkat sumpah jawatan dan ditabalkan sebagai PM ke 5.

Kita sebagai rakyat Malaysia menyambut baik pengambilalihan kuasa tersebut secara teratur sebagaimana yang telah berlaku pada masa- masa yang lepas. Pak Lah menghadapi masalah berat untuk ditanganinya secara bijaksana. Masalah pengurusan dan pentadbiran Negara yang tempang, keadaan ekonomi yang tidak stabil, kenaikan kos barangan keperluan harian senantiasa meningkat, peratus pengangguran yang tinggi di kalangan lepasan universiti, hubungan antarabangsa, memperbaiki imej lebih meyakinkan, menghapuskan bayang-bayang Mahathir dalam pentadbiran negara dan sebagainya.

Mahathir demi mengekalkan kuasanya banyak kerosakan yang telah berlaku dalam instrumen pentadbiran negara. Dalam pentadbiran sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, tiga cabang utama telah rosak teruk akibat perbuatan mahu terus berkuasa, iaitu Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman. Setakat ini, selama lebih 4 bulan Pak lah menjadi PM ke 5, tiada tanda-tanda yang menunjukkan yang beliau serius untuk memperbaiki instrumen ini sebagaimana yang beliau telah memberi jaminan di parlimen pada 3.11.2003 ketika ucapan terima kasih kepada matan PM ke 4, malah dapat kita lihat instrumen ini terus digunakan oleh Pak Lah semakin hebat dari Mahathir sendiri bagi kepentingan politik jangka pendeknya.

Pak Lah tidak mengambil apa-apa tindakan untuk membaik pulih tiga institusi yang rosak teruk akibat perbuatan Mahathir gila kuasa. Tiga institusi ini amat penting dalam sistem pentadbiran sebuah negara demokrasi yang kita amalkan ini. Institusi Legislatif [Perundangan iaitu Parlimen] merupakan institusi yang tertinggi di antara dua institusi lainnya, tugas institusi ini adalah untuk menggubal dan meminda undang-undang yang dibawa kepadanya oleh pihak Eksekutif dan tidak boleh mencampuri urusan institusi-institusi lain [Eksekutif dan Kehakiman].

Begitu juga institusi Eksekutif merupakan badan melaksanakan dasar- dasar yang digubal dan diluluskan oleh di Parlimen dan tidak boleh mencampuri urusan institusi lain [Perundangan dan Kehakiman]. Ini bermakna setiap dasar atau undang-undang yang hendak dilaksanakan mesti mendapat kelulusan institusi tertinggi [Parlimen] negara ini.

Sama ada ia hendak diluluskan atau tidak dasar atau undang-undang yang dibentangkan itu bergantung kepada kelulusan kedua-dua dewan yang terlibat, iaitu dewan rakyat dan dewan negara setelah perbincangan dan perdebatan dilangsungkan secara demokratik.

Pihak Eksekutif tidak ada hak untuk campur tangan, tetapi sebaliknya telah berlaku dengan majoriti 2/3 yang UMNO/BN miliki telah menjadikan kedua-dua dewan ini sebagai "rubber stamp".

Manakala institusi Kehakiman pula berperanan sebagai mentafsir dasar dan undang-undang dan mengesahkan sama ada pelaksanaan dasar atau undang-undang yang diluluskan itu dilaksanakan mengikut peraturan atau kriteria yang ditetapkan bagi menjamin keadilan kepada semua lapisan rakyat di negara ini. Pengasingan kuasa ini jelas ditetapkan oleh Perlembagaan bab 3, bab 4 dan Bahagian ix perkara 121.

Dalam era Mahathir, beliau mencampuri semua urusan ketiga-tiga institusi ini. Semua institusi ini tunduk dengan kehendak Mahathir. Tindakan Mahathir ini seperti pemerintahan kesultanan Melayu dahulu kala di mana kedudukan sultan-sultan ketika itu tidak boleh dicabar. Sultan yang memerintah mempunyai kuasa mutlak. Kuasa Eksekutif, legislatif [perundangan] dan kehakiman berada dalam genggaman sultan. Sultan tidak berkongsi kuasa dengan sesiapa. Sultan mempunyai kedaulatan yang tidak berani dipertikaikan oleh sesiapa. Kesetiaan rakyat terhadap sistem monarki mutlak ini tidak berbelah bagi. Hitam kata sultan, hitamlah kata rakyat. Putih kata baginda, putihlah. Perintah sultan tidak pernah dibantah atau dipersoalkan seperti yang dijelaskan dalam peristiwa penghukuman ke atas Hang Tuan akibat perbuatan pembesar-pembesar negara ketika itu.

Mahathir dari pihak institusi Eksekutif mencampuri bidang tugas pihak lain khususnya jentera-jentera kerajaan dalam perkhidmatan awam seperti yang ditetapkan di Bahagian x perkara 132 Perlembagaan. Pegawai-pegawai awam, Pasukan Polis Di Raja Malaysia, bangunan- bangunan milik kerajaan, media massa khususnya RTM, alat-alat dan mesin-mesin kepunyaan kerajaan seperti kenderaan-kenderaan yang dimiliki oleh Kementerian/Jabatan/Agensi kerajaan telah digunakan secara meluas tanpa segan silu menjadi harta milik UMNO bagi mengukuhkan kedudukan beliau dan UMNO.

Contoh terbaru yang hangat dibincangkan ialah kisah SPR sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan dan terletak di bawah Yang DiPertuan Agong telah digunakan oleh UMNO bagi membantu UMNO memenangi pilihan raya ke-11 nanti. Tidak perlu bagi saya untuk mengulas lebih lanjut bagaimana SPR telah bertindak membantu UMNO untuk mengekalkan kuasanya kerana perkara telah banyak diulas dan dibincangkan.

