Make your own free website on Tripod.com
 

TAG 1556:
Taktik Gerilla Dalam PRU Yang Menghenyak Barisan Nasional
(Guerrila tactics in the general election undercuts the National Front) Oleh MGG Pillai - 18.03.2004

Tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memaksa pihak Pembangkang menggunakan taktik gerila untuk menggoncang Barisan Nasional (BN). Beberapa maklumat mengenai calon BN yang sekian lama dianggap maklumat rahsia sudah tersebar luas kepada rakyat marhaen. Sistem Mesej Ringkas (SMS) melalui telefon bimbit sudah begitu meluas, sehinggakan inti patinya sudah begitu menekan dan menyenakkan tetapi amat sukar untuk dicegah dalam jangka masa yang singkat. Inilah yang merebak dengan berleluasa, laksana penyakit babi gila. Sejam yang lalu, saya telah menerima satu pesanan semacam itu betapa bekas MP Jempol, dan bekas Timbalan Menteri, Dato' Khalid Yunus, naik marah kerana digugurkan, telah berpaling tadah menyertai PAS dengan 9,000 orang penyokongnya. Apakah itu kisah benar? Saya pun tidak tahu. Tidak kiralah kalau pendekatan yang digunakan itu boleh dipertikai, malahan begitu juga banyak lagi pendekatan lain yang digunakan oleh BN - semua itu digunakannya juga untuk menghalalkan cara. Apabila BN tidak menangkis berita itu dengan pantas, dan tidak pun dipercayai kalaupun ia diterbitkan oleh media rasmi negara, segala taktik itu menjadi benar dan hidup dengan sendirinya.

Apa yang sepatutnya merupakan satu kemenangan mudah, seperti yang pernah terjadi dalam Pilihan Raya Umum yang sudah-sudah, sebagai kesan persempadanan semula kawasan pilihan raya itu, kini terpaksa dipertahankan secara bertungkus lumus oleh kedua-dua pihak. Di kawasan baru bernama Putrajaya, calon BN, tengku Adnan Tengku Mansor sedang terjebak dalam perangkap skandal korporat dan peribadinya. Inilah yang menjejaskan dakwaan Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa hanya mereka yang tidak tercemar boleh menjadi calon. Skandal peribadi itu tercetus dengan kisah seorang malaun bernama Adnan bin Mansor yang lahir pada 1950 tiba-tiba melompat menjadi tengku Adnan Mansor pada 1972. Begitu juga dengan kisah ayahnya tiba-tiba menjadi Tengku Mansor bin Baba dua tahun kemudiannya, diikuti seterusnya dengan kisah datuknya yang sudah mati tiba-tiba bertukar menjadi putera asli. Kisah bagaimana si malaun ini yang berdarah India tiba-tiba menjadi seorang putera memang tidak boleh dinafikan kini, kerana kisah itu sudah tersebar luas seantero negeri dengan dokongan dokumen rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Negara, yang merupakan sumber cerita ala-penglipur lara. Skandal korporat beliau itu ialah kisah bagaimana dia disaman sebagai seorang pengarah ataupun pemilik 16 syarikat, ketika dia masih berada dalam kerajaan. Begitu juga dengan nilai kekayaannya daripada segala saham pegangannya. Si malaun ini hanya seekor ular lidi sahaja tetapi telah dipelihara untuk dijadikan hamba abdi ke sana ke mari sehingga dia percaya yang dia sudah membesar menjadi ular sawa. Kini, dia terhenyak apabila disedarkan dirinya hanya sekor ular lidi yang tinggal gusi sahaja.

Besar kemungkinan dia akan menang dalam satu kawasan seramai 5,000 pengundi yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan ahi keluarga mereka. Kerana beliaulah makanya kumpulan gerak gempur BN mengugut para penghuni di situ, walaupun SPR bertegas menafikan berita itu. Kumpulan gerak gempur itu mengugut bahawa undi bukannya satu kerja rahsia “kerana kami akan dapat tahu bagaimana anda mengundi” kata mereka. Dalam hal ini saya memang tidak percayakan SPR. Undi kita bukannya rahsia lagi. SPR boleh tahu siapa yang kita pangkah dengan mudah sekali dengan bantuan komputer canggih-manggih. Kenapakah komputer itu tidak digunakan untuk memperbetulkan birokrasi dan SPR sendiri. Sebagai contoh, kita ambil kisah di Singapura, yang mempunyai birokrasi yang cekap dan kepakaran menggunakan komputer, ia mampu mengetahui siapa yang membuang undi untuk siapa. Di Malaysia birokrasi dianggap efisien kerana itulah yang diberitahu kepada kita. Jika benar-benar efisien bagaimana mungkin kita dapat segala maklumat yang terperinci akan kisah seorang peniaga yang kini dikenali sebagai ‘Tengku Palsu’. Mungkin orang tidak menyangka kita dapat segala maklumat mengenai dokumen ini. Pencabar tengku Ular Lidi tadi ialah calon KeADILan bernama Abdul Rahman Othman, yang merupakan seorang Akauntan Bertauliah. Dia diekori ke mana sahaja oleh samseng taik kucing BN dalam kempennya. Kini BN mengaku bahawa kerusi yang dianggap paling selamat itu sudah pun tergugat. Kalau pun calon BN itu menang, apakah dia akan menganggotai kabinet tanpa menjejaskan imej Paklah? Yang lebih penting lagi, mampukan tengku Palsu Adnan berada di kabinet selepas ini?

