Make your own free website on Tripod.com
 

Perang Saraf Besar-besaran
Pemenjaraan Ezam suatu masa tidak lama dahulu sekali gus membuktikan bahawa tuduhan dan pendedahan beliau terhadap penyelewengan beberapa menteri kanan kerajaan adalah benar. Tidak pelik dalam sejarah para diktator, mereka memenjarakan pembawa kebenaran. Berusaha dengan cara sejijik mana pun asalkan jiwa yang bernama Ezam tidak di hati rakyat. Hakikat pahit yang harus ditelan oleh lelaki berani itu.

Kini, satu lagi tamparan hebat melanda manusia Malaysia menjelang pilihan raya 2004 kali ini. Pemuda yang begitu lantang mendedahkan perasuah dengan bukti dan dokumen-dokumen yang tidak dapat dinafikan kesahihannya oleh akal yang waras, kini sudah dicantas sebelah kakinya oleh musuh sebelum hari perlawanan.

Najib yang tidak tidur lena sejak Ezam umumkan akan menghambatnya ke mana sahaja menjelang pilihan raya kali ini, kini sudah boleh bermimpi. Tukang-tukang urut barunya yang 12 itu kononnya telah bersiap sedia menjadi pengadang peluru ke mana sahaja bosnya berperang kali ini. Tak kira di Pekan atau di Bandar. Di desa atau di kota. Lawannya Ezam atau Lokman. Bagi Ruslan, Zahid dan kawan-kawan, lawan tetap lawan.

Peperangan terhadap rasuah dan penyelewengan, Ezam telah mulakan. Penerangan kepada rakyat wajib kita gandakan. Kebenaran adalah kebenaran. Nasib dan hukuman terhadap Ezam perlu diperjuangkan. Ezam tidak dilihat hanya sebagai ketua pemuda Keadilan tetapi tokoh pemuda Malaysia, idola generasi muda zaman ini.

Tinggal kepada kita sekarang ini adalah keberanian bertindak. Setelah Ezam sanggup mengambil risiko penjara demi membuktikan rasuah wujud dan pengamal rasuah dilindungi maka wajib kita menyambut keberanian beliau dengan melipat gandakan usaha untuk menjatuhkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-11 tidak lama lagi.

Walau SPR baru-baru ini telah berterus-terang lafazkan sumpah setia menjadi senjata paling berkesan bagi BN pada kali ini, kita semua harus bekerja kuat pada pilihan raya umum ke-11 ini memimpin pimpinan BA menaiki tampuk pemerintahan negara. Jaringkan kekuatan kita. Penyebaran maklumat, kaderisasi penyokong, pemantapan keyakinan, disiplin gerakan, kesabaran perjuangan dan keikhlasan pengorbanan harus diterapkan ke dalam jiwa setiap penyokong kita. Walau bukan esok, tetapi bila-bila daripada esok asalkan kita bekerja untuk tumbangkan mereka.

Kumpulan anak-anak muda mewakili kawasan pilihan raya masing-masing perlu diwujudkan sebanyak mungkin dan dirangkaikan menjadi satu. Kita perlu menyusun langkah dan menyusun strategi dengan teratur untuk menghadapi BN. Perlu menyusun langkah untuk menyerap masuk ke kampus-kampus. Sebarkan ideologi kita tanpa mengira kaum, bangsa, kepercayaan dan usia.

Kita menyusup masuk ke pejabat-pejabat kerajaan. Sebarkan maklumat seperti rencana atau apa-apa berita melalui, faks, SMS, atau pos. Gunakan semua cara yang ada untuk menjayakan usaha menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional melalui kebangkitan dan kesedaran rakyat pada pemilihan kali ini.

Sebarkan maklumat tanggungjawab semua pejuang. Jangan berlengah lagi saudara-saudari, biar kita bertiga, biar kita berempat, mari kita bekerja. Jangan tunggu hingga saat terakhir untuk turut membantu. Pakatan Barisan Alternatif (BA) adalah jalan dan kesempatan terbaik untuk kita tumbangkan kerajaan zalim ini pada pilihan raya kali ini. Perjalanan seribu langkah bermula dari langkah pertama.

Bagi kami ini adalah langkah yang terbaik dan terpantas untuk kami nyatakan sokongan total kepada Barisan Alternatif (BA) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-11 tidak berapa hari lagi. Sebagai sebuah laman web underground yang terang-terang menyokong penuh penubuhan kerajaan Barisan Alternatif, kami menyeru agar anda yang lain dapat sebarkan dan hebahkan kepada rakan-rakan. Salurkan maklumat-maklumat penting di mana-mana sahaja kawasan pilihan raya anda di sini. Ayuh bersama-sama menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya ke-11 menjelang 21 Mac 2004 ini.

Kiriman Webmaster www.undiba.com - 19.03.2004 (suntingan M@RHAEN)

Hantar artikel ini kpd sahabat:


Sertai Maillist M@RHAEN