Saya hanya sekadar memetik luahan rasa Pengerusi SPR Abdul Rashid Abdul Rahman yang telah ditemu bual oleh media sebagai renungan dan bagi merangka strategi untuk menyertai pilihan raya di Malaysia yang kelihatan tidak bebas ini. Di antaranya beliau menyebut beliau tidak bebas bekerja kerana ada tekanan dari pemerintah [kerajaan UMNO/BN] dan tangannya terasa seperti diikat di belakang yang menyukarkannya menjalankan tugas seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Lagi beliau berkata toleransi [keterbukaan] SPR bergantung kepada toleransi parti memerintah dan pada 30.9.2003 dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua media beliau menyarankan agar pemberitaan yang hendak dilakukan terutama dalam kempen pilihan raya biarlah seimbang di antara parti pemerintah dengan parti pembangkang.
 
Wan Ahmad Wan Omar, Setiausaha SPR lebih biadab dan tidak bertanggungjawab apabila beliau menyindir pembangkang berhubung isu pengambilan ahli Puteri UMNO sebagai Kerani Sambilan supaya jangan menjaga tepi kain orang dan lebih baik tumpukan perhatian bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Kita ingin memberi amaran dan cabaran kepada Wan Ahmad sebagai kakitangan kerajaan yang bertugas di SPR yang merupakan sebuah badan bebas, kalau beliau berminat mempertahankan kedudukan UMNO, baiklah beliau meletakkan jawatan dan bergiat aktif dalam politik. Wan Ahmad tidak boleh berlindung di sebalik jawatan bagi membantu UMNO mengekalkan kuasa. Sila turun ke padang. Jangan jadi barua UMNO sepanjang masa.
 
Kita perlu merakamkan ucapan penghargaan dan junjung kasih kepada Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu yang begitu prihatin terhadap perkembangan politik semasa dengan mengeluarkan kenyataan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang Duli-Duli merasa dukacita di atas peranan yang dimainkan oleh SPR dan Peguam Negara yang cuai dalam menjalankan tugas. Terasalah pedasnya. Malulah sedikit pada diri sendiri yang angkuh dan sombong dengan sedikit anugerah yang diberi oleh Allah.

Lain-lain penyalahgunaan jentera-jentera kerajaan yang lain tidak perlu saya ulas lanjut kerana kita semua sudah sedia maklum. Kerja kita sekarang ialah bagaimana kita dapat merangka strategi supaya UMNO dapat menghentikan perkara yang mencemarkan ini dari terus berlaku dan menjadi budaya politik UMNO. Ini menjadi cabaran kepada Pak Lah sama ada beliau akan terus menggunakan jentera-jentera kenderaan dalam mengukuhkan kedudukannya atau tidak, tetapi ia tetap menjadi masalah kepadanya bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan di bawah pimpinannya nanti.

Gambaran rakyat pada umumnya terhadap era pemerintahan Pak Lah juga turut menjadi masalah kepada beliau, yang mana Pak Lah akan terus melaksanakan pemerintahan ala diktator atau kuku besi seperti mana yang dilakukan oleh Mahathir. Semacamlah gambaran rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan untuk membasmi rasuah. Walaupun bersuara lantang dan keras menentang perlakuan rasuah, tetapi rasuah tetap berkembang biak. Berpuluh laporan rasuah dibuat terhadap pemimpin UMNO/BN, tetapi satu pun tidak disiasat, sebaliknya ikan bilis yang kena, ikan jerung terlepas.

Mahathir menjadi diktator melalui undang-undang yang digubal dan dipinda berkat UMNO/BN memiliki 2/3 majoriti di Parlimen. Saya akan bincang beberapa contoh [sebenarnya banyak] bagaimana perkara ini terjadi yang menyebabkan beliau dapat berkuasa begitu lama selama 22 tahun tanpa ada orang lain boleh menyentuhnya.

Mengikut Sulaiman Abdullah bekas Presiden Peguam Malaysia dan juga merupakan salah seorang peguambela Anwar di satu forum di Petaling Jaya pada 22.5.2001, beliau berkata Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak 42 kali semenjak negara mencapai kemerdekaan tahun 1957 sehingga kini terutama perkara 121 bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan Rendah bagi membolehkan Peguam Negara membuat pendakwaan di mana- mana mahkamah yang menjadi pilihannya.

Di antara banyak pindaan terhadap akta dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA] yang paling banyak mengalami pindaan. Semenjak merdeka ISA mengalami 20 kali pindaan lain-lain akta tidak seteruk begitu. Pindaan-pindaan ini dibuat mengikut suasana politik semasa yang boleh menggugat dan mengancam kekuasaan UMNO. Mengikut ISA sesiapa sahaja boleh ditahan tanpa memberi sebab kenapa ianya perlu ditahan, memadai hanya memberi alasan ianya boleh menggugat keselamatan negara, maka ia boleh ditahan 60 hari untuk siasatan, kalau tidak selesai boleh dihantar ke Kemunting bagi tempoh 2 tahun [seperti kes Reformis 6 yang baru dibebaskan pada bulan Jun 2003 yang lalu] kalau tidak selesai juga boleh dilanjutkan lagi 2 tahun [seperti 9 orang ahli KMM] .

ISA diwujudkan pada 22.6.1960 bagi menggantikan Akta Darurat 20.6.1948 oleh seorang yang bekerja sebagai legal draftman yang bernama Prof. Hugh Hickling. Dalam temuramah dengan The Star pada 17.4.2001[dalam usia 81 tahun], beliau berkata walaupun ISA masih diperlukan, tetapi suatu judicial review perlu diadakan. Katanya lagi ISA digubal untuk membanteras jenayah terancang yang dilakukan oleh komunis pada waktu darurat [1948 - 1960] ......the act was never aimed at politician.

Pada awal perlaksanaan akta ini banyak aktivis-aktivis dan penyokong komunis ditahan yang terdiri majoritinya kaum China. Dalam era 60an dan 70an tokoh-tokoh pembangkang dan ketua-ketua union yang banyak melibatkan kaum Cina juga, mulai era 80an ia meliputi semua bangsa dan agama dan termasuk pelajar yang sedang belajar di universiti.

Pada tahu 1988 ia dipinda sek. 8B, 8C dan 8D iaitu perintah penahanan seseorang tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah [tidak boleh review of court] kecuali aturcara atau syarat penahan tersebut tidak mengikut Perlembagaan. Pindaan ini timbul ekoran penahanan Lim Kiat Siang lebih daripada 60 hari yang dibenarkan [beliau ditahan selama 63 hari disebabkan kesilapan teknikal], mahkamah menangguhkan kes ini dengan memberi alasan pilihan raya dan afidavit pendakwaan belum siap.

Semasa penangguhan ini Mahathir membuat pindaan di Parlimen sek.8A dan 8D dan pada 14.7.1988 ianya diwartakan. Pada 15.7.1988 jam 12.01 minit pagi pindaan ini berkuat kuasa dan keesokan harinya mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk judicial review dan Lim Kiat Siang kalah.

Lihat pula kes Karpal Singh ketika itu MP Jelutung. Beliau ditangkap pada tahun 1987 dalam Operasi Lalang dan beliau menghadapi tuduhan berhimpun pada satu tempat dan dalam rayuan harbeas carpousnya, beliau dapat buktikan di hadapan Hakim Bay Siew Chin di Mahkamah Tinggi Ipoh yang beliau pada masa yang disebutkan itu, beliau ada di tempat lain dan mahkamah bebaskan beliau. Dengan serta merta Mahathir membuat pindaan melalui Parlimen yang pindaan itu berbunyi "semakan kehakiman tidak boleh dibuat untuk mencabar kesahihan atau tidak sah" dan tarikhnya dikebelakangkan. Kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan akhirnya Karpal kena di hantar ke Kemunting. Begitulah liciknya Mahathir untuk mempertahankan kuasanya digunakan akta ini semau-maunya.

Sukacita juga saya memetik kata-kata Abdullah Ahmad [Pengerusi NSTB] semasa beliau ditahan pada Januari 1976 bersama-sama dengan Samad Ismail, Abdullah Majid dan Kassim Ahmad dituduh sebagai pro komunis dan agen komunis. Beliau berkata dia dianiaya oleh beberapa kerat pemimpin UMNO ketika itu yang gila kuasa.

Beliau buat pengakuan di TV [dijanjikan untuk dibebaskan] draf ucapan itu disediakan oleh SB [drafnya ditolak] akhirnya pengakuan beliau di TV itu dijadikan alasan untuk terus menahannya selama dua tahun. Beliau kemudiannya menentang dan menarik balik pengakuan tersebut atas alasan beliau dipaksa kerana beliau dijanjikan untuk dibebaskan segera dan kerana kedegilannya hukuman ke atasnya ditambah dua tahun lagi. Banyak buku-buku yang diterbitkan menceritakan kezaliman akta ini seperti siri buku Shaari Sungib, Dr. Hussein Ali Dua Wajah dan lain-lain lagi yang ada di pasaran.

Kita juga mengharapkan Pak Lah mengembalikan semula status kedudukan Raja-Raja Melayu sebelum pindaan Perlembagaan dibuat pada tahun 1983 dan 1993. Institusi Raja ini musnah dan hilang taringnya apabila Parlimen meluluskan pindaan tersebut. Sebagai orang Melayu tulen, Pak Lah perlu bertindak mengembalikan balik Kedudukan Istimewa Raja seperti yang diperuntukkan di Perlembagaan perkara 32 yang dipinda bagi menghapuskan imuniti Raja-raja. Perkara 38(4) dan perkara 38(5) juga perlu dikembalikan dalam bentuk asal.

Bagi orang Melayu, Rajalah tempat berteduh dan berlindung. Apabila perkara ini ditarik balik, apa lagi yang ada pada orang Melayu untuk mencari tempat berpegang yang menjadi benteng terakhir mempertahankan hak-hak orang Melayu semakin hari semakin lenyap dalam suasana UMNO gilakan pembangunan gunakan tanah rizab Melayu yang tidak diganti, buang identiti Melayu dalam kad pengenalan, penubuhan banyak institusi-institusi pendidikan swasta bagi meramaikan orang bukan Melayu menjadi maju, memperkenalkan meritokrasi bagi mengurangkan orang Melayu melayakkan masuk ke IPTA- IPTA khususnya dalam bidang sains dan teknologi, memperkenalkan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik bagi memundurkan pelajar- pelajar Melayu dari luar bandar, menghapuskan pemberian biasiswa dan menggantikan dengan pinjaman supaya apabila pelajar-pelajar Melayu ini tamat belajar dan sudah bekerja terus menjadi miskin kerana duit gaji yang diterima tidak berkecukupan untuk membiayai keluarga dan membiarkan dan membuka peluang 10% pelajar bukan melayukan memasuki program matrikulasi dan MRSM supaya orang melayukan tidak dapat bersaing dengan bukan melayukan. ukan.