Kalau boleh Paklah mahu menang 80 peratus kerusi Parlimen dan kelebihan dua pertiga di setiap Dewan Undangan Negeri, sebagai jaminan laluan mudah untuk menjadi Presiden UMNO pada bulan Jun nanti. Dia telah mencuba dengan congakan bahayanya untuk menyediakan senarai calon BN dengan mengetepikan ramai orang lama. Inilah yang melantun ke mukanya. Dia tersilap besar apabila mereka yang digugurkan itu hanya mengetahuinya melalui akhbar, radio dan TV. Dia telah mengubah calon-calonnya sesuka hati, menyebabkan banyak bahagian UMNO menutup pusat pilihan raya. Dalam banyak hal, ada yang membakar pusat undi mereka ataupun menawarkannya kepada pihak pembangkang. Banyak pusat telah ditutup di banyak kawasan sehinggakan Paklah tidak mampu berbuat apa-apa. Beliau bersama Timbalannya terpaksa berkeliaran sana-sini untuk meredakan proses sabotaj yang kian menjadi-jadi. Paklah menghadapi cabaran sukar di kawasan Melayu di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Dia tidak akan berjaya menumpaskan PAS daripada terus menguasai Kelantan dan Terengganu. Tetapi PAS berkemungkinan mampu menafikan BN suara dua pertiga di beberapa negeri yang lain. Kalau dia tidak berjaya di negeri-negeri Melayu ini, takkan kelebihan suara dua pertiga mampu membantu impian politiknya. Pergocohan dalaman di Johor, Sarawak dan Sabah, sudah menakutkan Paklah kerana inilah negeri yang dikiranya akan memberikan beliau suara majoriti dua-pertiga dengan mudahnya. Ancaman yang paling besar kepada calon-calon BN di banyak konstituensi itu bukan datang daripada Pembangkang, tetapi daripada BN sendiri.

Liputan media memang tepat mengatakan bahawa BN sudah dijamin menang dengan suara majoriti dua pertiga. Hanya ada satu sebab kenapa perkara ini serba mungkin. Parti pembangkang yang paling perkasa ialah Barisan Alternatif. Gagasan ini tidak mempunyai rencana untuk menubuhkan kerajaan 2004 ini. Matlamatnya kali ini ialah menggoyahkan BN ke akar umbinya dan cuba merangkul kuasa pemerintahan pada 2009. Ia tidak mampu menyaingi strategi kempen berlebihan pihak BN. Kedinginan ini yang merunsingkan Dato’ Seri Najib di Pekan. Beliau mahukan kemenangan dengan kelebihan 10,000 undi. Para pembantu beliau berkata kelebihan yang kurang daripada sasaran ini akan menghantuinya juga. Najib mendapati pencabarnya tidak berada di konstituensi itu. Inilah yang merunsingkan beliau. Paklah merasakan kerunsingan yang sama setiap kali dia masuk kubu kuat PAS. Paklah menumpukan perhatiannya terhadap Kedah kerana untuk menjamin masa depannya dia tidak mampu melihat Kedah tumbang kepada lawannya. Tetapi, dia tidak mampu berbuat apa-apa. Orang yang bertanggungjawab dengan negeri itu adalah insan yang amat dikenalinya. Tun Kepala Taik Mahathir adalah nama orang itu. Takkan dia berani memberitahu beliau apa yang perlu dibuat untuk menyekat serangan PAS. Dalam dunia politik Malaysia ramai orang politik naik mencanak kerana tipu muslihat dan kebetulan. Begitulah caranya dia naik menjadi Perdana Menteri. Begitu jugalah caranya kalau dia mahu menang pilihan raya kali ini. Lantas dia akan menjadi Presiden UMNO pada bulan Jun nanti dengan cara itu juga. Di sebalik tabir kalau ada sesiapa yang mahu mencabar Paklah untuk jawatan Presiden UMNO itu dia pun akan melakukannya melalui tipu-helah begini juga. Hakikat inilah yang telah tidak diendahkan semasa persiapan pilihan raya yang ini. Sekuat-kuat rantai terletak pada bahagian penyambungnya yang paling lemah. Rantai BN mempunyai terlalu banyak penyambung yang mungkin menghumbannya daripada puncak kuasa seandainya penyambung itu terburai pada waktu yang sama. Memang tidak perlu ditakuti fenomena itu sekarang ini. Tetapi siapa yang tahu ia mungkin berlaku juga?

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 18.03.2004
Siaran awal Terjermahan Artikel Global (TAG) ini terdapat di http://www.marhaen.com (tidak berfungsi untuk seketika)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN