Make your own free website on Tripod.com
 

TAG 1558:
SPR Sebagai Khadam Sahaya BN Untuk Mengecewakan Pembangkang
(The EC at the BN’s beck and call to frustrate the Opposition) Oleh MGG Pillai - 19.03.2004

Mengikut laporan The New Straits Times hari ini (19 Mac, 2004) “Sejak beberapa hari yang berlalu, lebih 600,000 surat yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah dikirimkan kepada para pengundi yang perlu ‘balik kampung’. Inilah golongan pengundi yang menetap di luar kawasan kelahiran mereka tetapi terdaftar di kampung sendiri.” Bagaimana mungkin Barisan Nasional mengetahui siapa para pengundi itu semua, seandainya SPR yang selama ini bertegas mempunyai sifat bebas dan berkecuali tidak memberikan maklumat itu? Memang jelas bagaimana kemudahan kerajaan digunakan untuk menghantar surat dan risalah ini. Tidak ada parti politik, waima BN dan 14 parti komponennya yang mampu melancarkan usaha ini dengan keupayaan sendiri selama lapan hari waktu berkempen itu, yakni antara hari pencalonan dengan hari pembuangan undi. BN telah banyak menyauk khidmat jabatan kerajaan, segala agensi dan juga SPR. Kita tidak harus lupa bagaimana SPR telah melakukan kerja-kerja biadab untuk mengecewakan Pembangkang. Pengerusi haprak SPR kuat bercakap tentang Kerajaan dan parti-parti Pembangkang sedangkan sudah jelas apabila Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-negeri dibubarkan, seharusnya tidak ada parti pembangkang mahupun parti pemerintah. Perdana menteri yang ada ialah seorang Perdana Menteri sementara (caretaker Prime Minister), dan para menterinya adalah merupakan pemangku-pemangku menteri sahaja.

Memang satu kerja mudah untuk membenarkan seorang pemangku Perdana Menteri hak menggunakan kenderaan rasmi semasa berkempen, tetapi apabila pemangku Timbalan Perdana Menteri dan yang lain-lain tidak seharusnya berbuat begitu. Namun demikian, The New Straits Times ada menyiarkan gambar Dato' Seri Najib Tun Razak dengan ‘Air Force 2’ pesawat terbang khas untuk Timbalan Perdana Menteri pergi berkempen menagih undi. Anda boleh diberikan jaminan betapa SPR nanti akan mengemukakan alasan yang difikirkannya munasabah untuk mewajarkan kerja busuk begini. Sepatutnya setiap kali kenderaan rasmi digunakan untuk kempen pilihan raya, BN mesti membayarnya dengan kadar komersial. Inilah yang diamalkan di India, sejurus Perdana Menteri Mrs. Indira Ghandi, kalah dan pernah menggunakan kenderaan rasminya untuk berkempen. Kalau adapun kelulusan yang beralasan untuk seseorang Perdana Menteri ialah menggunakan kenderaan rasminya untuk melawat kawasan yang ditandinginya di mana dia menghadiri majlis rasmi. Akan tetapi, semasa tempoh berkempen, sepatutnya tidak ada lagi majlis rasmi, kecuali segelintir yang tidak dapat dibatalkan. Salah guna kenderaan rasmi memang sudah menjadi satu amalan di negara ini. Setiap yang berkuasa daripada Setiausaha Politik hinggalah menteri kabinet, menggunakan kenderaan rasmi dengan minyak dan kos bayaran harian dibayar oleh kerajaan, semasa mereka bersimpang-siur merata negara. SPR sengaja diam membisu. Seperti mana ia kerap membisu dan membuta-tuli terhadap salah-laku BN dan parti komponennya. Sebenarnya BN harus membayar kerana menggunakan segala kemudahan itu.

Kini, SPR telah mewujudkan satu lagi undang-undang baru di Putrajaya. Di sana ada perlawanan satu lawan satu antara Datuk Adnan Mansor atau terkenal juga (aka) sebagai tengku Adnan Tengku Mansor melawan wakil BA Abdul Rahman Othman. Keadilan dan PAS berada dalam pakatan Barisan Alternatif (BA) tetapi pihak berkuasa masih tidak mempunyai alasan yang munasabah kenapa gagasan itu tidak boleh didaftarkan. Dua parti ini bertarung menggunakan logo sendiri. Dua hari lalu, SPR telah mengeluarkan satu fatwa baru di mana hanya logo parti si calon yang boleh dibenarkan. Yang lain mesti dialih dalam masa 24 jam. Calon KeADILan telah diberitahu perkara ini secara mulut sahaja dengan janji akan ada surat rasmi diserahkan secara persendirian. Abdul Rahman fikir bahawa undang-undang baru itu akan menyeluruh seantero negara ini. Apakah maknanya perkara ini? BN ialah parti yang bertanding dalam pilihan raya. Semua 14 parti komponennya tidak bertanding, kerana itu adalah tafsiran SPR. Akan tetapi bendera semua parti komponen BN berkibar di merata negara. Kalau calon itu datang daripada UMNO, maka logo UMNO akan lebih menonjol daripada logo BN. Demikian juga kalau calon itu daripada MCA ataupun MIC, logo parti mereka yang akan lebih menonjol berbanding logo BN. Namun, kepada SPR 14 parti komponen itu tidak perlu diambil kira. Kenapa pula BN di Putrajaya tidak diarahkan agar semua bendera UMNO dan logonya ditanggalkan, seperti arahan yang dikeluarkan kepada PAS?