Kita tahu ada setengah-tengah Sultan mencampuri urusan pentadbiran sesebuah negeri dan melakukan beberapa perkara yang melanggar undang- undang, tetapi tidak bermakna kita menarik balik hak keistimewaan yang mereka patut dapat seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Kita faham bahawa ini adalah strategi Mahathir untuk membolot kuasa dan menjadi diktator melalui undang-undang. Benci Mahathir pada Raja- raja Melayu boleh dilihat seperti yang digambarkan oleh Zainuddin Maidin dalam buku Di Sebalik Tabir [1994, 77-104]. Dia menunggu masa yang sesuai untuk bertindak, maka pada 10 Ogos 1983 apabila Yang DiPertuan Agong Ketika itu Sultan Ahmad Shah enggan memperkenankan satu rang undang-undang belanjawan yang diluluskan oleh Parlimen pada 3 Ogos 1983. Keengganan Seri Paduka itu kerana ada dua pindaan yang melibatkan kedudukan beliau.

Pertama, menetapkan tempoh 15 hari bagi Seri Paduka memberi perkenan setiap rang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen. Jika sekiranya Seri Paduka tidak memberi perkenan dalam tempoh tersebut secara automatik menjadi undang-undang. Sebelum pindaan ini dicadangkan tidak ada had tempoh tertentu ditetapkan baik di peringkat negeri atau di peringkat Persekutuan. Kedua mengenai kuasa mengisytiharkan darurat. Dalam Perlembagaan, kuasa mengisytiharkan darurat terletak di tangan Yang Dipertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, tetapi cadangan pindaan itu pindah ke tangan Perdana Menteri.

Maka tercetuslah perhimpunan rakyat di seluruh negara yang lebih dikenali sebagai Krisis Perlembagaan akibat keengganan Yang DiPertuan Agong memperkenankan pindaan tersebut yang kononnya bagi mengekalkan dan menegakkan kuasa Eksekutif pilihan rakyat. Rang undang-undang itu akhirnya ditandatangani oleh Timbalan Yang DiPertuan Agong setelah dibuat pindaan tempoh perkenan dipanjangkan dari 15 hari ke 30 hari.

Mahathir tidak berpuas hati dan menaruh dendam terhadap Raja-raja terutamanya Sultan Pahang dan Johor dan menunggu peluang untuk bertindak. Pucuk dicita ulam mendatang apabila tercetus satu peristiwa Sultan Johor memukul Jurulatih Hoki Maktab Sultan Abu Bakar dan pada 10 Disember 1993, Timbalan Perdana Menteri ketika itu Ghafar Baba telah membuat usul khas di Parlimen memberitahu dewan bahawa seorang rakyat Malaysia bernama Douglas Gomez telah dicederakan di Istana Bukit Serene oleh Sultan Johor pada 30 November 1992.

Perbincangan mengenai usul itu telah mendedahkan pelbagai perilaku buruk Sultan Johor yang selama ini menjadi rahsia umum dan tidak pernah tersiar di mana-mana akhbar dan media massa. 12 orang wakil UMNO dari setiap negeri termasuk wakil Pergerakan Pemuda dan wanita membahaskan usul itu pada 1 Disember 1993. Wakil PAS dan PMS46 menyuarakan bantahan secara lebih beradab dan bertatasusila dan menyokong usul memansuhkan perkara 181(2) bagi membuang kekebalan Raja-raja dan Raja-raja boleh didakwa di mahkamah khas.

Anggota parlimen Arau, Shahidan Kassim menjadi juara bila mendedahkan keburukan keluarga DiRaja Johor yang bertanggungjawab melakukan 23 kes penganiayaan ke atas termasuk memukul, mencedera dan merogol semenjak dari tahun 1972. Semua Sultan didedahkan keburukan mereka di tengah-tengah rakyat jelata, kecuali Sultan Kedah. Ketika itu moral Sultan-sultan terhina di mata rakyat.

Imej Sultan Kelantan tercemar teruk akibat perbuatan Annuar Musa dan Raja Katak Ibrahim Ali. Pada 29.4.1993 upacara melantik Tengku Ibrahim Indra Petra telah dilangsungkan di Ketereh anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan [Annuar Musa Pengerusinya] bagi menggantikan Sultan Ismail Petra yang ada sekarang, yang pada pemikiran pada waktu itu Sultan Ismail bukan waris yang sah. Hai, Annuar dan Ibrahim apa jadi sekarang.

Program Semarak di Lubok Jong, Pasir Mas, Mohamad Yakob menghina Sultan. Pada 23.4.1993 UMNO membuat perarakan ke istana menyerah memorandum mendesak Sultan turun takhta dan kes melarikan kereta Lamborghini meriuhkan seluruh negara.

Pak Lah terpaksa mengakui era pemerintahannya di bawah langit terbuka. Maklumat masuk dan keluar seumpama arus sungai yang kuat yang turun dari bukit. Walau bagaimana cara sekali pun membuat benteng, arus yang turun dengan kuat itu akan membawa benteng bersama-samanya, air akan melimpah keluar.
 
Era Pak Lah adalah era ICT dunia global. Maklumat akan diperolehi dari pelbagai sumber. Rakyat semakin celik dan berpendidikan. Ini bukan zaman 60an atau 70an yang mana rakyat akan menelan bulat-bulat apa jua maklumat yang disalurkan oleh kerajaan. Era Mahathir boleh bertahan dengan cara penyampaian maklumat seperti ini dan dari sumber kedua dihalang dan disekat. Rakyat terus bergerak ke hadapan menghadapi cabaran globalisasi dan IT.

Rakyat Malaysia menuntut hak kebebasan mendapat maklumat berasaskan budaya kita dan ajaran Islam, bukan kebebasan tanpa had seperti yang berlaku di negara-negara barat. Mahathir menggunakan kaedah dibenarkan oleh undang-undang untuk menyekat penyaluran maklumat pandangan kedua ini bagi meneruskan pemerintahan ala diktator. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dibentangkan di Parlimen pada 3.12.1987 selepas 35 hari Operasi Lalang yang dicetuskan oleh UMNO dan MCA. Berikutan itu The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan diharamkan.

Akta Polis juga turut dipinda pada 4.12.1987 bagi mengekang pergerakan yang anti kerajaan yang kononnya boleh memudaratkan keselamatan negara. Akta Hasutan 1948 juga dipinda menyebabkan Lim Guan Eng terhempap ke penjara kerana mempertikaikan keputusan mahkamah dalam kes Rahim Tamby Chik yang sekarang ini berangan-angan untuk menjadi jaguh pemimpin pemuda Islam Antarabangsa. Tolong cermin muka dulu.

Sistem kehakiman yang menjadi nadi dalam pemerintahan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran telah rosak teruk akibat angkara Mahathir dan menghakis keyakinan terhadapnya. Usaha pemulihan ini menjadikan Pak Lah merasa amat tertekan kerana pemulihannya memakan masa yang lama untuk meyakinkan balik rakyat terhadap peranan kehakiman membela keadilan dan mencari kebenaran dan menentang ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat.

Di era Mahathir memerintah campur tangan secara berleluasa pihak Eksekutif ke atas Institusi Kehakiman secara berleluasa telah menyebabkan institusi ini tidak dihormati oleh rakyat lagi. Perkara ini tidak pernah berlaku di waktu Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak dan Hussain Onn memerintah Malaysia

Mahathir mula memandang serong terhadap institusi ini ketika Salleh Abas menjadi Ketua Hakim Negara menggantikan Sultan Azlan Shah [Sultan Perak sekarang]. Salleh mentafsir undang-undang mengikut peraturan yang ditetapkan. Kadang-kadang keputusan yang dibuatnya menyenangkan hati kerajaan dan kadang-kadang menimbulkan kemarahan pihak kerajaan. Contohnya kes John Berthelson, wartawan Asian Wall Street Journal yang mana keputusan yang dibuat oleh Salleh menimbulkan kemarahan Mahathir.

Selepas tarikh tersebut, Mahathir mula menyindir dan menyerang Hakim- hakim, misalnya ketika beliau membentangkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1987, beliau berkata "undang-undang ini dipinda kerana kerajaan yang mewakili rakyat berpendapat amatlah bahaya jika pentadbiran negara ditafsirkan mengikut budicara dua tiga orang sahaja ".

Sikap Salleh pula dalam membela Hakim-hakim pula berkata, " pentafsiran merupakan bahagian terpenting dalam mana-mana undang- undang dan oleh itu para Hakim mestilah diberi kepercayaan".

Mulalah berlaku pertembungan terbuka di antara Mahathir dengan Institusi Kehakiman, khususnya dengan Salleh Abas. Mahathir menunggu waktu yang sesuai untuk memecat Salleh. Waktu yang tunggu-tunggu pun tiba, apabila kes pengharaman UMNO yang berlaku pada 4.2.1988 oleh Hakim Harun Hashim akibat perebutan jawatan di antara Mahathir & Ghafar V Ku Li & Musa pada 24.4.1987.

Dalam penghakiman tersebut, Harun menggunakan peruntukan Akta Pertubuhan seksyen 12 (1) dan (3) yang mengatakan mana-mana cawangan yang tidak berdaftar, maka pertubuhan itu dianggap tidak sah atau haram. Di samping itu, beliau menyarankan agar Mahathir menggunakan seksyen 70 yang boleh dikecualikan dengan kuasa menteri [ketika itu Mahathir ialah Menteri Dalam Negeri], tetapi Mahathir tidak menggunakan kuasa ini kerana beliau ada muslihat sendiri dan kita dapat menyaksikan sendiri peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas itu.

Pada 17.3.1988 satu pindaan rang undang-undang perlembagaan mengenai kehakiman telah dipinda dan dalam ucapan pembentangan tersebut Mahathir berkata " kehakiman sepatutnya menumpukan perhatian kepada keadilan dan tidak memihak kepada sesiapa dan tidak terbabit dalam politik".

Apabila kumpulan 11 membawa kes ini ke Mahkamah Agong yang mana salah seorang Hakim yang akan mendengar kes itu ialah Salleh. Ini mengecutkan perut Mahathir dan beliau terpaksa mencari jalan untuk membersarakan Salleh secara terhormat.

Salleh dipanggil menghadap Mahathir pada 27.5.1988, ada bersama beliau ketika itu ialah Ghafar Baba dan Salahuddin Mohamad [KSN] menyuruh Salleh bercuti untuk bersara awal. Pada 28.5.1988 beliau menyerahkan surat permohonan bersara awal, tetapi apabila beliau menerima surat bertarikh 26.5.1988 memberitahu beliau akan digantung jawatannya, pada 29.5.1988 beliau menarik balik surat tersebut dan pada 31.5.1988 beliau digantung dari jawatannya.

Oleh itu, Mahathir terpaksa mencari jalan lain untuk memberhentikan Salleh mengikut aturan Perlembagaan iaitu dengan menubuhkan sebuah tribunal. Salleh dituduh dengan 5 salah laku dan akhirnya tribunal mendapati beliau bersalah dan dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara. Perkara ini merupakan campur tangan secara langsung Mahathir.
Bagi memastikan Salleh dipecat beliau melantik Hamid Omar pemangku Ketua Hakim Negara dan melantik Hakim-hakim yang lebih rendah kedudukannya dari Salleh dan Hamid bertindak sebagai Pengerusi pada tribunal bagi memastikan rancangan ini berjaya dan pada prinsip undang-undang Hamid tidak layak kerana beliau mempunyai kepentingan diri dalam kes ini. Dan akhirnya mengikut Perlembagaan perkara 125(3) pada 8.8.1988 Salleh dipecat melalui sepucuk surat bertarikh 6.8.1988. Inilah merupakan sejarah seorang Ketua Hakim dipecat dan Mahathir mengukir namanya di situ.

Kes Hamid Omar yang ketika itu Ketua Hakim Negara telah melakukan banyak salah laku seperti mana yang dilaporkan oleh MP Bukit Bintang Wee Choo Keong seperti melibatkan diri dalam perniagaan Syarikat Seri Azha Sdn Bhd, kekayaan melebihi dari kelayakan, menjual kereta Mercedes Benz 280SE No. plat WBD 1 kepada Presiden/ Chief Executive MBF Loy Hean Hong dan pertemuan dengan Loy pada pagi [10.00pagi] di Supreme Court yang mana kes Loy masih lagi berjalan melawan MP Bukit Bintang. Malangnya tidak sebarang tindakan diambil terhadap Hamid, lebih melucukan lagi di awal perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara beliau mencadangkan Pindaan Perlembagaan 1994 berkaitan dengan kod etika Hakim-hakim, tetapi beliau sendiri melanggar kod etika yang beliau sendiri cadangkan itu.
 
Begitu juga ketika Eusoff Chin menjadi Ketua Hakim Negara melanggar kod etika ini seperti menurut perintah pihak eksekutif khususnya Mahathir agar semua kes yang bersangkutan dengan kerajaan [UMNO] supaya memihak kepada kerajaan. Umpamanya kes pengundi hantu di Likas yang mana Hakim Mohd. Kamil Awang menyebut orang atas {Eusoff Chin] menyuruh beliau membuang kes itu. Laporan polis dibuat, tetapi tidak ada siasatan dibuat. Mengikut Dr. Hussain Ali menjelaskan kemungkinan juga Eusoff Chin menyuruh Hakim Augustine Paul menolak petisyen yang dibuat oleh Dr. Jayakumar di Sungai Siput, Perak.

Satu peristiwa yang paling mencemarkan imej institusi ini ialah peristiwa percutian Eusoff Chin bersama keluarga, Mokhtar Abdullah, V.K. Lingam bersama keluarga dan Vincent Tan di Itali pada 10 hingga 22.12.1994. Berita percutian ini disiarkan oleh akhbar Asian Wall Street Journal [AWSJ] oleh Raphael Pura. Percutian ini dianggap oleh akhbar itu sebagai percutian memilih hakim. Perlu diingatkan bahawa ketika itu Vincent Tan menyaman MGG Pillai yang menulis satu artikel yang bertajuk "Malaysian Justice On Trial In International Commercial Litigation" disiarkan oleh AWSJ yang dianggap memfitnah dan menjejaskan imejnya sebagai seorang tokoh korporat terkenal dan menuntut ganti rugi. Hakim R.K. Nanthan menolak permohonan Vincent Tan. Peguambela Vincent Tan ialah V.K Lingam.
 
Lingam mempunyai hubungan rapat dengan Eusoff dan Mohtar. Hasil percutian ini Hakim Mokhtar Siding ketika itu hakim Mahkamah Rayuan dan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Peguam-peguam dipilih mendengar rayuan Vincent Tan itu. Hakim Mokhtar mengarahkan MGG Pillai membayar kepada Vincent Tan RM10 juta. Amat malang bahawa kes keputusan oleh hakim ini dipinda, dipadam dan ditaip di pejabat V.K Lingam sebelum dihantar kepada Mokhtar Siding untuk membaca keputusannya.

Mahathir banyak membuat komen tentang perjalanan mahkamah yang mana beliau boleh dikategorikan sebagai menghina mahkamah seperti mana beliau banyak membuat komen tentang peristiwa Anwar yang mana dia jatuhkan hukuman sebelum mahkamah berbuat demikian, enggan menjadi saksi dan kes Lim Guan Eng yang mana beliau membuat komen tentang Mahkamah Tinggi Melaka jatuhkan hukuman ringan sedangkan ketika itu kes Lim sedang didengar di Mahkamah Rayuan di KL untuk menambah hukuman.

Pemergian Mahathir sebenarnya meninggalkan banyak kerosakan dan menghitamkan sejarah Malaysia. Di awal pemerintahannya, Mahathir mempunyai visi yang cukup baik. Pernah satu ketika beliau telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa dalam pemerintahannya beliau mahu melihat semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum mempunyai tempat tinggal, tidak kelaparan dan berpakaian. Kenyataannya itu ada terukir di Muzium Negara bagi melambangkan keazamannya untuk merubah nasib rakyat sekurang-kurangnya setiap rakyat di negara ini mencapai taraf keperluan asas, sekarang saya tidak pasti sama ada ia masih terukir di situ.
 
Pelbagai program dan dasar dibentuk untuk mencapai hasrat tersebut. Dasar penswastaan, dasar persyarikatan, dasar padang ke timur dan pelbagai dasar lagi telah dilaksanakan, tetapi semua dasar-dasar tersebut menemui kegagalan demi kegagalan, walaupun kerajaannya mencurah duit yang banyak untuk menyelamatkan dasar-dasar tersebut. Namun, ia tetap gagal dan membebankan rakyat keseluruhannya. Hutang negara sekarang ini berbilion-bilion akan ditanggung oleh rakyat sampai ke anak cucu-cicit. Habis hasil mahsul negara untuk mencapai cita-citanya.
 