SPR sengaja membuat pelbagai hambatan untuk menyulitkan kerja-kerja Pembangkang. Selepas 1969 dulu, semasa Perlembagaan sengaja dipinda dengan hebatnya untuk merobah hala tuju pelbagai kaum menjadi Malaysia yang didominasi orang Melayu, SPR pun menjadi sebahagian sayap UMNO dan bukannya BN. Kalau parti-parti politik tidak dibenarkan membantu menayangkan poster mereka dan menyediakan tenaga pekerja untuk parti rakan sekutunya, maka undang-undang baru seperti itu mesti dikuatkuasakan kepada semua parti. BN adalah sebuah parti, dan SPR seharusnya tidak mengiktiraf semua parti komponen itu, kerana semua calon bertanding di bawah panji-panji BN. Adnan Mansor bertanding atas tiket BN dan bukannya UMNO. Kalau logo parti komponen itu dibenarkan oleh SPR maka semua bendera parti komponen Barisan Alternatif mesti dibenarkan juga. Semasa pegawai SPR Putrajaya menelefon Abdul Rahman, beliau tidak bercakap atas nama SPR, tetapi bagi pihak UMNO. Lagipun SPR sepatutnya membuat pengumuman itu secara rasmi dan lantang bahawa ia telah mencipta satu undang-undang baru di tengah-tengah kempen itu. Undang-undang itu begitu mengancam sehingga tidak boleh dicabar, namun SPR bertegas bahawa peraturannya itu tidak boleh dicabar oleh sesiapa. Tetapi perkara yang dilakukannya memang patut dicabar jua. Orang yang sudah mati satu dekad yang lalu masih dibenarkan untuk mengundi. Paklah telah mengirim sepucuk surat kepada seorang pengundi yang mati pada 1988, tetapi si pengundi yang mati itu dikatakan mempunyai nombor kad pengenalan baru yang tidak diumumkan sehinggalah satu dekad selepas kematiannya. Bayangkan sepucuk surat kepada si mati untuk meminta beliau memangkah BN. Saya tersenarai di kawasan pilihan raya sebanyak dua kali – satu dengan menggunakan kad pengenalan lama dan satu lagi dengan kad pengenalan baru. Jelas, kesahihan daftar pengundi itu memang haprak sahaja.

SPR harus ambil satu proses terbaru untuk menentukan satu senarai daftar yang terkini. SPR mesti mulakan dengan memusnahkan segala tanda-tanda kad pengenalan lama, dan hanya bergantung kepada nombor kad pengenalan baru. Pendaftaran mesti dilakukan sepanjang tahun. SPR mesti kemaskini senarai itu sekurang-kurangnya dua kali setiap tahun dan memandang berat segala bantahan orang awam mengenai pendaftaran berganda-ganda, dan salah guna senarai pengundi itu. SPR harus menghentikan elemen mengejutkan seperti yang terjadi tahun ini. SPR telah menetapkan pembuangan undi pada hari yang sama bermulanya lumba kereta di Litar Sepang. Kalau ada pun pengundi yang mahu membuang undi, ia menjadi tergendala kerana kesesakan pada hari itu mencetuskan ketegangannya. Kita tahu sekarang kenapa tarikh 13 Mac dipilih untuk hari pencalonan. Jawapannya kerana nombor 13 itu adalah nombor kegemaran Paklah. Sepatutnya hari pengundian diadakan pada 13 Mac, tetapi itu tidak praktikal. Jadi ia dijadikannya tarikh penamaan calon. Hari pengundian diadakan seminggu kemudian walaupun ia bertembung dengan tarikh perlumbaan kereta F-1 di Litar Sepang. Apabila perkara ini diungkit, para pengundi diarah agar keluar awal untuk mengundi. Nampaknya kerajaan Paklah menganggap bahawa setiap pengundi tidak ada urusan lain pada hari pengundian itu selain memangkah kertas undinya. SPR patut menentukan keadilan dan layanan yang sama rata kepada semua parti politik. Tetapi inilah yang tidak dilakukannya sekarang. Ia sudah berlagak seperti institusi kerajaan yang lain, sebagai khadam sahaya UMNO dan kerajaan BN. Hak kebebasan mengadakan pilihan raya yang adil dan telus itu tidak datang daripada hak membuang undi sendirian. Apa yang sepatutnya berbangkit kemudian harus berbentuk adil dan bebas juga, walaupun ini bukan amalannya di Malaysia.

MGG Pillai
pillai@streamyx.com
Terjemahan MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 20.03.2004
Siaran awal Terjermahan Artikel Global (TAG) ini terdapat di http://www.marhaen.com (tidak berfungsi untuk seketika)

Hantar artikel ini kpd sahabat: 


Sertai Maillist M@RHAEN