MAS contohnya di bawah tanggungkan kerajaan dulu mendapat keuntungan yang amat memberangsangkan telah diserahkan kepada Tajudin Ramli yang akhirnya mengalami kerugian yang memaksa kerajaan membeli balik dengan harga yang amat mahal. Begitu juga dengan kes pembetungan diserahkan kepada seorang kroni yang kemudian membentuk Indah Water Konsortium juga turut mengalami kerugian. Semua syarikat milik kerajaan yang pada mulanya untung diserahkan kepada kroni melalui dasar penswastaan ini gagal, tidak ada satu pun yang boleh dijadikan contoh bagi memenuhi hasrat dasar ini digubal. Terbaru Bernas yang diswastakan kepada kerabat Shahidan Kassim, MB Perlis turut mengalami masalah yang sama.
 
Apa salah Mahathir, salah beliau ialah memberi projek-projek yang bernilai besar kepada kroni-kroni yang tidak ada pengalaman dalam urusan perniagaan yang besar-besar, hendak cepat kaya dengan menambah hutang, berlagak berlebihan dan mengharapkan tongkat berterusan dari kerajaan.
 
Salahnya lagi hendak maju cepat [Wawasan 2020nya] projek mega,belanja boros [duit Petronas digunakan sepenuhnya sehingga kantung Petronas kekeringan], tidak peduli pada keadaan sekeliling, ikut nafsu dan tidak mengambil kira buruk baik sesuatu program yang hendak dilaksanakan. Katanya mesti dipatuhi, walaupun pandangannya itu memberi kesan yang buruk kepada rakyat teramai.
 
Pelbagai slogan juga dibentuk bagi menjuruskan sebuah pentadbiran yang beramanah. Oleh itu slogan " Bersih, Cekap, Amanah dan Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran Kerajaan " dibentuk. Pada peringkat permulaannya slogan ini diterima baik oleh rakyat dan pemimpin kerajaan menunjukkan "Pimpinan Melalui Teladan" kepada rakyat yang dipimpin. Sebab itu, pada pilihan raya tahun 1982 dan 1986, kerajaan pimpinan UMNO/BN mencapai kejayaan cemerlang dan pembangkang mengalami kekalahan yang teruk khususnya PAS.
 
Menukar haluan negara dari negara pertanian ke negara perindustrian. Dengan megah beliau pernah berkata bahawa bahan-bahan pertanian terutamanya bahan makanan boleh diimport dari negara jiran lebih murah dari kita menjalankannya sendiri kerana kosnya amat tinggi. Dasar Pertanian Negara mula diabaikan. Apabila dasar ini diubah, maka gaya hidup masyarakat juga turut berubah sesuai dengan masyarakat industri yang mementingkan diri sendiri dan rakyat mula beralih kepada bentuk material bukan lagi akhlak dan moral orang tidak penting lagi.
 
Dalam satu perhimpunan agung UMNO ke 52 pada 19 - 21.6.1998, beliau membela tokoh-tokoh korperat dengan mengatakan lebih baik kerajaan menjadikan lebih ramai bilionair dari menjadi 100 orang kaya, kerana menurutnya dari 100 orang kaya itu, kerajaan tidak dapat pungut cukai, tetapi dari bilionair kerajaan dapat pungut cukai yang banyak. Mereka menyumbang kepada kerajaan. Oleh itu, beliau pro kepada peniaga-peniaga dan menjadikan Malaysia sebuah syarikat sendirian berhad dan lain-lain sektor diabaikan. Petani, nelayan, penternak dan peniaga tidak dapat perhatiannya lagi. Rakyat marhaen menderita, harga barangan dan perkhidmatan naik, kos meningkat dan tidak ada unsur-unsur kebajikan lagi dalam semua sektor kerajaan, semuanya memerlukan duit.
 
Golongan marhaen ini tidak mendapat apa-apa bila ekonomi berkembang, upah menurun, hasil pertanian dan harga juga tidak stabil turun-naik. Orang korperat/kaya peluang-peluang perniagaan bertambah, banyak kontrak dan tender, dapat saham-saham free dan yang dekat dengan pemimpin atasan dapat penswastaan. Bila ekonomi merudum, rakyat marhaen semakin tertekan, harga barangan dan perkhidmatan naik, upah dan hasil-hasil pertanian menurun dan orang-orang kaya di "bail out"kan.
 
Perubahan-perubahan itu membawa satu kemusnahan kepada tatacara kehidupan orang Melayu Islam. Mengejar duniawi melebihi mengingati hari akhirat. Berlakulah pelbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, rasuah hidup subur di pelbagai peringkat terutama pada peringkat kepimpinan atasan yang dilindungi, masalah sosial bertambah umpama barah yang merebak dalam masyarakat. Berebut-rebut untuk menjadi pemimpin. Amanah dan kepercayaan yang diberi oleh rakyat telah dijadikan alat untuk membina empayar kekayaan untuk diri dan kroni-kroni.
 
Tabung-tabung amanah yang ditubuhkan untuk membantu rakyat telah diselewengkan kerana ajaran Mahathir mengukur kejayaan sesuatu bangsa adalah berasaskan kepada aspek kebendaan semata-mata dengan menepikan aspek akhlak dan moral [ada hubung kait memperkecilkan bidang pengajian Islam dan mematikan SAR] yang terpenting pembangunan mestilah menurut kaca mata Islam. Islam memerintah bukan Islam diperintah. Oleh itu, tidak menjadi satu keajaiban apabila duit Tabung Haji lesap, duit orang miskin [PPRT] dikebas oleh orang kaya, duit KWSP dilabur tidak tentu hala yang merugikan pencarum-pencarum kelas marhaen.
 
Sebagai kesimpulannya, inilah kesalahan Mahathir yang membangunkan negara mengikut cita rasanya bukan mengikut ajaran Islam yang mementingkan pembangunan rohani dan jasmani secara seimbang. Bukan pragmatik dan ikut logik akal yang selalu diguna pakai oleh beliau dalam menyelesaikan masalah negara. Orang dianggap mengamalkan rasuah [Khalil Yaakob, Dr. Khir Toyo, Rafidah Aziz, Rahim TC, Mohamad Muhd Taib sekadar menyebut beberapa nama] dilepaskan dan diketengahkan memegang jawatan-jawatan penting, orang kotor diisytiharkan bersih dan orang bermaruah disingkirkan kerana rasuah dianggap enteng. Mahathir melakukan sesuatu mengikut zahir undang-undang, tetapi melanggar semangat dan maksud undang-undang. Aspek-aspek ini sepatutnya juga disentuh oleh media, bukan hanya mendewa-dewakan beliau tanpa sedikit pun ada kecacatan. Beliau juga manusia biasa, tidak boleh lari dari melakukan kesilapan dan kesalahan sesama manusia dan Allah dan jangan asyik meletakkan semua kesalahan yang berlaku itu kepada orang lain. Buat pemberitaan yang tidak memualkan.
 
PENUTUP

Setakat ini Pak Lah gagal dalam misinya untuk memikulnya akibat perbuatan Mahathir yang menjadikan Malaysia sebuah syarikat sendirian berhad, tempat membahagi-bahagikan kekayaan negara di kalangan kroni- kroninya. Pak Lah juga turut terlibat dalam isu Scomi dan anaknya mendapat kontrak dari Petronas bernilai 2 billion ringgit dalam industri petro-kimia.

Janjinya untuk membanteras rasuah merupakan janji-janji jijik yang tidak memungkinkan beliau tunaikan. Dalam pilihan raya ini, beliau masih mencalonkan menteri-menteri yang terpalit dengan tuduhan rasuah. Beliau menangkap Eric Chia dan Kasitah Gadam untuk menunjukkan yang beliau anti rasuah, sebagaimana beliau berlakon untuk menunjukkan beliau alim menjadi Imam sembahyang tarawih, tetapi tidak mengimami emaknya yang meninggal dunia. Menjadi imam sembahyang jenazah ibu lebih afdal dari menjadi imam sembahyang sunat tarawih, walaupun kedua-dua amalan ini hanyalah sunat.

Pak Lah ada dua cara untuk mengatasi masalah berat ini. Pertama berdasarkan ucapan beliau di perasmian perhimpunan Ketua Pemuda dan Wanita yang lalu, yang mana beliau menegaskan pemerintahannya berteraskan perintah Allah dan RasulNya, maka menjadi kewajipan pada Pak Lah untuk memulihkan balik sistem pentadbiran negara ke tempat asal. Pak Lah terpaksa memusing balik jarum jam ke belakang untuk memulakan langkah baru, walaupun beliau akan menghadapi risiko yang besar di kala suasana politik semasa yang tidak memberangsangkan kepada UMNO. Kalau beliau tidak melakukan pembaikan, hanya Allah yang mengetahui apa kesan dan akibat dari pengisytiharannya itu.

Kedua, beliau akan bertindak meneruskan apa saja tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh Mahathir yang nyata dan jelas telah menjerumuskan negara dan bangsa ke arah kehancuran. Malah berkemungkinan besar Pak Lah akan bertindak lebih ganas dan kejam lagi berbanding apa yang telah dilakukan oleh Mahathir. Kemungkinan itu tetap ada berasaskan tingkah laku beliau akhir-akhir ini. Mungkin beliau menutup terus saluran maklumat kedua dan menggunakan pasukan polis semaksimum mungkin untuk melemahkan kebangkitan pembangkang khususnya PAS dan mengembalikan kekuatan UMNO walaupun ianya bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi.

Kalah dan menang boleh dibuat-buat, yang tidak boleh dibuat-buat oleh manusia adalah haq, bathil, kebenaran dan kepalsuan. Kebenaran tetap benar dan rakyat akan tahu juga akan kebenaran tersebut.

Harapan itu ibarat satu jalan ke pendalaman. Ia asal tidak ada, tetapi bila orang ramai yang melaluinya, maka satu jalan akan terbentuk. Oleh itu, satu harapan mesti dikongsi ramai orang dan mesti tidak hanya bercakap tetapi harus bertindak. Jangan marah orang mengatakan orang gila sebagai gila, tetapi marahlah orang yang mengatakan orang gila tidak gila.

Oleh itu, kepada semua pengundi-pengundi janganlah kita menaruh harapan yang terlalu tinggi kepada pemimpin-pemimpin UMNO untuk membersihkan pentadbiran Negara ini dari rasuah, menyalahgunakan kuasa, pecah amanah dan sebagainya lagi kerja-kerja kotor yang mereka telah dan akan mereka lakukan sekiranya kita memberi mereka mandat sekali lagi untuk memerintah. Anjing mana yang tidak mencium tahi, walau pun dia tidak makan tahi itu.

Marilah kita sama-sama membentuk sebuah Malaysia Baru berasaskan keadilan dan ketulusan dalam membina Negara ini untuk generasi akan datang. Kita tidak boleh lagi mengharapkan UMNO untuk melakukankannya. Kita telah memberi masa yang cukup lama memerintah selama 46 tahun lebih, tetapi tidak banyak nasib orang Melayu yang berubah. Marilah kita mengubah mereka pula supaya mereka menginsafi diri mereka sendiri.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

- Meli - 19.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertailah Kumpulan M@RHAEN